Anda pernah makan snek rumpai laut Taokaenoi? Snek ini memang tak dinafikan sangat rangup, enak dan ada pelbagai perisa menarik untuk dicuba. Ia juga sangat mudah dijumpai di kedai runcit dan pasar raya.
Tahukah anda yang pengasas Taokaenoi ini adalah seorang anak muda dari Thailand. Kini bergelar jutawan, beliau telah melalui pelbagai cabaran untuk menghasilkan jenama popular ini. Beliau sendiri juga tidak menyangka yang snek rumpai laut buatannya mendapat sambutan luar biasa.
Kini Taokaenoi menjadi antara jenama snek rumpai laut paling popular di Asia dan memegang sebesar 70 peratus pasaran di Thailand.
Ayuh kita ikuti kisah menarik pengasas Taokaenoi iaitu Itthipat ‘Tob’ Perradechapan yang membangunkan jenama popular tersebut ketika usianya hanya 19 tahun.
Minat Berniaga Sejak Remaja
Ketika berusia 16 tahun, Tob sangat minat bermain permainan video online Everquest dan muncul sebagai antara pemain terhandal. Disebabakan kepakarannya bermain permainan video itu, beliau berjaya mengumpul banyak barangan atau item berharga dalam permainan itu.
Kehebatannya menarik perhatian ramai pemain lain terutamanya dari Amerika Syarikat sehinggakan ada yang menghubungi Tob untuk membeli koleksi barangan berharga miliknya. Hanya dengan menjual barangan dalam game tersebut, beliau mampu menjana sehingga US$10,000 sebulan.
Inilah antara pengalaman pertama beliau menjana wang sendiri. Pada usia 17 tahun, Tob menyambung pengajian di University of The Thai Chamber of Commerce (UTCC).
Namun, bisnes keluarga Tob menghadapi krisis kewangan pada tahun yang sama. Mereka diisytiharkan muflis dan terpaksa menanggung hutang sebanyak US$10 juta. Disebabkan itu, beliau memutuskan untuk berhenti belajar demi menolong keluarga.
Pengasas Taokaenoi Pernah Gagal Banyak Kali
Antara langkah terawal Tob untuk membantu keluarganya adalah dengan menjual akaun atau ID permainannya dengan harga yang agak mahal. Dengan wang yang diperoleh, beliau pun memulakan bisnes.
Pada awalnya, beliau pernah cuba menjual kopi dan makanan di hadapan kampusnya. Tob juga pernah menjual CD player murah namun kesemuanya tidak mendatangkan hasil yang diinginkan.
Akibatnya, beliau kehilangan sejumlah besar modal daripada menjual ID permainannya.
Pada suatu hari, Tob telah pergi ke China Town yang terletak di Bangkok. Ketika berjalan-jalan di situ, beliau mendapati ramai pengunjung suka nikmati buah berangan yang digoreng dengan gula. Ketika itu, snek tersebut hanya boleh didapati di China Town sahaja. Daripada situ, timbullah idea untuk beliau menjualnya di pusat membeli-belah utama.
Nampaknya, percaturan Tob cukup tepat dan mampu memberikan pendapatan lumayan buatnya. Dalam tempoh hanya satu setengah tahun, beliau berjaya membuka lebih daripada 30 kedai menjual buah berangan di pasar raya TESCO dan Carrefour di Thailand. Ketika itu, beliau baru berusia 18 tahun.
Namun, dunia perniagaan ada pasang surutnya. Pengurusan TESCO Lotus yang baru dilantik tidak membenarkan lagi Tob menjual buah berangan di pasar raya tersebut. Beliau dilarang beoperasi kerana asap dari kedainya mengeluarkan bau yang mudah merebak ke seluruh pasar raya dan menyebabkan siling rosak.
Oleh itu, beliau terpaksa memasak buah berangan di luar pusat membeli belah dan menghantarnya ke kedai. Perubahan operasi ini juga telah menyebabkan hasil jualan buah berangannya turun sebanyak 50 peratus.
Mula Jual Snek Rumpai Laut
Untuk meningkatkan kembali jualannya, Tob telah menambah produk makanan sampingan lain seperti buah buahan kering dan snek rumpai laut.
Setelah beberapa bulan berniaga, beliau dapati produk rumpai lautnya telah menjadi produk terlaris dan hasilnya mengatasi jualan produk lain. Tob yang baru berusia 19 tahun ketika itu nekad untuk fokus menjual satu produk sahaja iaitu snek rumpai laut.
Untuk kembangkan bisnesnya, beliau cuba untuk pasarka produk rumpai laut tersebut melalui rangkaian kedai serbaneka paling banyak di Thailand iaitu 7-Eleven.
Pada awalnya, pihak pengurusan 7-Eleven menolak permintaan usahawan muda itu kerana bungkusan produk rumpai lautnya sangat buruk iaitu beg plastik yang ditampal dengan pelekat.
Jadi, beliau pun mengubahsuai reka bentuk bungkusan produknya sehinggalah akhirnya pihak pengurusan 7-Eleven berpuas hati.
Sebelum produknya dibenarkan untuk dijual di 7-Eleven, pihak kedai serbaneka tersebut telah meminta untuk mengunjungi kilang Tob bagi memastikan kualiti makanan dan memastikan produk rumpai laut itu dapat dibekalkan di 3,000 cawangan di seluruh Thailand.
Tob yang hanya memiliki 6 orang pekerja ketika itu tidak mungkin dapat memenuhi permintaan 7-Eleven.
Untuk merealisasikannya, Tob memutuskan untuk menjual bisnes buah berangannya supaya dapat membeli lebih banyak peralatan dan mengambil lebih ramai pekerja demi meningkatkan jumlah pengeluaran produk.
Setelah itu, beliau telah mendapat pesanan pertama dari 7-Eleven iaitu sebanyak 72,000 bungkus snek rumpai laut. Ini sekaligus menjadi titik permulaan kepada perkembangan jenama Taokaenoi.
Keenakan Taokaenoi juga menjadi buah mulut pelancong yang bertandang ke Thailand sehingga ia menjadi jajan yang wajib diborong setiap kali mereka berkung ke negara tersebut.
2 tahun kemudian, produk ini berjaya menembus pasaran Singapura dan Hong Kong.
Pada usia 26 tahun, produk Taokaenoi milik Tob boleh didapati di 40 buah negara termasuk Amerika Syarikat, China, Kanada, United Kingdom dan Australia.
Atas sumbangan jenama ini kepada ekonomi Thailand dan kecekapan operasi syarikat, baru-baru ini Taokaenoi juga dinobatkan sebagai Pengurusan Syarikat Terbaik di Thailand bagi tahun 2023.
Kejayaan pengasas Taokaenoi ini menjadikan beliau antara ikon anak muda yang patut dicontohi. Tanpa mengenal erti putus asa, beliau bangkit dari kegagalan dan mencuba pelbagai jenis bisnes sebelum fokus pada satu produk.
Menerusi jualan snek rumpai laut, beliau juga berjaya muncul sebagai jutawan termuda di Thailand dengan nilai kekayaan sebanyak THB 1 bilion (US$33 juta). Pencapaian Tob yang luar biasa dalam bisnes juga telah menginspirasikan sebuah filem yang berjudul The Billionaire.