Dengan menerima pengesahan dari Bank Negara Malaysia (BNM) GX Bank Berhad (GXBank) kini menjadi bank digital pertama untuk memulakan operasi di Malaysia.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan, GXBank telah berjaya melengkapkan penilaian ketersediaan operasi dan telah menerima kelulusan oleh BNM.

gx bank

Bagi yang belum tahu, GX merupakan anak syarikat kepada GXS Bank Pte Ltd. Bank digital ini merupakan syarikat yang ditubuhkan atas kerjasama antara Grab Holdings Limited, Singapore Telecommunications Ltd (Singtel) dan mendapat pelaburan daripada beberapa pemain industri dari Malaysia antaranya Kuok Group.

Daripada lima permohonan, GX Bank muncul sebagai digital pertama yang telah diberikan kelulusan untuk beroperasi di Malaysia.

Bank ini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pei Si Lai dan lembaga pengarah yang diketuai oleh Datuk Zaiton Mohd Hassan. Bank digital ini juga akan disokong oleh 200 pekerja yang mahir dalam sektor teknologi dan kewangan.

Dengan pengumuman ini, GX Bank akan mulakan operasi dengan melakukan ujian beta bagi perkhidmatan serta aplikasi mereka bersama pekerja, syarikat Grab dan Kuok Group terlebih dahulu.

Secara berperingkat, ujian ini juga akan dijalankan terhadap jumlah pengguna yang lebih besar pada masa akan datang. Sebelum ia dilancarkan kepada umum, usaha ini diharap dapat mempersiap GX Bank dalam menawarkan pengalaman pengguna yang terbaik buat pelanggan.

“GXBank akan menerapkan inovasi dan teknologi bagi memenuhi keperluan semua individu termasuk pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Bank digital ini akan menawarkan sokongan pelanggan menerusi pelbagai saluran termasuk aplikasi bank dan bantuan pelanggan 24 jam”, jelas pihak bank digital ini dalam satu kenyataan media.

gx bank

CEO GXBank, Pei Si Lai

Empat lagi bank digital yang diumumkan oleh BNM juga dibentuk daripada kerjasama pelbagai syarikat termasuk Axiata (menerusi Boost Holdings Sdn Bhd) dan RHB Bank Berhad, SEA Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd, AEON Financial Service Co Ltd dan AEON Credit Service Berhad serta KAF Investment Bank Berhad.

Pada masa yang sama, dua bank digital turut ditubuhkan di bawah lesen perbankan BNM yang sedia ada iaitu Be U by Bank Islam dan Rize by Al Rajhi Bank Malaysia.

Sumber : Grab

Baca Juga : Alliance Bank Lancar Kad Kredit Virtual Pertama di Malaysia

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top