Peredaran teknologi masa kini membuatkan banyak syarikat bersaing bagi menawarkan teknologi serta kemudahan yang seiring dengan keperluan semasa.

Pada masa yang sama, syarikat gergasi dari China turut menunjukkan kebolehan masing-masing dalam industri pembangunan teknologi. Bila sebut tentang syarikat teknologi China, anda mungkin biasa mendengar tentang TikTok dan Alibaba.

Namun, pernahkan anda dengar tentang Tencent?

Tencent ialah salah satu syarikat teknologi terbesar dari China yang menawarkan perkhidmatan e-dagang, pengoperasian platform internet, pembangunan permainan video dan ekosistem bisnes atas talian.

Syarikat ini menjana separuh daripada hasil tahunan dari perkhidmatan media sosial, langganan muzik dan permainan video di telefon bimbit.

Mungkin satu-satunya produk Tencent yang kita kenali adalah WeChat namun rangkaian produk mereka yang lain seperti QQ Wallet, QQ Browser dan QQMail digunakan secara meluas di oleh jutaan warga China.

Berdasarkan sebuah statistik, Tencent disenaraikan sebagai syarikat ke-17 terbesar di dunia dengan nilai pasaran sebanyak US$452 bilion.

Mungkin anda pernah dengar tentang Jack Ma iaitu pemilik Alibaba atau pengasas TikTok iaitu Zhang Yiming tetapi siapa pula yang individu yang membangunkan Tencent?

Pengasas Tencent Tak Rancang Untuk Jadi Jutawan Teknologi

Tencent diasaskan oleh Ma Huateng yang lebih mesra dikenali sebagai Pony Ma. Disebabkan sifat beliau yang tidak gemar publisiti berlebihan, mungkin ada yang tidak kenal dengan jutawan ini. Tambahan pula, beliau jarang muncul di khalayak umum atau media massa.

Dari awal, Pony Ma juga tidak berhasrat untuk menjadi seorang usahawan. Malah, beliau bercita-cita untuk menjadi angkasawan sejak kecil kerana sangat meminati bidang astronomi.

Ketika masih bersekolah, beliau juga pernah meminta ibu bapanya untuk membelikan sebuah teleskop tetapi mereka tidak mampu. Manakan tidak, harga teleskop yang diinginkan oleh Pony menyamai 4 bulan gaji ibu bapanya.

tencent

Pada tahun 1989, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Shenzen University. Namun, hasrat Pony untuk melanjutkan pengajian dalam bidang astronomi tak kesampaian kerana di universiti itu, bidang tersebut tak ditawarkan.

Jadi, Pony Ma pun terpaksa memilih pengajian dalam bidang Sains Komputer. Walaupun beliau layak untuk melanjutkan pelajaran ke universiti yang lebih berprestij, namun Pony tetap memilih Shenzen University kerana lokasi kampus yang dekat dengan rumah keluarganya.

Tanpa disangka-sangka, rupanya bidang ini telah menjadi pengubah haluan hidupnya secara drastik. Ketika bergelar siswa, beliau menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang sekuriti komputer dan seringkali menggodam komputer di makmal komputer universitinya.

Permulaan Empayar Tencent

Lima tahun selepas tamat pengajian, Ma yang berusia 27 tahun pada ketika itu telah bergabung dengan empat orang rakan kuliahnya untuk membangunkan Tencent.

Pada tahun 1999, syarikat ini membangunkan sebuah aplikasi penghantaran mesej yang dinamakan OICG yang kini dikenali sebagai QQ. Aplikasi ini merupakan imitasi bagi ICQ yang dibangunkan oleh sebuah syarikat Israel iaitu Mirabilis.

Tencent mula menjana pendapatan melalui pengiklanan dan langganan premium bagi aplikasi chat QQ.

Sekitar tahun 2000 dan 2001, syarikat ini mengalami kesukaran untuk teruskan operasi kerana kekurangan dana. Pony Ma pada ketika itu juga terpaksa mengurangkan gajinya demi menjamin kelangsungan bisnes.

Pony dan rakan niaganya menarik nafas lega apabila beberapa syarikat seperti Naspers, PCCW dan IDC melihat potensi besar pada Tencent dan membuat pelaburan besar. Sekaligus, ini telah menyelamatkan syarikat tersebut daripada bankrap.

Untuk mengukuhkan bisnes Tencent, antara inisiatif terawal yang dilakukan ialah menyenaraikan syarikat tersebut dalam pasaran saham Hong Kong. Langkah ini nyata membawa tuah kepada Tencent sehingga membolehkan syarikat tersebut memperoleh dana tambahan sebanyak $200 juta.

Sekitar tahun 2005 hingga 2009 pula, Tencent semakin giat mempelbagaikan lagi produk serta perkhidmatan seperti servis penghantaran emel, media sosial, platform muzik, pengiklanan digital, permainan video dan banyak lagi.

Pada tahun 2011, Tencent mula memperkenalkan WeChat.

Aplikasi yang mempunyai 1.3 bilion pengguna aktif ini menawarkan lebih daripada platform media sosial. Walaupun sering disamakan dengan Facebook, namun ia mempunyai fungsi yang lebih meluas sehingga digelar sebagai super app.

Menerusi WeChat, pengguna boleh bermain video game, membuat pendaftaran hospital, menempah perkhidmatan kenderaan e-hailing dan membuat transaksi secara atas talian.

tencent

Pony Ma Semakin Dikenali di Mata Dunia

Meskipun tidak gemarkan perhatian, namun pencapaian Tencent dalam sektor teknologi telah membuatkan Pony Ma semakin dikenali di serata dunia.

Majalah TIME pernah menyenaraikan beliau sebagai dalam 100 orang paling berpengaruh di dunia pada tahun 2014.

Pony Ma juga merupakan individu dari China yang pertama yang masuk dalam senarai 10 Orang Terkaya di Dunia oleh Forbes.

Pada tahun 2017, Tencent menjadi syarikat pertama dari China yang melepasi pasaran saham berjumlah US$500 billion sambil mengatasi Facebook.

Di China, beliau tersenarai sebagai orang keempat terkaya dengan nilai kekayaan sebanyak US$23.4 billion dan sekaligus mengatasi Jack Ma yang berada pada kedudukan kelima. Setakat tahun 2023, Pony Ma juga tersenarai dalam kedudukan ke-34 sebagai orang terkaya di dunia.

Pencapaian hebat Pony Ma juga membuatkan beliau sering dibandingkan dengan Warren Buffet kerana kedua-dua usahawan ini bijak dan berani membuat pelaburan yang menguntungkan syarikat.

Secara senyap-senyap, Tencent juga telah membeli saham bagi syarikat permainan video iaitu Activision Blizzard yang terkenal dengan game Call of Duty, World of Warcraft dan Candy Crush. Selain itu, Tencent juga telah melabur di beberapa syarikat gergasi lain seperti Spotify, Tesla dan Epic Games.

Untuk mendominasi permainan video game console, syarikat milik Pony Ma ini juga telah bekerjasama dengan Nintendo sejak tahun 2019.

Seiring dengan perkembangan teknologi yang pantas, Pony Ma kini sedang mengemudi Tencent untuk meneroka peluang bagi mengembangkan bisnes di peringkat global khususnya dalam bidang pembangunan AI, cloud dan software.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top