Loyalty program atau program kesetiaan adalah program untuk menawarkan ganjaran kepada pelanggan atas sokongan mereka terhadap sesebuah bisnes.

Ganjaran boleh diberikan dalam pelbagai bentuk seperti sampel percuma, akses istimewa kepada produk baharu, sistem mata, merchandise ekslusif dan macam-macam lagi.

Berdasarkan statistik daripada yotpo.com, 68% pelanggan mahu sertai loyalty program dan sedia menerima tawaran menarik daripada sesebuah bisnes.

Pelanggan yang sertai program ini juga akan cenderung untuk berbelanja dengan lebih banyak kerana mereka akan terima pelbagai insentif daripada bisnes tersebut. Jadi, jika mereka suka dan biasa membeli dengan anda, kenapa anda perlu sia-siakannya?

Tambahan pula terdapat pelbagai cara untuk anda tunjukkan penghargaan kepada pelanggan. Dengan syarat, bisnes anda perlulah bijak tarik pelanggan dan rancang strategi yang menarik.

Ingin tahu caranya? Jom kita semak satu-persatu.

Cara Bina Loyalty Program Yang Berkesan Untuk Bisnes Anda

1. Pilih Nama Yang Menarik

loyalty program

Langkah pertama untuk bina loyalty program yang menarik adalah dengan memilih nama yang unik dan berbeza daripada loyalty program yang jenama lain pernah wujudkan.

Selain memaparkan kelebihannya, nama yang dipilih juga perlu membuatkan pelanggan rasa teruja untuk jadi sebahagian daripada program.

Antara contoh program kesetiaan yang menarik untuk rujukan anda adalah daripada The Coffee Bean & Tea Leaf.

Apa yang menarik tentang TCB Card ini ialah fungsinya yang mudah. Pelanggan hanya perlu tambah nilai dan buat perbelanjaan menggunakan kad tersebut.

Pelanggan bukan sahaja tak perlu membayar caj tambahan, malah mereka dapat nikmati pelbagai tawaran menarik antaranya pembelian makanan dan minuman pada harga yang istimewa termasuk menu baharu dan menu bermusim.

Selain itu, pengguna TCB Card juga berpeluang untuk mendapatkan diskaun atau kek percuma sebagai ganjaran Hari Jadi.

2. Buatkan Pelanggan Rasa Tak Rugi Mendaftar

Ada kalanya, pelanggan akan berasa ragu untuk mendaftar dalam program kesetiaan pelanggan kerana mereka menganggap ia adalah salah satu taktik sesebuah jenama untuk menjana keuntungan semata-mata.

Walaupun itu salah satu matlamat utama dalam loyalty program, namun pemilik bisnes perlulah yakinkan kepada pelanggan yang produk atau perkhidmatan yang ditawarkan bukanlah hanya untuk wang semata-mata.

Antara jenama menarik untuk dijadikan contoh ialah Briogeo iaitu jenama penjagaan rambuat yang boleh diubahsuai. Dengan menjawab kuiz pendek di laman web, pelanggan boleh dapatkan syampu serta perapi yang sesuai dengan jenis rambut.

Program ganjaran yang ditawarkan oleh Briogeo juga membuatkan pelanggan tidak kisah untuk mendaftar.

Bagi setiap $1 yang dibelanja, pelanggan akan mendapat 3 mata ganjaran yang membolehkan mereka menebus diskaun untuk pembelian seterusnya.

Dengan tawaran menarik ini, pelanggan tahu yang mereka tak akan rugi sekiranya mendaftar kerana mereka dapat jimatkan wang untuk membeli produk Briogeo pada masa akan datang.

3. Tawarkan Ganjaran Secara Kreatif

Untuk tunjukkan komitmen jenama anda dalam menghargai kesetiaan pelanggan, apa kata berikan mereka ganjaran dengan cara yang lebih kreatif?

Selain memberikan kod promosi atau potongan diskaun, anda boleh ajak pelanggan untuk memanfaatkan aplikasi yang anda bangunkan, kongsi kandungan di media sosial atau langgan newsletter.

Cara ini juga sangat berkesan bagi meningkatkan engagement serta pendedahan bagi jenama anda di pelbagai platform.

4. Tawarkan Ganjaran Yang Bervariasi

loyalty program

Diskaun bukanlah satu-satunya ganjaran yang anda boleh berikan kepada pelanggan.

Sebaliknya, anda boleh tunjukkan penghargaan dengan pelbagai cara yang menarik seperti menawarkan tiket hiburan percuma atau langganan percuma bagi pembelian tertentu.

Anda juga boleh ajak pelanggan untuk tebus mata ganjaran bagi mendapatkan baucer makanan, baucer membeli-belah atau gift card.

5. Bina Kerjasama Dengan Jenama Lain

Bekerjasama dengan jenama lain untuk tawarkan ganjaran adalah cara yang baik untuk tingkatkan brand awareness bagi pelanggan berpotensi.

Pada masa yang sama, cara ini juga dapat tarik pelanggan untuk menyertai program kesetiaan anda.

Bryan Loo yang terkenal sebagai pengasas Tealive juga ada kisah menarik mengenai kerjasama dengan jenama lain.

Ketika beliau mengendalikan Chatime dahulu, beliau sedang bergelut untuk tarik pelanggan ke cawangan mereka di Pavillion akibat kedudukannya yang tersorok.

Secara kebetulan, HTC iaitu jenama laptop dan telefon bimbit popular sedang melancarkan model telefon bimbit baharu pada watu itu.

Ini telah mencetuskan idea buat Bryan untuk bekerjasama dengan jenama dari Taiwan itu. Jadi, Bryan dan pasukannya pun lancarkan kempen media sosial untuk menawarkan 5 telefom bimbit model baharu itu kepada pelanggan Chatime bertuah.

Sejak orang ramai tahu mengenai pertandingan itu, cawangan Chatime mula dikerumuni pelanggan. Bryan juga sangat bersyukur kempen tersebut menjadi batu loncatan kepada Chatime untuk dikenali lebih ramai orang.

6. Tawarkan Program Dengan Manfaat Dari Sudut Berbeza

loyalty program

Memetik Sprout Social, kira-kira dua pertiga daripada pelanggan tidak kisah untuk membelanjakan wang dengan jenama yang mengambil berat terhadap isu sosial atau politik.

Jadi, tidak salah untuk anda bina program kesetiaan yang mampu memberi manfaat terhadap perkara sebegini. Pelanggan juga pasti akan hargai usaha sesebuah bisnes yang tidak hanya ‘membuat duit’ semata-mata.

Baru-baru ini, Huda Beauty iaitu jenama kosmetik antarabangsa telah menunjukkan sokongan mereka terhadap Palestin di media sosial.

Sikap pengasasnya yang telus mengenai isu ini telah membuatkan jenama Huda Beauty lebih terkenal meskipun terdapat segelintir warganet yang mengecamnya.

Setelah berita ini tular, beliau juga dilaporkan telah menderma sebanyak US$1 juta kepada badan kemanusiaan Gaza.

Ramai pengguna produk kecantikan juga mula menunjukkan sokongan dan beralih kepada Huda Beauty seiring dengan gerakan boikot kepada jenama yang menyokong tindakan Israel.

Selain Huda Beauty, kita juga dapati sesetengah jenama yang turut menderma sebahagian daripada keuntungan mereka kepada warga Palestin bagi menunjukkan solidariti.

Terdapat pelbagai cara kreatif yang anda boleh cuba untuk bina loyalty program yang menarik. Walaupun matlamat utama program ini adalah untuk tingkatkan hasil jualan dan kesetiaan pelanggan, ia perlu ada nilai tambah yang unik dengan tarikan yang tersendiri.

Jika pelanggan merasakan program yang anda bangunkan bermanfaat dan tidak membuatkan mereka rugi, sudah tentu ramai yang akan mendaftar.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dalam membina program kesetiaan yang terbaik buat jenama. Selamat mencuba!

Sumber : Hubspot.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top