Sebagai negara yang berbilang kaum, sering kali kita pasti akan kagum dengan kejayaan bisnes orang Cina. Dalam kebanyakan masa, bisnes mereka dapat berkembang pantas dan dapat bertahan selama beberapa generasi.
Kebanyakan daripada mereka juga mula berniaga dari tiada apa-apa, namun mereka cekal untuk bangunkan bisnes sehingga mampu jadi jutawan.
Jadi, apakah rahsia bisnes orang Cina sehingga mereka sering dikenali sebagai sebuah bangsa yang bijak berniaga? Ayuh kita semak.
10 Rahsia Bisnes Orang Cina Yang Usahawan Perlu Tahu
1. Kerja Keras
Kebanyakan dari kita pasti kagum melihat semangat dan kegigihan orang Cina ketika berbisnes. Mereka sanggup bekerja tanpa mengira waktu. Mereka juga sanggup bersusah-payah dan tidak mengenal istilah ‘letih’.
Bukan itu sahaja, malah bisnes yang mereka lakukan juga bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam. Bila lakukan sesuatu, mereka akan buat sampai jadi.
Dalam Islam sendiri pun ada pepatah ‘Man Jadda Wajada’ yang bermaksud siapa yang berusaha, dia pasti akan dapat.
2. Berjimat Cermat
Perasan tak yang kebanyakan orang Cina akan menggunakan duit bisnes untuk rolling modal sahaja? Mereka bijak menguruskan wang dan jarang berbelanja secara mewah.
Yang lebih penting, mereka sangat menjaga duit keluar masuk dalam bisnes. Segala wang yang digunakan akan dicatat dalam rekod secara terperinci.
3. Etika Bisnes Yang Baik
Orang Cina juga sangat menjaga etika ketika melakukan perniagaan. Kalau kita perasan, bisnes orang Cina cukup harmoni. Mareka sangat pantang untuk gunakan taktik kotor dalam perniagaan dan tidak suka mengganggu atau burukkan bisnes orang lain.
Sebaliknya, mereka sering amalkan etika persaingan secara sihat dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.
Seperkara lagi kalau anda perasan, mereka gemar untuk buka bisnes sebelah-menyebelah. Kedai sebelah jual telefon, mereka pun jual telefon.
Mereka juga tiada masalah untuk kongsikan stok kepada kedai sebelah. Sebagai contoh, jika spare part telefon kedai sudah kehabisan stok, mereka akan ‘pinjam’ daripada kedai sebelah.
Asalkan barangan terjual dan masalah pelanggan dapat diselesaikan, kedua-dua pihak akan berpuas hati.
4. Hubungan Baik Dengan Pelanggan
Sekiranya anda pernah berurusan dengan penjual berbangsa Cina, anda pasti kagum dengan keramahan serta layanan yang diberikan.
Peniaga Cina juga rajin bertanya khabar atau berikan ucapan Selamat Hari Raya kepada pelanggan.
Ini menunjukkan keutamaan mereka dalam menjaga hati pelanggan. Cara mereka berbisnes bukanlah seperti orang lain yang hanya memikirkan duit semata-mata.
Sebaliknya, mereka mahu jaga hubungan baik dengan pelanggan pada jangka masa panjang.
Ini sekaligus menjadi salah satu rahsia bisnes orang Cina yang membuatkan pelanggan tertarik untuk kembali membeli produk atau perkhidmatan mereka.
Orang Cina juga biasa lakukan tawar menawar kerana bagi mereka, ini adalah satu cara untuk menjalinkan hubungan baik dengan pelanggan.
5. Pantas Bertindak
Salah satu rahsia orang Cina berbisnes yang ramai terlepas pandang adalah ketangkasan mereka dalam berfikir.
Mereka selalu berpegang kepada prinsip ‘siapa cepat, dia dapat’. Sebelum orang lain buat, mereka akan buat dahulu. Sebelum pelanggan fikirkan sesuatu, mereka akan tawarkan penyelesaian dulu.
Bukan sahaja pantas dalam membuat keputusan, malah perkhidmatan yang mereka tawarkan juga pantas.
Jika mereka janjikan kereta siap dalam masa 2 jam, sebelum 2 jam juga dia akan telefon kita semula untuk ambil kereta di bengkel.
Oleh sebab itulah ramai yang berpuas hati dengan servis yang mereka tawarkan.
6. Belajar Dari Pengalaman
Bagi orang Cina, bisnes mereka tidak akan bertahan hanya dengan ilmu semata-mata. Sebaliknya, mereka perlu ada pengalaman untuk jayakan sesebuah perniagaan.
Oleh sebab itulah ramai anak muda Cina yang sanggup belajar berniaga selepas tamat sekolah demi mendapatkan pengalaman dan pelajari selok belok perniagaan.
Mereka juga tidak kisah untuk mulakan perniagaan secara kecil-kecilan atau bekerja dengan orang terlebih dahulu demi mencari pengalaman yang berharga.
Seperti pengasas 99Speedmart, beliau nekad untuk mulakan berniaga secara kecil-kecilan di depan rumah demi menyara keluarga. Bukan sahaja berniaga dalam keadaan serba kekurangan, malah beliau hanya berusia 14 tahun ketika itu!
7. Percaya Pada Konsep Rezeki
Sama seperti orang kita, rahsia orang Cina berbisnes juga terletak kepada rutin mereka yang rajin berusaha dan bangun pada awal pagi untuk menjemput rezeki.
Mereka juga akan memulakan kerja pada awal pagi dan percaya kepada konsep ‘ memberi akan membuatkan mereka dapat lebih banyak’.
Seperti konsep sedekah, mereka juga percaya bahawa perbuatan baik akan dibalas dengan rezeki yang lebih banyak.
8. Sentiasa Berfikiran Positif
Mungkin ada yang belum tahu bahawa orang Cina yang berniaga biasanya mempunyai mindset yang sangat positif.
Mereka juga takkan bercakap perkara buruk sebelum mula berniaga.
Seperti usahawan lain, mereka juga menganggap untung rugi sebagai adat dalam bisnes. Asalkan kerugian tidak berlaku berpanjangan adalah sudah memadai dalam perniagaan.
Bagi mereka, kerugian pada tempoh yang singkat adalah laluan bagi keuntungan jangka masa panjang.
9. Kreatif Mencari Solusi
Satu lagi rahsia orang Cina berbisnes yang tidak ramai boleh lakukan ialah kreativiti mereka dalam menyelesaikan masalah.
Salah seorang usahawan Cina yang boleh kita contohi dalam bab ini adalah Bryan Loo, iaitu pengasas jenama Tealive dan Bask Bear.
Pernahkah anda terfikir untuk membuka kedai minuman di slot kecil ATM atau berkolaborasi dengan jenama telefon bimbit terkemuka untuk kempen pemasaran minuman teh boba? Semua yang dinyatakan ini pernah dilakukan oleh Bryan sendiri.
Sesuai dengan nama syarikatnya iaitu Looking Out Of Box (LOOB), Bryan percaya bahawa seorang usahawan itu perlu berfikir di luar kotak untuk mencapai solusi terbaik bagi setiap masalah.
10. Menjadi Bos Kepada Diri Sendiri
Meskipun hanya makan gaji, pekerja Cina akan fikirkan perniagaan itu adalah perniagaan mereka sendiri. Dengan erti kata lain, merekalah pekerja dan mereka jugalah bos.
Dengan mindset sebegini, mereka akan bertindak serta berfikir sebagai seorang bos dan sering mencari jalan untuk membawa keuntungan tinggi kepada bisnes.
Begitulah antara rahsia bisnes orang Cina yang membuatkan mereka terkenal sebagai peniaga yang berjaya di negara kita.
Dengan pengalaman, semangat serta etika berniaga yang mantap seperti orang Cina, anda juga mampu untuk jadi usahawan berjaya.
Selain itu, anda juga perlu pantas bertindak dan bijak mencari solusi bagi setiap masalah. Jangan lupa juga untuk kekalkan hubungan yang baik dengan pelanggan serta bisnes berdekatan demi perniagaan yang harmoni.
Sumber : Majalah Labur, richworks.com