apple store

Daripada pelajar, remaja hinggalah ke golongan profesional, jutaan individu di Malaysia telah mejadikan produk Apple sebagai peneman setia dalam kehidupan digital mereka. Dalam setiap sudut negara, logo gigitan epal menjadi simbol status, reputasi, dan kualiti tanpa kompromi.

Tidak kira di mana pun berada, kita pasti akan menemui sekumpulan pengguna yang berbangga dengan peranti-peranti Apple mereka, sedia untuk berbincang tentang kecanggihan kamera iPhone terbaru, mengagumi kehalusan tetingkap Retina, atau merancang projek-projek kreatif menggunakan perisian MacBook.

Apple store

Pada tahun yang lalu, ura-ura kedatangan Apple Store di Malaysia telah menjadi perbualan hangat di kalangan masyarakat. Ramai yang mengatakan bahawa berita tersebut bukanlah khabar angin memandangkan terdapat tawaran pekerjaan melalui laman pencarian kerja dan akaun LinkedIn Apple.

Menurut laporan Bloomberg, Apple Store pertama di Malaysia dijangka akan dibuka pada Februari 2024. Pada masa ini, ia adalah satu-satunya Apple Store yang dijadualkan akan wujud di Malaysia menurut perancangan Apple sehingga tahun 2027.

Terdapat rancangan pembukaan 15 lokasi Apple Store baru di rantau Asia Pasifik menjelang tahun 2027. Berita gembira ini melibatkan Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia, sebagai destinasi yang bakal hadir dengan kedai Apple pertama itu.

Tidak hanya itu, malah negara Asia lain seperti India, Korea Selatan dengan dua lokasi dan China juga turut disenaraikan kehadiran kedai Apple Store. Selain itu, dalam jangka masa yang sama, lima kedai akan dibuka di Eropah dan Timur Tengah, sementara empat lagi akan menyusul di Amerika Utara.

Ini menunjukkan komitmen Apple dalam memperluas kehadiran mereka di seluruh dunia untuk menyampaikan pengalaman teknologi terbaik kepada pengguna setia mereka.

Sebanyak 28 cawangan Apple Store juga akan mengalami ubah suai dan penempatan semula bagi menarik minat lebih ramai pelanggan. Sehingga kini, negara jiran iaitu Singapura mempunyai tiga Apple Store sementara Thailand mempunyai dua buah.

Dengan pembukaan Apple Store di The Exchange TRX pada tahun hadapan, Malaysia bakal menjadi negara ke-27 Apple Store bertapak.

The Exchange TRX, yang akan menjadi tuan rumah kepada lebih 400 jenama, akan menyediakan pengalaman membeli-belah mewah yang belum pernah ada sebelum ini. Selain sebagai pusat pasar raya yang menarik, bangunan ini juga akan menjadi lokasi strategik bagi beberapa syarikat menjalankan perniagaan mereka.

Kini, para penggemar Apple di Malaysia juga dapat merasai kegembiraan yang sama dengan negara-negara sekitarnya dalam memiliki Apple Store di negara sendiri. Dengan kehadiran Apple Store di ibu kota tidak lama lagi, ia bakal menjadi pusat yang wajib dikunjungi oleh pengguna setia Apple bagi mendapatkan produk dan aksesori terus daripada Apple Store.

Sama-sama kita nantikan pembukaan Apple Store pertama ini di Kuala Lumpur.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top