Meskipun nama Ferrari sudah kukuh dalam industri kereta mewah, namun Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Benedetto Vigna tidak mudah terbuai dengan keselesaan.

Sebaliknya, Ferrari sering mencari jalan untuk terus berevolusi dan bagi menawarkan kenderaan yang seiring dengan teknologi serta keperluan pelanggan masa kini.

Terkenal dengan enjin berbunyi kuat dan reka bentuk kereta yang mempesona, Ferrari juga tidak ketinggalan untuk menghasilkan kenderaan elektirk (EV) buat pelanggan yang prihatin tentang pengeluaran karbon.

Dalam satu temubual bersama Bloomberg, Vigna telah berkongsi beberapa taktik unik agar jenama Ferrari terus kukuh dalam industri automotif mewah.

Rahsia CEO Ferrari Untuk Kekal Bersaing Dalam Dunia Automotif Mewah

ceo ferrari

1. Buka Mata dan Telinga

Ada yang menganggap orang berjawatan tinggi lebih arif tentang banyak perkara dan tak perlu ambil tahu tentang orang bawahan.

Namun, Vigna percaya seorang CEO perlu bijak membuka mata dan telinga untuk ketahui isu yang berlaku di dalam dan luar syarikat. Vigna yang berusia 54 tahun ini juga tidak malu untuk mengaku yang beliau adalah seorang yang ‘paranoid’ dalam bab pengurusan bisnes.

Sebagai CEO, beliau rasa adalah penting untuk ambil tahu segala perkara yang terjadi di sekelilingnya.

Vigna juga sangat menitikberatkan pendapat daripada semua terutamanya pihak yang terlibat dalam bisnes automotif secara langsung iaitu pembekal dan para pekerjanya sendiri.

Kumpulan Kecil Lebih Produktif

Vigna juga terkenal sebagai pemimpin yang suka bekerja dalam kumpulan kecil. Menurutnya, kumpulan dengan ahli sedikit lebih mudah untuk dibahagikan kerja dan setiap ahli ada peluang untuk menyumbang.

Selain itu, kumpulan kecil juga lebih peka dengan perubahan. Ini penting untuk mengenalpasti masalah dan menanganinya segera demi menjaga proses dan kualiti kerja.

ceo ferrari

Peka Dengan Gerak Geri Pesaing

Walaupun jenama Ferrari sudah kukuh, namun Vigna percaya yang syarikatnya masih perlu mengikuti perkembangan pesaing terutamanya yang ‘tangkas’.

Walaupun pesaing masih baharu dalam industri, sifat tangkas ini boleh membuatkan mereka lebih menyerlah dalam pasaran secara mendadak. Maklumlah, pelanggan zaman ini juga mempunyai citarasa yang berubah-ubah seiring dengan perkembangan semasa.

Vigna juga tidak menafikan jenama automotif mewah seperti Ferrari banyak bermain dengan unsur sentimental, namun ini tidak bermakna mereka boleh leka. Sebaliknya, mereka perlu sentiasa peka dengan trend semasa bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Perlu Suntik Unsur Mesra Alam

Menurut Vigna, sudah tiba masanya untuk syarikat berjenama turut serta dalam melestarikan alam sekitar.

Bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada persekitaran, malah jenama yang membangunkan produk simbolik dan membawa unsur sentimental seperti Ferrari juga perlu membina nilai yang baik dari sudut sosial.

Bagi mencapai visi ini, Ferrari kini komited untuk menjadi neutral karbon menjelang 2023.

ceo ferrari

AI Perlu Dimanfaatkan Oleh Manusia, Bukan Sebaliknya

Seperti yang kita tahu, kini terdapat beberapa model kereta yang sudah dilengkapi dengan kemudahan auto-pandu.

Menurut CEO Ferrari ini, segelintir pengguna masa kini terlalu banyak bergantung kepada komputer atau AI sehingga menjejaskan kemahiran diri.

“Terdapat beberapa kemahiran yang boleh dipelajari ketika memandu kereta. Jadi, memang rugi sekiranya seseorang tidak boleh memandu. Mengenai bab perkembangan AI pula, kita perlu bijak memanfaatkannya sebelum AI yang memanfaatkan kita,” jelas Vigna.

Dengan taktik yang unik dan berkesan, Vigna berjaya meneruskan legasi Ferrari yang kini menjangkau usia hampir 85 tahun dalam industri. Walaupun nama mereka sudah kukuh, namun ini bukan alasan untuk CEO Ferrari berada di takuk lama.

Dengan peredaran teknologi yang sentiasa berkembang, Ferrari juga perlu sentiasa mencari peluang untuk berevolusi agar dapat kekal lama dalam industri.

Sumber : Bloomberg

Baca Juga : Teka-Teki Terjawab, Anwar Ibrahim Dedahkan Cara Untuk Yakinkan Elon Musk Melabur di Malaysia

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top