Siapa sangka sebuah pusat tuisyen boleh menjadi tempat kelahiran bagi organisasi kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat di dalam dan luar negara?

Mungkin ini adalah pertama kali anda mendengar tentang organisasi Karisma Humanitarian Outreach Mission atau KHOM yang ditubuhkan oleh guru tuisyen serta para pelajarnya.

Berpegang kepada moto Light of Hope, KHOM merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang komited dalam menjalankan misi bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan golongan yang terkesan akibat bencana, kemiskinan, serta peperangan.

Nik Marina binti Datuk Hussin atau lebih dikenali dengan Puan Marina merupakan pengasas Pusat Tuisyen Akademik Karisma (PTA Karisma) dan KHOM yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

Puan Marina

Minat untuk menjadi seorang pengajar telah mendorong Puan Marina membuka PTA Karisma pada tahun 2000.

Sebelum wujudnya pusat tuisyen ini, beliau pernah menjadi tenaga pengajar Bahasa Inggeris untuk anak-anak TNB pada tahun 1998 hingga 2001.

Selain itu, Puan Marina juga merupakan guru, pelatih serta pengasas bersama Pusat Tuisyen Pendidikan Cemerlang yang dimiliki oleh bapanya iaitu Jeneral Datuk Hussin Bin Hj Yussof.

Prestasi PTA Karisma nyata menyerlah apabila pernah dinobatkan sebagai satu-satunya penerima Anugerah Pusat Tuisyen Terbaik Negeri Kelantan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). Sehingga kini, anugerah tersebut masih belum berjaya dirangkul oleh mana-mana lagi pusat tuisyen lain yang ada di negeri itu. 

Selain melahirkan pelajar-pelajar cemerlang, Puan Marina juga telah menjadikan PTA Karisma sebagai pusat komuniti pelajar alumni yang dikenali sebagai Karismans sambil membimbing mereka untuk menjadi sukarelawan yang mapan.

Daripada penglibatan dalam misi bantuan secara kecil-kecilan, beliau berjaya membina sebuah badan kebajikan bertaraf antarabangsa. 

Ingin tahu bagaimana KHOM terbina dan apakah cabaran yang sering dihadapi oleh Puan Marina? Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut. 

Lahirnya Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Daripada Alumni Pusat Tuisyen Akademik Karisma

Setelah beberapa tahun menubuhkan pusat tuisyen itu, Puan Marina bercadang untuk melakukan program kebajikan bersama dengan pelajar-pelajarnya sehingga tercetusnya Let’s Do Things Together yang menjadi permulaan bagi pertubuhan KHOM.

Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh Puan Marina serta para pelajarnya demi mengumpul dana.

Ketika Al-Aqsa diserang oleh tentera Israel pada tahun 2003, mereka telah bersama-sama membuat kutipan derma untuk disumbangan kepada warga Palestin.

Apabila serangan terhadap Palestin berlaku pada tahun 2013, kumpulan guru serta pelajar ini menggunakan inisiatif lain untuk mengutip derma iaitu melalui jualan barangan terpakai dan berniaga makanan serta minuman.

Disebabkan masih belum ada platform kebajikan sendiri ketika itu, dana yang terkumpul akan dihulurkan kepada Mercy Malaysia dan NGO yang bergiat aktif dalam misi bantuan Palestin.

Kemudian, kumpulan yang dipimpin oleh Nik Marina ini semakin berani mengorak langkah dengan melibatkan diri dalam misi kemanusiaan tempatan.

Warga PTA Karisma sama-sama turun padang untuk meringankan beban mangsa yang terlibat dalam banjir besar Pantai Timur pada tahun 2015. 

Tanpa disangka-sangka, misi ini turut mendapat penyertaan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelab Veteran Komando Malaysia yang masing-masing membawa lori dengan barangan bantuan untuk disalurkan kepada penduduk yang terkesan dengan bencana.

Lebih menarik lagi, program yang asalnya melibatkan 3 buah kereta pacuan empat roda ini telah berkembang kepada 16 buah kenderaan berat termasuk trak tentera. 

Melihatkan kemampuan anggota alumni dalam mengelola program kemanusiaan berskala besar sebegitu, Puan Marina pun terinspirasi untuk menubuhkan sebuah NGO yang terdiri daripada alumni Pusat Tuisyen Akademik Karisma sendiri iaitu Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM).

Tanpa mengetepikan operasi PTA Karisma, Puan Marina tetap bersemangat menjalankan beberapa misi kemanusiaan dengan anggota alumni yang dikenali sebagai Karismans.

Di peringkat antarabangsa, beliau telah mengetuai sebanyak 7 misi kemanusiaan sejak 2017 di kawasan bergolak antaranya di sempadan Jordan-Syria serta Gaza dan Al-Aqsa. 

Berbekalkan pengalaman dalam mengendalikan misi-misi kemanusiaan di serata tempat, Puan Marina akhirnya memberanikan diri untuk mendaftarkan KHOM secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada tahun 2018. 

Selain menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik di dalam dan luar negara, KHOM turut terlibat dalam meringankan beban petugas barisan hadapan ketika negara diduga dengan pandemik Covid-19.

Cabaran PTA Karisma Di Kelantan

Walaupun beliau merupakan anak jati Kelantan, namun ketidakupayaan beliau untuk berkomunikasi dalam dialek Pantai Timur menjadi cabaran terbesar buatnya bagi mengembangkan PTA Karisma. 

Ditambah pula dengan sikap kenegerian yang menebal, Puan Marina juga sering dianggap sebagai orang luar menghadapi kesukaran untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat Kelantan sendiri. 

Namun, wanita cekal ini tidak pernah berputus asa dalam membangunkan pusat tuisyen kebanggaannya itu. 

Suami Puan Marina, Kapten Ariffin Abd Rani yang turut memainkan peranan besar dalam pengurusan PTA Karisma ini juga pernah dikritik.

Disebabkan tiada latar belakang dalam bidang pendidikan, ada segelintir pihak yang menganggap bekas tentera itu tidak berpengalaman dan tidak tahu apa-apa mengenai hal akademik.

Sebaliknya, pengalaman Kapten Ariffin sebagai anggota Komando menjadi kelebihan buat PTA Karisma untuk memupuk sifat kepimpinan serta disiplin yang mungkin tidak dimiliki oleh semua guru.

Selain itu, beliau juga melatih generasi muda di PTA Karisma ini dengan kepimpinan, latihan keyakinan diri dan pembinaan pasukan secara berkesan. 

Cabaran lain yang dihadapi oleh PTA Karisma adalah pendekatan berbeza yang diambil dalam mengasah kemahiran sosial pelajar. Sebagai guru yang berpengalaman, Puan Marina percaya perkembangan pelajar bukan sahaja terletak pada pencapaian akademik, malah pembangunan kemahiran sosial juga perlu dimantapkan. 

Terkenal sebagai negeri yang agak konservatif, beliau akui tidak semua warga Kelantan boleh menerima kaedah pendidikan yang memerlukan pelajar untuk berinteraksi dan bergaul antara pelajar lelaki dan perempuan. 

Namun, beliau menerima segala cabaran ini dengan hati terbuka demi membangunkan generasi muda yang berkualiti di negeri kelahirannya. 

Team KHOM

Peserta Misi Kemanusiaan Antarabangsa KHOM Jordan pada tahun 2017 (Light of Hope 1.0)


Dugaan KHOM Untuk Berkhidmat Kepada Masyarakat 

Meskipun terbina berlandaskan rasa prihatin kepada masyarakat, namun KHOM juga tidak terlepas daripada kritikan orang sekeliling. 

Antara cabaran yang dihadapi untuk menguruskan KHOM ialah persepsi masyarakat mengenai organisasi kebajikan.

Perkara ini tercetus apabila ada yang menganggap bahawa kebanyakan NGO suka mengambil kesempatan dan menjadikan pertubuhan kebajikan sebagai lubuk duit yang mengambil sebahagian daripada hasil sumbangan derma untuk kepentingan peribadi.

Beliau menegaskan bahawa 100% hasil kutipan derma yang terkumpul akan disalurkan kepada kerja-kerja kebajikan sepenuhnya ketika misi kemanusiaan dikelolakan oleh anggota alumni.

Malah, anggota KHOM juga rela mengembara dalam keadaan serba kekurangan supaya dana dapat disalurkan sebanyak mungkin kepada yang memerlukan. 

Namun, demi memastikan pengurusan yang lebih profesional serta perkembangan KHOM pada jangka masa akan datang, organisasi ini perlu gunakan khidmat staf sepenuh masa dan pengurusan melalui pejabat.

Oleh itu, KHOM perlu mengambil kira kos pentadbiran secara minima untuk operasi seharian serta pengurusan misi kemanusiaan yang lebih lancar.

Tak cukup dengan itu, warganet juga pernah mempertikaikan misi kemanusiaan KHOM yang dianggap hanya membantu pelarian Palestin dan Syria seperti yang terpapar pada iklan NGO tersebut di platform media sosial.

Menurut Puan Marina, organisasi beliau tidak pernah terlintas untuk mengabaikan kebajikan rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik. Seperti yang terpapar pada laman rasmi mereka, KHOM sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan kepada warga tempatan. 

Tambahan pula, anggota alumni KHOM juga banyak memberi sokongan kewangan untuk organisasi ini menjalankan misi kemanusiaan tempatan secara lancar. 

Namun, mereka memerlukan penglibatan serta dana yang lebih besar buat misi kemanusiaan di negara luar. Oleh sebab itulah, Puan Marina menggunakan platform iklan di media sosial untuk mewar-warkan kegiatan kemanusiaan tersebut bagi mencapai lebih ramai penderma. 

Harapan PTA Karisma Dan KHOM Pada Masa Hadapan

Nik Marina berharap bilangan pelajar di Pusat Tuisyen Akademik Karisma akan bertambah saban tahun dan terus menjadi pilihan masyarakat Kelantan untuk mendapatkan pendidikan tambahan.

Selagi wujudnya PTA Karisma, beliau juga berharap bahawa pusat tuisyen ini mampu melahirkan lebih ramai lagi generasi mapan serta berkualiti pada masa akan datang. 

Manakala untuk KHOM pula, beliau  berhasrat untuk menjangkau lebih ramai orang dan memberi impak yang besar setaraf dengan badan bukan kebajikan ternama yang lain. 

Tambahan pula, NGO tersebut kini semakin dikenali ramai dan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. 

Selain memperluas organisasi, Puan Marina juga melihat keperluan bagi individu dalam organisasi KHOM untuk berkembang demi menjaga reputasi NGO ini.

Oleh itu, beliau berharap supaya organisasi ini mampu melatih lebih ramai staf yang berkualiti demi perkembangan masa depan KHOM. 

Di samping itu, Puan Marina juga melihat potensi yang besar pada KHOM untuk berkolaborasi dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas misi antarabangsa pertama mereka pada tahun 2017.

Meskipun ia merupakan peluang keemasan, pelawaan kerjasama tersebut terpaksa ditolak kerana organisasinya belum berdaftar pada ketika itu. 

Oleh itu, beliau berharap supaya ada kesempatan lain buat KHOM pada masa akan datang.

Kegigihan Puan Marina dalam menjalankan misi kemanusiaan di samping mentadbir operasi pusat tuisyen wajar diberi pujian. 

Meskipun berdepan dengan pelbagai kritikan serta cabaran demi membantu masyarakat, namun pasukan sukarelawan KHOM yang dipimpin oleh beliau tidak pernah mengenal erti putus asa. 

Akhir kata, semoga Puan Marina terus maju dalam membangunkan PTA dan KHOM serta menjadi inspirasi buat masyarakat di luar sana.

Baca juga: Pernah Jual Tudung dari Bilik ke Bilik, Kini Founder Sugarscarf Bergelar Pemilik Jenama Hijab Premium

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top