Ejen Ali merupakan sebuah siri animasi hangat milik anak tempatan yang tidak asing lagi di Malaysia. Diterbitkan oleh Primeworks Studio bersama Wau Animation, siri animasi ini juga telah melancarkan sebuah permainan video rasmi 3v3 yang dikenali sebagai Ejen Ali : Agents’ Arena.
Permainan video ini telah dibangunkan oleh Common Extract, sebuah syarikat pembangunan permainan video yang telah beroperasi sejak tahun 2008.
Permainan video yang dilancarkan pada awal tahun 2020 ini juga permainan video bergenre Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) pertama keluaran Malaysia. Lebih membanggakan lagi, ia juga merupakan permainan video tempatan pertama yang mengadakan kejohanan e-sports.
Menawarkan pengalaman gaming setaraf dengan jenama antarabangsa, Common Extract membuktikan bahawa Ejen Ali: Agents’ Arena adalah sebuah permainan yang sangat berpotensi untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
Baru-baru ini, Common Extract telah di ambil alih oleh The Gang, sebuah syarikat dari Sweden yang telah ditubuhkan pada tahun 2019 oleh sekumpulan usahawan yang mempunyai pengalaman menghasilkan grafik serta permainan video daripada beberapa studio AAA terkenal.
Popular dengan hasil kerja mereka berkonsepkan metaverse, The Gang pernah berkolaborasi dengan pelbagai jenama gergasi seperti Gucci, McLaren, Vans dan banyak lagi.
The Gang turut mengutamakan pengalaman digital yang memukau untuk jenama sambil menghasilkan permainan video berkualiti tinggi yang dapat dimainkan di pelbagai platform seperti PC, telefon pintar dan Xbox.
CEO The Gang, Marcus Holmström, mengatakan bahawa mereka merasa pengambilalihan ini merupakan langkah yang baik untuk perkembangan syarikat.
Sebelum ini, perkembangan perniagaan dilakukan secara organik dengan merekrut pekerja, tetapi kini mereka perlu bergerak pantas dan melakukan pengambilalihan.
Tambahnya lagi, mereka juga kini giat melebarkan sayap ke lebih banyak platform pada tahun ini.
Menurut pengarah Common Extract, Rob Lee, perbincangan tentang pengambilalihan ini tercetus selepas membantu The Gang dalam sebuah projek tak lama dahulu.
Beliau yang juga merupakan pengasas kepada syarikat itu akui walaupun Common Extract telah mencatatkan keuntungan sejak awal tahun, namun syarikat tidak menunjukkan pertumbuhan positif selama beberapa tahun ini.
“Kami yakin bahawa dengan menyertai The Gang, syarikat kami dapat berkembang lebih cepat dan meluas dengan lebih efektif. Kolaborasi ini akan membawa pengalaman yang lebih berharga dan menyenangkan bagi semua pihak yang terlibat.
Kami juga berbesar hati untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat yang pernah berkhidmat untuk jenama antarabangsa yang terkenal seperti Gucci, Nerf, Vans, FIFA, Australia Open, Wimbledon, Amazon dan Spotify,” ujarnya.
Menurut Rob, The Gang juga mempunyai visi yang selari dengan hala tuju game developer tempatan dalam menghasilkan karya berkualiti pada masa hadapan.
Pada waktu ini, Common Extract sedang menghabiskan tugas-tugas terakhir bersama pelanggan sedia ada sebelum pasukan di Malaysia boleh melibatkan diri dalam projek-projek baharu yang diterajui oleh The Gang.
Rob yakin bahawa terdapat banyak pengetahuan yang bakal dipelajari oleh Common Extract daripada pasukan The Gang yang lebih berpengalaman.
Dengan sumber yang berkualiti serta jaringan pelanggan yang lebih luas, Rob berharap Common Extract mampu menjadi tonggak utama bagi The Gang dalam merebut pasaran Asia.
Berita ini bukan sahaja menggembirakan, malah boleh menjadi pemula yang baik bagi perkembangan industri permainan video Malaysia dalam memperkenalkan bakat-bakat tempatan serta mendapat tempat di peringkat global.
Sumber: https://vulcanpost.com/
Baca juga: Bagaimana Spotify Menjadi Platform Muzik Nombor Satu Dunia?