Jika anda gemar belajar bahasa asing, mungkin anda pernah dengan tentang sebuah aplikasi popular iaitu Duolingo. Aplikasi ini menawarkan pembelajaran percuma kepada lebih 30 jenis bahasa secara santai dan interaktif.
Menurut kajian, pengguna yang melengkapkan 5 unit pembelajaran dalam aplikasi ini mempunyai pendedahan yang sama dengan pengambilan kos bahasa di universiti selama 4 semester! Tak hairanlah aplikasi ini disukai oleh 42 juta pengguna setia serata dunia!
Untuk menjadi aplikasi pembelajaran bahasa nombor satu di dunia, Duolingo telah menggunakan beberapa strategi pemasaran kreatif. Jom kita semak satu persatu!
5 Taktik Pemasaran Kreatif Duolingo Untuk Tawan Hati Pengguna
1.Tarik Pengguna Millenial Menerusi TikTok
Strategi Duolingo untuk tingkatkan brand awareness menerusi platform TikTok adalah pilihan yang tepat kerana 60% daripada pengguna mereka adalah berusia 30 tahun dan ke bawah.
Siapa sangka yang burung hantu hijau ini boleh viral di platform tersebut sehingga berjaya mengumpul 40 kali ganda pengikut hanya dalam masa 5 bulan?
Membawa isu kesukaran akibat perbezaan bahasa dan cabaran untuk konsisten dalam belajar, ramai pengguna millenial nampaknya cukup terhibur dengan kandungan yang kelakar dan santai daripada Duolingo.
Secara tidak langsung, ini juga membuatkan mereka ingin cabar diri dalam mempelajari bahasa baru di aplikasi tersebut.
2. Struktur Aplikasi Yang Menarik dan Konsisten
Antara perkara yang paling penting dalam pembangunan aplikasi adalah pengalaman pengguna atau user experience yang menarik dan lancar. Apa yang membuatkan ramai pengguna melekat pada aplikasi ini adalah disebabkan penawaran kos pembelajaran yang konsisten bagi setiap bahasa.
Pengguna yang pertama kali gunakan aplikasi ini juga tiada masalah untuk kendalikan aplikasi ini dengan adanya pop-up serta tutorial ringkas. Duolingo juga konsisten dalam memberikan cadangan kepada pengguna agar mereka dapat pengalaman belajar yang lebih berkesan.
Grafik ringkas serta ikon comel dalam aplikasi ini bukan sahaja digunakan secara konsisten bagi setiap modul bahasa, malah ia sangat comel dan sering muncul untuk memberi semangat kepada pengguna untuk meneruskan pembelajaran.
3. Pemasaran Emel Yang Informatif
Untuk mengekalkan kesetiaan serta interaksi pelanggan menerusi aplikasi, Duolingo konsisten dalam menawarkan pemasaran emel yang informatif.
Selain untuk kongsikan progres pembelajaran pengguna, emel juga menjadi medium kepada Duolingo untuk kongsikan features terbaharu dan highlight terkini pada aplikasi.
Dengan adanya emel yang informatif dan menarik, ia mampu mendorong pengguna untuk manfaatkan aplikasi Duolingo semaksimum mungkin.
4. Konsep Streak Mendorong Pembelajaran Berterusan
Bukan mudah untuk kekal komited dalam mempelajari bahasa asing. Dengan membawa konsep game, Duolingo berjaya mengajak pengguna untuk konsisten demi mencapai matlamat pembelajaran.
Antara konsep popular dalam aplikasi tersebut adalah Streak iaitu kiraan untuk mengukur tahap konsistensi pengguna dalam mengikuti pembelajaran setiap hari.
Semakin lama Streak dapat dikekalkan, semakin besar ganjaran yang bakal diterima pengguna.
Ciri-ciri gaming lain dalam aplikasi seperti nyawa serta ganjaran Gems turut mendorong pengguna untuk lengkapkan unit pembelajaran di Duolingo secara santai.
5. Bijak Memanfaatkan Trend Semasa
Mungkin anda tahu yang Duolingo menawarkan pembelajaran bagi puluhan jenis bahasa. Namun, tahukah anda yang Duolingo juga pernah mewujudkan kos bahasa fiksyen untuk tarik peminat rancangan bersiri?
Melihatkan sambutan yang hangat bagi rancangan Game of Thrones, Duolingo tidak berfikir panjang untuk berkolaborasi bersama HBO Max untuk hasilkan sebuah kos pembelajaran bahasa fiksyen yang popular dalam rancangan tersebut iaitu Bahasa Valyrian.
Bagi yang belum tahu, bahasa Valyrian merupakan sebuah bahasa fiksyen yang dibangunkan oleh seorang ahli bahasa iaitu David Peterson dan telah berkembang kepada hampir 400 perkataan dan frasa.
Kolaborasi unik ini telah menarik sehingga 514,000 peminat tegar rancangan Game of Thrones untuk mempelajari bahasa tersebut.
Selain itu, kempen ini juga dilancarkan bersama pertandingan yang menawarkan hadiah pedang besi Game of Thrones yang bernilai US$25,000!
Disebabkan kempen ini jugalah aplikasi bahasa ini melihatkan peningkatan pengguna sehingga 155% dalam masa sebulan! Atas sambutan yang menggalakkan, Duolingo juga telah mewujudkan satu lagi kos bahasa fiksyen iaitu bahasa Klingon untuk peminat rancangan Star Trek.
Nampaknya, walaupun bahasa ini tidak wujud secara nyata, namun ia berjaya menarik lebih ramai pengguna secara berkesan. Berdasarkan data, 43 % daripada para peminat rancangan bersiri yang belajar bahasa fiksyen juga akan terdorong untuk mempelajari bahasa lain dalam Duolingo!
Tiada yang mustahil dalam dunia pemasaran. Kejayaan Duolingo membuktikan bahawa anda perlu berani untuk mencuba pelbagai platform bagi mencapai pelanggan sasaran dan tingkatkan brand awareness.
Dengan menjadi lebih peka terhadap trend semasa dan penyusunan strategi yang menarik, semua bisnes berpeluang untuk menarik pelanggan. Ditambah pula dengan user experience yang mantap serta pemasaran emel yang informatif, ini pasti akan membuatkan pengguna untuk terus kembali menggunakan jenama anda. Semoga perkongsian ini dapat menyuntik inspirasi buat anda untuk menyusun strategi pemasaran buat jenama. Selamat mencuba!