Menurut laporan daripada The Edge Malaysia bertarikh 22 Disember 2023, syarikat teknologi data terkemuka iaitu Fusionex Group dikhabarkan telah digulung berikutan perintah mahkamah.

Dalam sebuah pengumuman oleh Ketua Pegawai Eksekutif Fusionex iaitu Hiroyuki Kumazaki pada 17 Disember lalu, beliau berkata penggulungan Fusiotech Holdings Sdn Bhd serta 12 lagi anak syarikatnya termasuk 2 yang berpangkalan di Hong Kong adalah disebabkan oleh kekurangan rekod dan informasi ketika penyerahan daripada pihak pengurusan yang sebelumnya.

Beliau juga mendakwa bahawa pengurusan terdahulu tidak berkongsikan maklumat berkaitan kelangsungan operasi dan bisnes Fusionex.

Kumazaki baru sahaja dilantik untuk memegang jawatan tersebut pada 6 Disember 2023.

Asalnya, syarikat ini telah diasaskan oleh Datuk Seri Ivan Teh. Namun, beliau telah mengundurkan diri daripada kepimpinan Fusiotech pada tarikh yang sama Kumazaki dilantik. Kedudukan Datuk Seri Ivan di Fusionex pada ketika ini juga masih belum jelas.

Fusionex Menempa Nama di London Stock Exchange

Diasaskan pada tahun 2005, Fusionex didapati mengalami perkembangan secara konsisten tahun demi tahun.

Mereka juga mampu menjalinkan kerjasama dengan syarikat terkemuka seperti HP, Volkswagen, CIMB, dan Air Asia. 

Pada Disember 2012, syarikat ini mencapai kemuncak dalam perniagaan apabila tersenarai dalam London Stock Exchange.

Difahamkan bahawa saham syarikat (IPO) juga mendapat permintaan sebanyak lebih 3 kali ganda sehingga berjaya mencuri perhatian ramai pelabur terkemuka termasuk JP Morgan dan BlackRock.

Nilai saham syarikat meningkat sehingga lebih 50% pada tahun 2013 dan mencapai nilai tertinggi pada tahun berikutnya.

Ketika itu, syarikat ini turut disebut sebagai salah satu syarikat IT terbesar dari Malaysia dengan nilai modal pasaran melebihi RM 500 juta.

Namun, nilai saham ini telah menurun sedikit demi sedikit sehingga mencecah harga yang lebih rendah daripada nilai IPO apabila syarikat tersebut mengumumkan penarikan diri daripada tersenarai dalam London Stock Exchange.

Difahamkan, harga saham telah menurun sehingga 90% daripada harga tertinggi yang tercatat pada 2014 lalu.

Disebabkan itu, Fusionex telah mengumumkan penswastaan sepenuhnya pada 27 Jun 2017 apabila lebih daripada 89% ahli syarikat mencapai kata sepakat.

Namun, ini bukanlah suatu perkara buruk buat mereka. Sebaliknya, perniagaan Fusionex dilihat semakin berkembang.

Perkembangan Bisnes Fusionex

Antara kolaborasi besar yang dilakukan adalah pelancaran portal jualan atas talian untuk Takaful Malaysia pada 2018, kontrak bernilai jutaan dollar bersama salah satu syarikat tenaga terkenal di dunia, dan projek pembangunan platform digital untuk Alliance Bank pada 2021.

Dalam masa 5 tahun, Fusionex juga berjaya mengembangkan hasil (revenue) sebanyak lima kali ganda dengan nilai terkini sebanyak RM 833 juta pada 2023.

Pada tahun 2020, Hitachi Ltd telah mengambil alih Fusionex untuk mengembangkan perkhidmatannya dalam sektor perisian, AI dan analisis data.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Fusionex merupakan sebuah syarikat teknologi yang berjaya dan mampu menjalinkan kolaborasi dan projek bernilai jutaan dollar.

Beberapa bulan lalu, syarikat ini turut mendapat perhatian apabila menjalinkan kerjasama dengan MUI Group untuk melancarkan marketplace atas talian.

Syarikat ini juga bukanlah calang-calang, malah bertaraf antarabangsa dan pernah memenangi anugerah berprestij iaitu Business Intelligence Partner of the Year.

Jika tiada masalah, mengapa syarikat ini digulung secara tiba-tiba?

Menurut laporan daripada The Edge Malaysia, seorang petugas berpangkat tinggi di syarikat Fusionex telah mengesahkan berita ini.

Difahamkan bahawa pengambilalihan oleh Hitachi telah mencetus penggulungan syarikat dan bakal memberi kesan kepada hampir 500 orang pekerja.

Namun, mereka dikatakan masih berkhidmat sehingga mahkamah melantik liquidator bagi menyiasat isu ini dengan lebih lanjut.

Data Lampiran SSM Jadi Bualan

Isu ini juga semakin hangat apabila lampiran SSM syarikat ini telah tersebar di media sosial. Beberapa nilai seperti aset bukan semasa (non-current asset) dan aset tak ketara (intangible asset) dalam lampiran turut dipersoalkan.

fusionex

Merujuk kepada lampiran SSM syarikat ini, aset bukan semasa dan aset tak ketara menunjukkan nilai yang lebih tinggi berbanding hasil jualan (revenue) dan kos jualan.

fusionex

Dengan teredarnya maklumat ini dan status syarikat yang masih belum jelas, maka wajarlah mengapa sesetengah turut berspekulasi mengenai berita ini.

Mana tidaknya, portal The Edge Malaysia merupakan satu-satunya portal berita yang berkongsi mengenainya. Pada masa yang sama, Hitachi atau pemegang sahamnya belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi.

Perintah mahkamah terhadap syarikat ini juga belum diumumkan setakat ini. Sama-sama kita nantikan perkembangan syarikat Fusionex pada masa terdekat ini.

Sumber : The Edge Malaysia, Learnabee, Tan Aik Keong

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top