99 Speedmart adalah salah satu jenama pasar mini yang tidak asing lagi di Malaysia. Sinonim dengan warna jingga dan hijau, kedai runcit yang mempunyai lebih 2,300 cawangan ini ada sejarahnya tersendiri.

Di sebalik populariti kedai serbankeka ini, anda pasti tidak menyangka yang ia dibangunkan oleh seorang usahawan bersatus orang kurang upaya (OKU).

Lee Thiam Wah bukan sahaja mempunyai empayar pasar mini terkemuka, malah beliau juga merupakan orang penting bagi Burger King dan Alliance Bank! Nak tahu dengan lebih lanjut? Ayuh kita semak beberapa fakta menarik mengenai pengasas 99 Speedmart ini.

pengasas 99 Speedmart

7 Fakta Menarik Pengasas 99 Speedmart Yang Ramai Tak Tahu

1. Menghidap Penyakit Polio Sejak Bayi

Lee Thiam Wah dilahirkan pada tahun 1954 dan disahkan menghidap penyakit polio ketika berusia 8 bulan. Ini menyebabkan beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Lee yang memiliki 11 orang adik beradik hanya mampu bersekolah sehingga darjah enam. Walaupun berasal dari keluarga serba kekurangan, namun ia tidak menjadi penghalang buat beliau untuk menjadi usahawan berjaya.

2. Minat Berniaga Sejak Kecil

Pada usia 14 tahun, Lee mula berniaga makanan ringan di luar rumahnya yang terletak di Jalan Kampar, Klang. Walaupun tidak lagi bersekolah, namun Lee banyak menghabiskan masa membaca buku yang dipinjam dari jiran sambil menjaga gerai kecilnya.

“Saya perlu tolong diri saya sendiri. Lagipun, tiada siapa yang mahu ambil saya bekerja kerana kekurangan fizikal saya,” kongsi Lee.

Berkat usahanya yang konsisten, Lee mampu mengumpul wang sebanyak RM 17,000 apabila menjangkau usia 23 tahun. Beliau nekad menggunakan wang tersebut sebagai modal untuk membuka kedai runcit pertamanya yang dinamakan Pasar Raya Hiap Hoe.

3. Sanggup Turunkan Harga Barang Demi Naikkan Reputasi Bisnes

Pada tahun 1992, Lee telah menjual kedai runcitnya dengan harga RM 88,000 untuk membuka pasar mini.

Beliau kemudian menukar nama perniagaannya kepada 99 Speedmart pada tahun 1999.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa ia dipanggil 99 Speedmart? Jawab Lee, adalah mustahil untuk seseorang mencapai 100 peratus kesempurnaan, jadi 99 pun sudah cukup baik! Tambahan pula, angka 99 juga menjadi simbol kepada ruang penambahbaikan yang sentiasa ada dalam bisnes.

Menurut Lee, bukan mudah untuk bangunkan bisnes dan bersaing dengan jenama sedia ada. Untuk menjadi pasar raya mini yang lebih menyerlah, beliau sanggup menjual beberapa produk dengan harga paling rendah. Pengorbanan beliau membuahkan hasil apabila 99 Speedmart mula menjadi sebutan orang ramai dan semakin terkenal saban tahun.

4. Status OKU Bukan Penghalang Untuk Jadi Usahawan Profesional

Lee juga tidak mengharapkan layanan istimewa hanya kerana beliau bergelar OKU, malah beliau lebih selesa berurusan secara profesional dengan pembekal lain.

Berbekalkan pengalaman yang ada, usahawan ini juga bijak membina hubungan yang baik dengan pembekal. Selain menawarkan perkhidmatan baik kepada pelanggan, bisnes Lee juga terkenal dalam kalangan pembekal kerana sikapnya yang tidak suka berlengah apabila membuat pembayaran kepada pembekal.

Berbanding kebanyakan peniaga yang suka bertangguh, Lee akan pastikan setiap pembekal terima pembayaran dalam masa 30 minit untuk pesanan sebelumnya apabila mereka menghantar stok baharu di cawangan.

5. 99 Speedmart Raih Pelbagai Anugerah

Berkat pimpinan Lee Thiam Wah, Speedmart 99 berjaya mencapai hasil jualan sebanyak RM 1 billion pada tahun 2011 daripada 300 cawangan. Jenama ini juga berjaya membuka cawangan ke 1,000 pada tahun 2017 dan kini miliki lebih 2,000 premis termasuk 3 buah di Singapura.

Reputasi 99 Speedmart terbukti apabila jenama ini meraih pelbagai anugerah seperti Anugerah Kedai Pilihan Pengguna bagi tahun 2008, 2009 dan 2012.

Atas komitmen memperkasakan penjualan produk tempatan dalam pasaran, 99 Speedmart meraih Anugerah NielsenIQ : No.1 di Malaysia untuk Jualan Runcit FMCG bagi Tahun 2021 & 2022.

Selain itu, jenama ini juga telah terpilih sebagai penerima Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) bagi tahun 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2021 dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

pengasas 99 Speedmart

6. Lee Pegang Saham Besar Alliance Bank Malaysia

Pasti ramai yang tidak tahu yang Lee juga merupakan pemegang saham ketiga terbesar bagi Alliance Bank Malaysia. Pakar industri berpendapat agak jarang bagi pelabur individu miliki lebih 5 peratus dalam saham bank tempatan. Pemegang saham tersebut juga perlu melalui penilaian ketat dari Bank Negara Malaysia.

Lebih penting lagi, seseorang pelabur itu juga perlu memiliki reputasi yang baik, status kewangan yang stabil serta berintegriti.

7. Pengasas 99 Speedmart Miliki Hak Francais Burger King

Pasti ramai yang tak tahu bahawa pengasas Speedmart 99 ini juga telah membeli hak francais Burger King Malaysia dan Singapura. Pada Ogos 2015, Ekuinas telah menjual hak ini kepada Newscape Capital Sdn Bhd, iaitu syarikat yang dimiliki oleh Lee Thiam Wah dengan nilai RM 74.6 juta.

Beliau telah bekerjasama dengan Datuk Chua Tia Guan untuk miliki Rancak Selera Sdn Bhd iaitu syarikat yang memegang operasi Burger King di dua negara tersebut.

pengasas 99 Speedmart

Tak Berasa Rendah Diri Dengan Kekurangan

Walaupun tidak berpelajaran tinggi dan berstatus OKU, namun Lee tidak melihat ini sebagai penghalang untuknya membina empayar kedai runcit. Menurut Lee, ilmu serta pengalaman adalah sangat berharga dan mampu membina keyakinan seseorang.

Sambil berniaga, beliau bukan sahaja berkesempatan untuk pelajari keperluan serta minat pelanggan, malah Lee juga dapat membina jaringan dengan pembekal sambil mempelajari strategi untuk bersaing dengan jenama lain.

“Apabila berurusan dengan orang, saya tak berasa rendah diri disebabkan kekurangan saya. Memang benar saya tak mampu berjalan, tidak pandai berbahasa Inggeris dan bersekolah sehingga darjah enam sahaja. Namun, pengalaman yang dimiliki menjadikan saya serba boleh dan mampu memberikan khidmat terbaik buat pelanggan”, ujar Lee.

Kejayaan Lee untuk membina empayar 99 Speedmart bukanlah sesuatu yang mudah. Tanpa pendidikan yang tinggi dan kekurangan dari segi fizikal, Lee Thiam Wah berjaya membuktikan kepada semua yang sesiapa sahaja mampu menjadi usahawan dengan kecekalan dan azam yang kuat.

Selepas ini, bila anda berkunjung ke 99 Speedmart, ingatlah bahawa pasar mini tersebut dibangunkan oleh seseorang yang serba kekurangan namun mempunyai semangat yang cukup besar untuk mengubah nasib hidup dan memberi manfaat kepada semua.

Sumber : Forbes, The Edge Malaysia, Focus Malaysia

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top