Setiap umat Islam dituntut untuk mencari makanan dan minuman yang halal lagi suci. Bukan sahaja hidangan, malah barangan harian yang digunakan juga perlulah dijamin bersih dan bebas daripada ramuan atau bahan yang dilarang dalam agama.

Bagi memudahkan pengguna umat Islam menyemak status halal bagi sesebuah produk, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melancarkan sebuah aplikasi yang dinamakan Verify Halal.

Dibangunkan oleh Kinihalal, aplikasi ini membantu pengguna untuk menyemak status halal dengan mengimbas atau scan barcode pada produk tersebut. Selain mengenalpasti status halal, pengguna juga berpeluang untuk menyemak tarikh luput sijil halal bagi setiap produk yang diimbas.

Seperti yang kita tahu, terdapat sesetengah pengeluar produk yang tidak bertanggungjawab telah meletakkan logo Halal pada bungkusan namun sebenarnya mereka gagal mendapatkan status tersebut.

Jadi, dengan adanya aplikasi ini, ia dapat membantu pengguna mendapatkan produk halal tanpa was-was.

@kinihalal

Tak perlu logo halal JAKIM kalau di luar negara? #fypmalaysia #fyp

♬ original sound – @Kinihalal – @Kinihalal

Verify Halal Bantu Semak Logo Halal Dari 46 Buah Negara

Lebih menarik lagi, aplikasi daripada JAKIM ini juga turut membantu pengguna untuk menyemak logo halal di 46 buah negara berbeza. Selain itu, aplikasi Verify Halal ini juga dapat membantu pengguna menyemak 84 sijil halal yang diperakui oleh JAKIM di peringkat global.

Bagi memudahkan semakan, pengguna boleh membuat semakan mengikut senarai negara. Jadi, pengguna tidak perlu risau lagi untuk membeli sesebuah produk apabila menemui sijil halal lain selain JAKIM. Bukan setakat produk makanan dan minuman, malah pengguna juga boleh menyemak status halal bagi produk lain seperti kosmetik dan ubat-ubatan.

Bagi pelanggan yang ingin membeli makanan di kedai makan, pengguna juga dapat menyemak restoran atau premis halal berdekatan menerusi aplikasi yang sama.

Fungsi-fungsi menarik yang ditawarkan ini bukan sahaja dapat memudahkan pengguna membuat pilihan yang tepat, malah ia juga dapat membantu para pelancong serta pengguna untuk mendapatkan produk halal dari luar negara.

Verify Halal

Semoga aplikasi Verify Halal ini dapat membantu ramai pengguna Muslim untuk mendapatkan produk yang halal dengan lebih mudah.

Berminat untuk cuba aplikasi ini? Pengguna boleh memuat turun aplikasi Verify Halal secara percuma melalui platform Google Play Store atau Apple App Store.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top