Sejak Israel melancarkan serangan di Semenanjung Gaza, ramai warga dunia termasuk rakyat Malaysia turut bersolidariti sambil menyeru pemboikotan beberapa francais dan jenama terkemuka.

McDonald’s Malaysia baru-baru ini telah memfailkan saman sivil terhadap Boycott Divestment Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mempromosikan gerakan boikot terhadap jenama yang memberi sokongan terhadap Israel.

Dalam sebuah kenyataan, McDonald’s Malaysia menyatakan bahawa tindakan tersebut diambil berdasarkan nasihat undang-undang luar demi melindungi hak dan kepentingan syarikat.

“Kami telah menyatakan dengan telus dan konsisten bahawa McDonald’s Malaysia tidak menyokong dan tidak membenarkan konflik semasa di Timur Tengah dan seperti semua rakyat Malaysia, kami bersimpati dengan mangsa yang tidak bersalah di Gaza.

“ami telah menyumbangkan sejumlah RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang dilancarkan oleh kerajaan dan akan terus berdoa agar konflik berakhir dan keamanan berterusan di Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam kenyataan yang sama, McDonald’s Malaysia turut menegaskan pendirian menereka bahawa syarikat tidak menyalurkan sebarang keuntungan, jualan, royalti atau yuran francais daripada operasi restoran bagi menyokong sebarang kegiatan politik atau konflik di mana-mana bahagian dunia.

McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) dilaporkan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai isu yang dibangkitkan di media sosial berkaitan McDonald’s Israel.

Katanya, keputusan sebelah pihak yang dibuat oleh pemegang francais individu tidak boleh dianggap sebagai tindakan global, dasar syarikat atau pendirian politik rasmi yang diambil oleh McDonald’s secara global.

mcdonald's malaysia

“Tindakan pengendali McDonald’s di Israel adalah contoh tindakan individu yang dimaksudkan dan ia bukan keputusan global dan tidak diluluskan oleh mana-mana pengendali tempatan lain,” kata dalam kenyataan, baru-baru ini.

Walaupun kami memahami dan menghormati bahawa tindakan memboikot adalah keputusan individu, kami percaya bahawa ia harus berdasarkan kebenaran,” ulas McDonald’s dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu BDS Malaysia dalam sebuah kenyataan mengesahkan telah menerima writ saman daripada McDonald’s Malaysia baru-baru ini yang mendakwa NGO tersebut memfitnah syarikat makanan segera itu.

“BDS Malaysia merupakan badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di negara ini yang menyeru orang awam, pertubuhan dan kerajaan Malaysia memboikot Israel dan organisasi-organisasi yang terbabit dengan kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin,” katanya.

“Mereka mendakwa perniagaan terjejas sejak kebelakangan ini dan menyalahkan kami. Kami menafikan secara mutlak. Oleh itu, keputusan kami ialah biar mahkamah putuskan perkara ini,” kata BDS Malaysia di laman media sosial X (dahulunya Twitter).

Memetik Malaysiakini, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd telah menuntut jumlah kerugian hasil sebanyak RM 3 juta, pampasan untuk pekerja yang diberhentikan sebanyak RM 1.5 juta dan bahan tamat tempoh sebanyak RM 1.5 juta.

McDonald’s Malaysia berkata BDS Malaysia telah menghasut orang ramai supaya membenci jenama McDonald’s kerana konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin.

“Disebabkan penyebaran kenyataan fitnah oleh BDS Malaysia di media sosial, reputasi kami telah terjejas dan menjadi sasaran kebencian awam. Terdapat juga beberapa insiden di mana pekerja McDonald’s Malaysia diugut dan diaibkan dalam media sosial.”, jelas francais makanan segera itu dalam kenyataan tuntutan mereka.

Dalam pernyataan tuntutannya, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd berkata syarikat itu 100 peratus dimiliki oleh orang Islam dan 55 peratus daripada pelanggannya juga beragama Islam.

 

Berikutan saman yang telah dikemukakan, BDS Malaysia telah melantik firma guaman dan akan mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci pada waktu terdekat ini.

Sumber : Harian Metro, Malaysiakini, Sinar Harian

Baca Juga : Kunjungan Pelanggan Starbucks Diramalkan Merosot 40 Peratus – RHB Investment Bank

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top