Dalam perniagaan, terdapat dua konsep yang sering berkait antara satu sama lain iaitu pemasaran (marketing) dan penjenamaan (branding). Kedua-duanya berjalan seiring antara satu sama lain.

Untuk memastikan hala tuju yang baik bagi perniagaan, anda perlulah mengenalpasti serta ketahui cara terbaik untuk memanfaatkan kedua-duanya.

Sebelum kita ingin selami perbezaan antara marketing dan branding, kita perlulah fahami definisi bagi kedua-duanya.

Pemasaran (marketing) boleh diertikan sebagai gabungan proses, strategi serta peralatan yang digunakan untuk promosikan produk, perkhidmatan serta syarikat secara aktif.

Branding atau penjenamaan pula adalah amalan pemasaran yang membentuk jenama secara aktif. Penjenamaan juga adalah cerminan bagi nilai, misi serta keunikan bagi sesebuah syarikat. Ia boleh dipamerkan melalui elemen seperti logo, website serta gaya visual sesebuah jenama.

Sekiranya pemasaran menghubungkan jenama dengan pelanggan, penjenamaan pula membantu pelanggan untuk setia pada sesebuah jenama pada jangka masa panjang.

Perbezaan Antara Pemasaran dan Penjenamaan

Seperti yang dinyatakan tadi, fungsi pemasaran adalah untuk promosikan produk atau perkhidmatan, manakala penjenamaan digunakan untuk membina jenama serta identiti bagi syarikat.

Walaupun pemasaran dan penjenamaan mempunyai matlamat serta hasil yang berbeza, namun kedua-dua aspek ini memerlukan strategi yang mantap demi kelangsungan bisnes.

Berikut merupakan beberapa perbezaan antara pemasaran dan penjenamaan yang anda perlu tahu :

1. Pemasaran Tarik Perhatian Pelanggan, Penjenamaan Kekalkannya

Tak kiralah apa industri perniagaan yang anda ceburi sekali pun, anda pasti takkan terlepas menghadapi persaingan.

Rata-rata pelanggan pasti mahu berinteraksi dengan jenama yang mereka boleh percayai serta berhubung dengan mudah.

 Untuk mendapatkan perhatian pelanggan, strategi pemasaran yang mantap perlulah diatur sebaik mungkin. Setelah anda berjaya mencuri perhatian pelanggan, anda perlukan sesuatu yang boleh mengekalkan perhatian mereka. Di sinilah penjenamaan mula mainkan peranan dalam membina reputasi bisnes.

Pemasaran memacu hasil jualan manakala penjenamaan mendorong pengiktirafan dan kesetiaan

Kebanyakan strategi pemasaran seperti SEO, content marketing dan pengiklanan dirangka bagi meningkatkan hasil jualan.

Pada masa yang sama, penjenamaan adalah solusi yang terbaik untuk membina jenama, memacu nilai syarikat secara positif dan membentuk kesetiaan pelanggan.

Secara tidak langsung, ia akan memberikan impak yang positif kepada bisnes dalam jangka masa panjang.

2. Penjenamaan Didahulukan, Pemasaran Diutamakan

Dalam membina jenama, branding perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum pemasaran. Mana tidaknya, memang sukar untuk anda promosikan jenama tanpa wajah atau identiti yang jelas.

Jadi, sebelum anda rangka strategi pemasaran, anda perlulah fokus dalam membina jenama. Senaraikan nilai yang anda ingin tonjolkan kepada pelanggan. Apakah kaedah pendekatan yang anda bakal gunakan untuk berinteraksi dengan pelanggan? Bagaimana anda ingin pelanggan ingat jenama anda?

Soalan-soalan sebegini dapat membantu ada bina jenama yang bersesuaian dengan produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan.

Pemasaran dan Penjenamaan

3. Strategi Pemasaran Sentiasa Berubah, Penjenamaan Pula Perlu Ditambah Baik

Strategi pemasaran bersifat dinamik dan cenderung untuk bergantung kepada perubahan trend semasa serta keperluan pasaran. Walaupun anda mempunyai matlamat yang jelas, namun taktik yang digunakan pasti sentiasa berubah.

Berlainan pula dengan penjenamaan. Sebagai pemilik bisnes, adalah penting untuk anda bina perspektif jenama yang baik di mata pelanggan sambil membina hubungan yang baik dengan mereka.

Semakin syarikat berkembang, anda juga perlu sentiasa lakukan tambahbaik (evolve) jenama dari semasa ke semasa tanpa lari daripada identiti asal yang anda bentuk pada awalnya.

Walaupun tidak dilakukan secara kerap, namun penambahbaikan perlu dilakukan secara berkala agar jenama anda kekal segar dan selari dengan peredaran masa.  

4. Penjenamaan Berikan Impak Kepada Pelanggan dan Syarikat

Pasukan kerja anda akan bertanggungjawab dalam merangka strategi pemasaran. Namun, pemasaran untuk syarikat tidak akan memberikan kesan pada mereka.

Namun, lain pula ceritanya dengan penjenamaan. Selain pelanggan, penjenamaan juga bakal memberikan kesan yang besar kepada pekerja anda.

Apabila pasukan kerja anda membina jenama yang mereka sendiri percaya, maka tahap komitmen serta kesetiaan pada syarikat akan terbina sendiri. Para pekerja pasti akan lakukan yang terbaik untuk laburkan usaha serta idea yang bernas demi kejayaan syarikat.

Pemasaran dan Penjenamaan

Dengan fahaman yang jelas mengenai pemasaran dan penjenamaan, maka lebih mudahlah anda untuk merangka matlamat serta hala tuju syarikat. Strategi bagi pemasaran perlulah dihalusi sementara penjenamaan perlulah kukuh demi mengekalkan reputasi serta imej syarikat.

Meskipun kedua-dua aspek ini mempunyai sifat yang berbeza, namun kedua-duanya perlu bergerak seiring demi perkembangan bisnes serta reputasi jenama yang positif.

Sumber : 99designs.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top