Semangat untuk terus berusaha walaupun gagal berkali-kali telah menjadikan seorang usahawan iaitu Apoorva Mehta menjadi jutawan.

Atas idea bernasnya membangunkan Instacart, beliau juga telah berjaya membantu 900 juta pelanggan di Amerika Syarikat mendapatkan barangan keperluan harian sejak 2012.

Mehta adalah pengasas Instacart, iaitu sebuah syarikat startup yang menawarkan perkhidmatan penghantaran barangan keperluan.

Sebelum membangunkan Instacart, usahawan berusia 37 tahun ini pernah gagal membangunkan syarikat sendiri sebanyak 20 kali.

Jatuh Bangun Pengasas Instacart Sebelum Bergelar Jutawan

Pada tahun 2010, Mehta yang memegang kelulusan kejuruteraan elektrikal sedang berkhidmat di Amazon sebagai jurutera pembekal. Namun, beliau mempunyai cita-cita untuk menjadi usahawan dan membuka syarikat sendiri. Tanpa rancangan yang jelas, beliau nekad untuk berhenti kerja dan mula meneroka peluang bisnes.

Dua tahun selepas itu, beliau telah mencuba pelbagai bidang termasuk penghasilan permainan video, media sosial dan khidmat guaman namun semuanya tidak membuahkan hasil.

Tanpa disangka-sangka, peti ais di rumahnya telah mencetuskan inspirasi. “Saya sering hadapi masalah kekurangan barangan segar dan saya yakin ramai yang mempunyai masalah yang sama”.

Kebetulan juga pada ketika itu masih belum ada syarikat yang tawarkan perkhidmatan penghantaran barangan keperluan harian. “Sekitar 2012 saya dapati orang sudah mula membeli produk secara online, namun orang masih perlu ke kedai untuk dapatkan sayur-sayuran, bahan masakan dan keperluan harian”, jelas Mehta.

Beliau juga percaya orang lain terutamanya yang tinggal berseorangan sepertinya juga pasti tidak suka pergi ke kedai dalam cuaca sejuk dan terpaksa mengangkat barangan yang berat sendirian.

instacart

Ini telah mencetuskan inspirasi kepada Mehta untuk menghasilkan kod bagi versi pertama aplikasi Instacart. Hanya selepas tiga minggu, beliau berjaya bangunkan Instacart dengan fungsi lengkap.

Mehta sekali lagi diduga apabila terlepas tarikh untuk memohon bantuan dana daripada sebuah syarikat pelaburan iaitu Y Combinator.

Meskipun begitu, beliau berjaya memenangi hati mereka dengan menghantar minuman alkohol terus kepada ibu pejabat Y Combinator menggunakan aplikasi Instacart.

Demonstrasi daripada Mehta telah melayakkan beliau untuk menerima dana bisnes sebanyak US$2.3 juta pada 2012. Beberapa bulan selepas pelancaran, InstaCart telah digunakan secara meluas di San Francisco.

Perkhidmatan Instacart juga jadi cukup popular pada waktu pandemik ketika ramai tidak dapat ke pasar raya untuk mendapatkan barangan keperluan mereka.

instacart

Kini, aplikasi tersebut dapat menghantar produk keperluan harian daripada lebih 80,000 kedai dan pasar raya yang terletak di 14,000 bandar sekitar Amerika Utara.

Setelah menguruskan syarikat tersebut selama 11 tahun, Mehta mengundurkan diri sebagai Ketua Pegawai Operasi. Sebagai pemegang saham terbesar Instacart, Mehta dilaporkan memegang nilai kekayaan sebanyak US$1.1bilion selepas menjual 700,000 syer.

Kini Mehta membuka lembaran baharu dengan mengasaskan Cloud Health System iaitu teknologi kesihatan yang membantu pakar perubatan menguruskan pesakit dan menawarkan preskripsi ubat secara atas talian. Syarikat tersebut dilaporkan bernilai US$200 juta.

Kisah Mehta ini membuktikan idea bernas yang dapat menyelesaikan masalah harian mampu menjadi modal bisnes yang cukup menguntungkan.

Beliau sebelum itu telah gagal berkali-kali, namun cabaran yang dihadapi tidak mematahkan semangatnya.

Dengan kesungguhan untuk mengubah hidup, sesiapa juga mampu untuk jadi usahawan berjaya seperti Mehta.

Sumber : CNBC, thenationalnews.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top