Sebuah kajian daripada Bank of Korea (BOK) meramalkan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) bakal menggantikan 4 juta pekerjaan di Korea Selatan. Jumlah ini merangkumi 14% daripada keseluruhan pasaran kerja di negara tersebut.
Kajian daripada BOK menyimpulkan bahawa teknologi tersebut dapat mencetuskan produktiviti pada tahap yang tinggi, namun ia boleh menggugat pasaran kerja kolar putih secara global.
Ini sekaligus menjadi amaran kepada gangguan pasaran kerja di negara-negara lain pada masa akan datang.
Sebelum ini, kita juga pernah dikejutkan dengan berita seorang pemilik syarikat e-commerce daripada India yang nekad untuk memberhentikan 90% pekerja dan menggantikannya dengan bot AI.
Pekerja Berpendapatan Lumayan Berisiko Lebih Tinggi Untuk Diganti AI
Menurut salah satu pengkaji Bank Of Korea iaitu Oh Sam-il, pekerja berpendapatan lumayan dengan kelayakan akademik yang lebih tinggi dilihat bakal berhadapan dengan ancaman daripada AI memandangkan teknologi tersebut mempunyai kebolehan kognitif serta analisa yang cekap.
Antara pekerjaan tahap profesional yang didapati berisiko tinggi untuk digantikan oleh AI adalah ahli kimia, doktor, peguam, akauntan dan pengurus aset.
Sementara itu, tenaga kerja yang terlibat dalam bidang keagamaan, perkhidmatan makanan dan pendidikan dilihat paling kurang risiko untuk diambil alih oleh AI.
Berdasarkan infografik di bawah, didapati China muncul sebagai negara pertama yang paling banyak mengimplimentasi AI dalam bisnes. Ini diikuti dengan Singapura dan India.
Ini berikutan trend beberapa syarikat yang kini mengenalpasti keberkesanan AI dalam melaksanakan tugasan.
Meskipun Korea Selatan tersenarai sebagai salah satu negara dengan implementasi teknologi robot tertinggi, ia tetap berada pada kedudukan yang rendah dalam penggunaan AI iaitu pada tangga ke-11.
Laporan daripada Goldman Sachs baru-baru ini menganggarkan kira-kira 300 juta pekerjaan telah terdedah kepada teknologi AI seperti ChatGPT.
Meskipun teknologi ini dilihat berpotensi dalam meningkatkan produktiviti peringkat global sehingga 7% dalam satu dekad, namun ia dikhuatiri boleh menyebabkan gangguan kemahiran serta pengetahuan dalam kalangan pekerja.
Kajian BOK juga mendapati AI dapat meningkatkan permintaan dalam sektor pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi pendekatan yang lebih baik terhadap kemahiran interpersonal, komunikasi dan kerjasama berkumpulan.
World Economic Forum Turut Meramal Dominasi Artificial Intelligence Dalam Pasaran Kerja
Sebuah laporan yang dikongsikan oleh World Economic Forum baru-baru ini turut menjangka AI bakal mendominasi pekerjaan dan bakal mendorong kehilangan pekerjaan bermula pada tahun ini sehingga 2027.
Antara pekerjaan yang berisiko untuk diambil alih adalah yang kurang melibatkan input emosi dan mempunyai aliran kerja berstruktur seperti jurutera perisian, penganalisa dan akauntan.
Pakar dalam industri teknologi juga tidak menolak kemungkinan akan perkara ini. Memetik DailyMail, kira-kira 80 peratus berisiko untuk hilang pekerjaan dalam beberapa tahun akan datang.
Mahu atau tidak, inilah realiti yang perlu hadapi. Dengan kepesatan teknologi yang sering mengalami evolusi, pemilik bisnes daripada pelbagai sektor juga perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan terhadap pasaran pekerjaan di peringkat global.
Sumber : Bloomberg