Microsoft baru-baru ini muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia dan sekaligus merampas takhta Apple.

Pada ketika ini, Microsoft mencatatkan nilai syarikat sebanyak US$ 2.89 trilion, nilai yang sedikit tinggi berbanding Apple pada nilai US$2.87 trilion.

saham Microsoft dan Apple

Pada tahun 2021, Microsoft pernah mengambil tempat Apple sebagai syarikat bernilai di dunia ketika pengurangan rantai bekalan telah menjejaskan nilai saham Apple pada tempoh pandemik.

Sebelum ini, nilai syarikat Apple juga pernah meningkat sehingga melebihi US$3 trilion buat seketika sebelum nilai tersebut menyusut kepada nilai melangkaui US$ 2 trilion.

Kedua-dua syarikat ini mempunyai penawaran produk teknologi yang kukuh bertaraf global. Seperti yang kita sedia maklum, Apple merupakan peneraju pasaran telefon pintar serta peranti bernilai tinggi dan produk terkenalnya seperti MacBook, iPhone dan Apple Watch mempunyai jutaan pengguna di seluruh dunia.

Jualan produk utama Apple iaitu iPhone di pasaran terbesar mereka iaitu China didapati tergugat meskipun stok jualan telah ditingkatkan sehingga 48%.

Beberapa sumber menyebut antara faktor yang menjejaskan jualan iPhone adalah disebabkan oleh situasi pemulihan daripada pandemik Covid-19 serta dominasi Huawei yang semakin kuat dalam pasaran negara tersebut.

Memetik investing.com, faktor lain yang turut menyumbang kepada penurunan jualan iPhone adalah tegangan geopolitik yang berlaku antara Amerika Syarikat dan China. Terdapat juga kemungkinan bahawa kerajaan China bakal mengharamkan pembelian iPhone di negara tersebut.

Sedang Apple bergelut, kedudukan Microsoft sebagai syarikat teknologi perisian nombor satu di dunia pula dilihat lebih stabil.

Microsoft setia dengan penawaran perisian komputer terkemuka termasuk Windows dan kini dikhabarkan turut melakukan pelaburan besar bagi menerajui bidang kecerdasan buatan (AI) secara lebih serius.

Syarikat Microsoft juga telah mengintegrasikan teknologi OpenAI bagi beberapa perisian sehingga mampu mencetus cabaran bagi dominasi Google sebagai web. Perkembangan ini juga dilihat sebagai pemangkin kepada peningkatan saham Microsoft.

Memasuki tahun 2024, jenama yang diasaskan oleh Bill Gates ini turut mengumumkan kekunci Copilot yang akan hadir pada pelbagai komputer baharu bermula tahun ini.

Sumber : Reuters, investing.com

Artikel lain : 6 Tips Untuk Bangunkan Startup Gaya Bill Gates

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top