Pengasas Tealive iaitu Bryan Loo merupakan seorang usahawan tempatan yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Meskipun masih muda, beliau merupakan antara orang penting di sebalik perkembangan industri teh boba di Malaysia.

Pengasas merangkap Pegawai Eksekutif LOOB Holdings ini juga telah memenangi pelbagai anugerah keusahawanan atas pencapaiannya mengembangkan Tealive serta beberapa jenama lain iaitu Bask Bear Coffee, Wonderbrew dan Soda Express.

Di sebalik kejayaannya, usahawan berusia 38 tahun ini tidak lokek berkongsikan pengalaman serta tips bisnes kepada orang ramai yang ingin membina empayar perniagaan sepertinya.

Ayuh kita ikuti 6 tips bisnes daripada pengasas Tealive ini.

Pengasas Tealive

Inovasi dan Strategi Itu Penting! Ini 6 Tips Bisnes Daripada Pengasas Tealive Yang Usahawan Perlu Tahu

1. Mudahkan Pihak Lain Untuk Berkolaborasi

Tealive merupakan antara kedai minuman yang paling mudah dijumpai di stesen minyak. Tak kiralah sama ada anda pelanggan setiap Petronas, Shell, BHP, Caltex atau Petron, besar kemungkinan akan terserempak dengan cawangan Tealive ketika sedang mengisi minyak.

Kalau anda nak tahu, Tealive telah bekerjasama dengan lima syarikat pengeluar minyak dan gas dan mempunyai 330 cawangan di serata Asia Tenggara.

Namun, ia bukanlah perkara yang mudah untuk Bryan. Beliau berkongsi yang Tealive perlu meyakinkan Shell beberapa kali dan perlu mengeluarkan kertas cadangan dengan terma yang betul-betul optimum sebelum mereka bersetuju untuk jalinkan kerjasama.

Untuk memenangi hati Shell, Bryan telah memohon supaya membuka tiga cawangan Tealive terlebih dahulu. Setelah melihat progres yang positif daripada ketiga-tiga cawangan ini, barulah Shell bersetuju untuk bekerjasama bagi membuka lebih banyak lagi cawangan Tealive di stesen minyak mereka.

Dengan erti lain, seseorang usahawan itu perlulah merancang strategi yang rapi untuk jalinkan kerjasama bisnes. Jenama anda mungkin miliki cita-cita yang besar, namun anda juga perlu pertimbangkan risiko yang rakan niaga anda perlu ambil. Jadi, adalah penting bagi anda mencapai keseimbangan supaya kerjasama tersebut dapat memberi keuntungan buat kedua-dua pihak.

Pengasas Tealive

2. Jangan Takut Untuk Berkolaborasi Walaupun Bisnes Masih Kecil

Bryan berpendapat bahawa setiap bisnes perlu berani untuk jalinkan kerjasama supaya jenama lebih cepat dikenali.

Ketika Loob Holding masih memegang francais jenama Chatime, Bryan berkongsi pengalaman ketika mereka bekerjasama dengan HTC, iaitu jenama laptop dan telefon bimbit popular dari Taiwan.

Ketika itu, Chatime mengalami kesukaran untuk mendapat pelanggan dan perkenalkan minuman mereka kerana kedudukan cawangan mereka yang tersorok di sudut pusat membeli-belah Pavillion.

Secara kebetulan, ketika itu, HTC sedang melancarkan model telefon bimbit baharu. Ini mencetuskan idea buat Bryan untuk bekerjasama dengan jenama dari Taiwan itu. Jadi, Bryan dan pasukannya telah berkolaborasi dengan HTC untuk menawarkan 5 telefon bimbit model baharu itu kepada pelanggan Chatime bertuah.

Setelah mereka lancarkan kempen media sosial mengenai, orang ramai mula beratur di cawangan Chatime untuk merebut hadiah telefon bimbit.

Bryan juga sangat bersyukur kempen tersebut menjadi batu loncatan kepada Chatime untuk dikenali lebih ramai orang.

“Daripada cerita ini, anda sendiri boleh lihat yang sesebuah jenama itu tak perlu menunggu untuk jadi terkenal. Cukuplah dengan idea bernas untuk promosikan produk, orang ramai pasti teruja untuk mencuba jenama anda,” jelas Bryan.

3. Kenalpasti Tumpuan Pelanggan di Lokasi Berbeza

Untuk maksimakan capaian pelanggan, seorang usahawan itu perlu kenalpasti lokasi tumpuan orang ramai yang mungkin berbeza di kawasan. Jika di Malaysia, Tealive banyak berkolaborasi dengan stesen minyak kerana ramai pengguna berkunjung ke sana.

Jenama minuman boba itu juga sedang berbincang untuk membuka cawangan di Shell Canada dan Oman pada masa akan datang.

Namun, pasukan Tealive dapati habit pelanggan mungkin berbeza mengikut negara. Apabila mereka ingin meneroka peluang bisnes di Myanmar, pasukan Bryan dapati masyarakat di sana jarang berkunjung ke pusat membeli-belah atau stesen minyak.

Sebaliknya, mereka sering membuat kunjungan ke bank. Maka, tercetuslah idea untuk pengasas Tealive ini menjalinkan kerjasama dengan bank terbesar di Myanmar iaitu UAB Bank. Kini, warga Myanmar boleh nikmati Tealive di 30 cawangan UAB Bank.

Selain dapat mencapai pelanggan dengan lebih berkesan, cara ini juga akan membuatkan jenama anda lebih terkenal dalam sesebuah lokaliti.

4. Fikir di Luar Kotak Untuk Selesaikan Masalah

Apabila Tealive ingin mengembangkan bisnes ke Melbourne, Australia, mereka menemui jalan buntu. Jenama minuman boba ini sudah lama menyasarkan lokasi di Swanson Steet, namun kawasan tersebut sentiasa penuh sehingga tiada lot kosong untuk disewa.

Ia bukanlah suatu perkara yang mengejutkan buat Bryan kerana kawasan tersebut sememangnya merupakan lokasi tumpuan pelanggan.

Namun, Bryan tidak berputus asa terlebih dahulu dan berfikir di luar kotak supaya jenama Tealive tetap mendapat tempat untuk beroperasi di kawasan itu.

Setelah membuat kajian, Bryan dapati terdapat sebuah mesin ATM yang terbengkalai di situ selama bertahun-tahun. Jadi, Tealive mengambil lot kecil itu dan mengubahnya menjadi sebuah cawangan.

Disebabkan ruang yang sempit, mereka perlu memasang peralatan daripada siling. Setelah enam bulan, Tealive berjaya membuka operasi di Swanson Street dan sekaligus memecah rekod sebagai cawangan dengan keluasan paling kecil (35 kaki persegi).

pengasas tealive

5. Manfaatkan Teknologi Untuk Kelebihan Bisnes

Usahawan yang bijak akan manfaatkan teknologi sebagai alatan untuk lancarkan operasi bisnes. Disebabkan Tealive mempunyai 60 jenis minuman yang boleh diubah suai, seorang Tearista perlu mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk mahir membuat minuman mengikut permintaan pelanggan.

Untuk membantu Tearista pelajari proses pembuatan minuman dengan lebih cepat, Tealive telah membangunkan satu perisian yang dinamakan Kitchen Display System (KDS).

Setiap kali menerima pesanan, Tearista hanya perlu masukkan pesanan dalam sistem dan langkah-langkah dan ramuan yang diperlukan untuk membuat air akan terpapar di skrin.

Telah diperkenalkan sejak 2019, kini Tearista hanya memerlukan tempoh latihan selama 7 hari sahaja untuk mahir membuat minuman.

Dengan pembukaan cawangan yang pantas di luar negara, cara ini juga telah memudahkan proses latihan di sana.

Lebih menarik lagi, KDS ini juga dilengkapkan dengan ciri Cloud, jadi Tealive boleh mengemaskini menu baharu dalam sistem tanpa memerlukan pekerja jalani latihan pada tempoh yang lama.

6. Fokus Pada Jumlah Cawangan Milik Sendiri

Dalam 10 tahun ini, kita dapat melihat kemasukan pelbagai jenama minuman teh. Ada yang datang dari luar negara, ada juga yang dicetuskan sendiri oleh anak tempatan. Namun, tidak banyak yang mampu bertahan dalam industri yang mencabar ini.

Menurut Bryan, kualiti produk bukanlah faktor utama yang menjamin kedudukan sesebuah jenama minuman teh. “Sebenarnya ada banyak minuman yang lebih baik dari Tealive, namun kami percaya kepada visi syarikat iaitu untuk memodenkan cara untuk nikmati teh di Malaysia.”

Semasa Tealive sedang berkembang, Bryan dapati salah satu aspek yang membuatkan mereka mampu bertahan berbanding pesaing lain adalah jumlah cawangan yang mereka miliki sendiri dan mengehadkan francaisi.

Daripada 860 cawangan di Malaysia, 80% daripadanya adalah milik Tealive.

Ini merupakan satu strategi yang membantu mereka menjadi satu jenama minuman boba yang kukuh saban tahun. Sudah menjadi lumrah bisnes untuk berdepan dengan untung dan rugi.

Berdasarkan pemerhatian Bryan, sesetengah francaisi mudah berputus asa sekiranya bisnes kurang mendapat sambutan. Tambahan pula, itu bukan jenama mereka sendiri.

Namun, masih ada francaisi yang mahu berjuang bersama jenama Tealive. Bryan berkongsi yang sesetengah francaisi mahu menjadi sebahagian daripada jenama kuat ini dan melihat potensi yang besar padanya.

“Mereka tahu yang bila mereka sertai Tealive, kami yang akan menanggung risiko yang lebih besar kerana kami memegang 80% cawangan. Kami tak akan membiarkan jenama ini jatuh. Kegagalan bukanlah satu pilihan,” luah pengasas Tealive itu.

Jadi, tiada masalah untuk membuka peluang francaisi kepada usahawan lain, namun ia perlulah dilakukan pada nisbah yang optimum. Memang mudah untuk sesebuah bisnes buat duit dengan sistem francaisi, namun ini boleh memberi risiko yang besar kepada sesebuah syarikat.

pengasas tealive

Dengan pengoperasi ribuan cawangan di dalam dan luar negara, memang tidak dapat dinafikan bahawa pengasas Tealive ini mempunyai pengalaman yang cukup luas walaupun masih muda.

Pelbagai cabaran telah dihadapi namun beliau bijak melakukan inovasi dan merancang strategi untuk kembangkan bisnes sehingga menjadi jenama teh boba terkemuka di Malaysia.

Sumber : Vulcanpost

Artikel lain : Baru 4 Tahun Dalam Industri, ZUS Coffee Kongsi Rahsia Mampu Kembangkan Bisnes Kepada 225 Cawangan

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top