Rangkaian kopi berjenama antarabangsa, Starbucks diramalkan mengalami kemerosotan jumlah kunjungan pelanggan sehingga 40 peratus. Ini susulan tindakan boikot secara meluas rakyat Malaysia ke atas jenama tersebut yang dikaitkan dengan sokongan ke atas rejim Israel.

Ini berdasarkan pemerhatian RHB Investment Bank Berhad yang dalam nota penyelidikannya bertulis, persekitaran perniagaan Starbucks Coffee, Berjaya Food Bhd (Bfood) diramal akan bertukar saranan kepada ‘berwaspada’, memandangkan gerakan boikot itu mungkin berlarutan lebih lama daripada jangkaan selagi tiada penyelesaian pendek dalam konflik Israel-Hamas.

Bank pelaburan itu berkata situasi selepas tempoh boikot, berkemungkinan Bfood sukar untuk memulihkan semula kadar kunjungan perlanggan dan mungkin perlu berusaha keras bagi meraih semula bahagian pasarannya disebabkan persaingan sengit.

Pada masa yang sama, Starbucks turut mencatatkan kemerosotan saham selama 11 hari berturut-turut dengan penurunan sebanyak 1.6% pada hari Isnin. Memetik Bloomberg, ini juga merupakan penurunan paling teruk sejak jenama ini diperkenalkan pada tahun 1992.

Secara keseluruhan, kemerosotan ini telah menghilangkan sehingga 9.4% nilai pasaran Starbucks dengan nilai kerugian kira-kira US$12 bilion (RM 55 bilion)

Didapati perolehan kewangan 2024 (Jun) adalah 25 peratus lebih rendah berbanding ramalan konsensus dan RHB Investment Bank berpendapat harga saham masih belum mencerminkan risiko negatif yang menekan perolehan Bfood.

“Hasil semakan lapangan, kami melawat beberapa cawangan Starbucks Coffee di pusat beli-belah ketika waktu puncak dan mendapati jumlah kunjungan pelanggan agak rendah berbanding tahap biasa, meskipun pusat beli-belah berkenaan sesak dengan pengunjung.

“Namun begitu, kebanyakan jenama pesaingnya menerima jumlah kunjungan pelanggan seperti biasa. Situasi ini dilihat lebih buruk berbanding yang dijangka, dan perkara ini mungkin akan mendesak Starbucks Coffee untuk menjalankan promosi dengan lebih agresif.

pelanggan starbucks

“Hal ini berkemungkinan menyebabkan margin untung kasar (GPM) menyusut dengan ketara. Malangnya, gerakan boikot ini terjadi pada waktu hujung tahun yang lazimnya menerima kunjungan pelanggan yang tinggi,” jelas dua penganalisisnya, Tai Yu Jie dan Soong Wei Siang.

Menurut RHB Investment Bank, kehilangan penguasaan pasaran sebegitu mungkin bukan untuk sementara. Tempoh gerakan boikot terhadap jenama tersebut telah mendorong pengguna untuk mencuba pilihan lain, lantas memberi peluang kepada pesaing untuk manfaatkan tindakan tersebut dan sekaligus mengurangkan bahagian pasaran Starbucks Coffee.

“Peralihan ke jenama pesaing ini mungkin berterusan, terutamanya dalam kalangan pelanggan yang tidak begitu mementingkan soal jenama minuman, dan yang memilih untuk membeli minuman mereka tanpa menjamu di kedai.

“Hal ini juga akan menjejaskan rancangan pengembangan besar-besaran BFood untuk tahun kewangan 2024 dengan sasaran membuka 40 hingga 50 kedai,” katanya.

Bank pelaburan itu mendedahkan risiko negatif terhadap perolehan konsensus dengan pendapatan tahun kewangan 2024 sejumlah RM88 juta dilihat optimistik, memandangkan perolehan suku pertama tahun kewangan 2024 sebanyak RM19.3 juta, keadaan di mana ia tidak terkesan akibat boikot atau merangkumi 22 peratus daripada ramalan itu.

“Oleh itu, pihak konsensus mungkin tidak menjangka operasi Starbucks Coffee akan terjejas teruk sebegini, malah gerakan boikot dilihat mendapat sokongan yang meluas daripada pengguna.

“Hal ini bertentangan dengan pihak konsensus yang meramalkan boikot ini berlangsung hanya buat seketika, maka penjualan saham terhad,” katanya.

Justeru, RHB Investment Bank menukar saranan saham BFood kepada JUAL dengan jangkaan untung bersih tahun kewangan 2024 hingga 2026 masing-masing susut 21 peratus, 17 peratus dan 7.0 peratus.

Selain Starbucks, Berjaya Food turut menguruskan tiga lagi jenama F&B iaitu Kenny Rogers Roaster Jollibean dan Sala.

Sumber : Berita Harian

Baca Juga : Baru 4 Tahun Dalam Industri, ZUS Coffee Kongsi Rahsia Mampu Kembangkan Bisnes Kepada 225 Cawangan

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top