Sudah menjadi kebiasaan bagi orang kita untuk shopping besar-besaran untuk persiapan Hari Raya. Satu tinjauan daripada Sinar Harian mendapati satu keluarga boleh berbelanja sehingga RM 5,000!
Hasil kajian daripada Kenanga Research pula mendedahkan bahawa ramai rakyat Malaysia sanggup membuat pinjaman untuk cukupkan perbelanjaan pada musim perayaan.
Mungkin ada yang terlepas pandang bahawa sebenarnya telah diumpan oleh kedai fizikal dan online yang mengadakan jualan dan tawaran istimewa.
Akibatnya, ramai yang berbelanja lebih daripada bajet atau keperluan. Untuk bantu anda berbelanja dengan lebih bijak, jom kita lihat beberapa taktik jualan yang ramai peniaga sering gunakan setiap kali tibanya musim perayaan.
5 Taktik Jualan Yang Buatkan Pelanggan Berbelanja Lebih Untuk Sambut Raya
1. Jualan Penghabisan Stok
Anda mesti biasa lihat kedai membuat potongan harga yang besar (70% ke 80%) pada musim perayaan.
Jangan mudah percaya kalau mereka kata produk tersebut adalah rekaan atau keluaran baru.
Ini sebenarnya merupakan strategi peniaga untuk lariskan stok lama. Jika stok terbiar dalam stor, mereka sendiri yang akan rugi.
Disebabkan adanya potongan diskaun yang banyak, pelanggan mungkin akan membeli lebih daripada satu produk tersebut.
Tambahan pula, pelanggan sedang dalam mood untuk keluarkan duit pada musim perayaan.
2. Free Shipping
Walaupun caj penghantaran hanya dalam lingkungan RM 5 ke atas, namun pelanggan masih melihatnya sebagai kos tambahan.
Oleh sebab itulah ramai pelanggan suka tebus baucar free shipping.
Kebanyakan jenama akan menawarkannya bagi pembelian produk dengan harga minima tertentu.
Pelanggan pula biasanya tidak kisah dan lebih sanggup gunakan wang mereka untuk membeli produk lain berbanding membayar caj penghantaran.
Hal ini juga boleh mendorong pelanggan untuk berbelanja lebih tanpa disedari.
3. Bermain Dengan Emosi
Emosi pelanggan memang mudah terpancing pada musim perayaan.
Bukan sahaja pada Hari Raya, malah kebanyakan rakyat Malaysia juga sudah terbiasa dengan tradisi untuk berkunjung ke rumah keluarga atau sahabat pada musim perayaan sambil membawa buah tangan istimewa.
Inilah kesempatan yang peniaga sering ambil untuk hasilkan iklan dan kempen marketing yang tepat dengan mood atau emosi pelanggan.
Antara contoh mudah bagi iklan dengan suntikan emosi adalah daripada Siti Khadijah. Anda mesti pernah terserempak dengan billboard jenama telekung ini dengan ayat “Nak…mak teringin nak pakai telekung Siti Khadijah,”.
Iklan ini sudah tentu lebih memberi kesan ketika musim perayaan memandangkan ramai ingin pulang ke kampung bertemu ibu tercinta.
Pelanggan juga pasti akan terbayang wajah gembira ibu bila dihadiahkan dengan telekung premium yang terkenal ini.
Inilah salah satu bukti kuasa copywriting yang berkesan dalam menjentik emosi dan mempengaruhi tindakan pelanggan.
4. FOMO
Pernahkah anda gunakan aplikasi tempahan hotel untuk bercuti dan muncul pop-up yang menyatakan “hanya tinggal 2 bilik” atau “11 orang sedang melihat hotel ini”?
Terdapat juga sesetengah bisnes yang adakan Flash Sale untuk tempoh terhad sehinggakan pelanggan sanggup berebut membuat pembelian.
Kalau nak tahu, ini merupakan antara taktik jualan yang menggunakan unsur FOMO (fear of missing out).
Bila pelanggan didedahkan dengan unsur ini, mereka rasa terdesak untuk membuat keputusan membeli dengan cepat lebih-lebih lagi jika produk yang ditawarkan terhad atau mempunyai permintaan yang tinggi.
5. Tawaran Kombo
Pada musim perayaan, ada juga jenama yang menawarkan jualan seperti “Kombo Raya Sedondon”, “Beli 2 Percuma 1” atau “Beli 1, Dapat Potongan 50% Untuk Produk Kedua”.
Bila pelanggan diberikan tawaran kombo sebegini, mereka tak akan berfikir panjang dan akan terus membeli.
Jika diteliti semula, pelanggan tidak mendapat penjimatan banyak seperti yang disangka.
Kita ambil contoh tawaran “Beli 1, Dapat Potongan 50% Untuk Produk Kedua”.
Hakikatnya, pelanggan hanya akan mendapat potongan 25% untuk setiap produk.
Manakala, untuk jualan “Beli 2, Percuma 1”, pelanggan hanya akan dapat potongan kira-kira 33% bagi 3 produk yang dibeli.
Kalau nak tahu, matlamat utama bagi jualan kombo sebegini ialah untuk membantu peniaga menjual produk dengan lebih banyak dalam satu-satu masa.
Jika peniaga letakkan diskaun pada setiap produk, pelanggan akan berpuas hati dengan satu pembelian sahaja. Namun bila adanya tawaran kombo, mereka akan rasa lebih berbaloi untuk membeli dengan lebih banyak.
Pada musim perayaan, adalah penting untuk kita rancang perbelanjaan dan buat keputusan bijak ketika membeli-belah.
Jangan mudah terpancing dengan jualan dan promosi yang ditawarkan sehingga pembelian anda melebihi bajet asal!
Cukuplah membeli sekadar keperluan dan percayalah, pasti ada lagi jualan yang akan diadakan pada masa akan datang.
Sumber : The Times Of India, Sinar Harian, Majoriti