Bagi yang pernah bercuti di Thailand, anda pasti tahu yang 7-Eleven di sana memang cukup luarbiasa. Selain menawarkan produk makanan dan minuman, pengunjung juga boleh dapatkan pelbagai produk seperti kelengkapan harian, kosmetik dan macam-macam lagi.
Jika nak dibandingkan dengan 7-Eleven yang ada di Malaysia, memang jauh bezanya. Di rumah kedai, stesen minyak dan kawasan tumpuan pelancong, cawangannya juga sangat mudah dijumpai dan sering menjadi buruan pelancong serta warga tempatan.
Berdasarkan laporan yang dikongsikan oleh Nikkei, rangkaian kedai serbaneka popular dari Jepun iaitu FamilyMart telah menghentikan operasi di Thailand selepas perjanjian francais mereka dengan Central Group tamat akhir Mei lalu. Sekaligus, ini memberi laluan kepada 7-Eleven untuk menguatkan lagi dominasi industri kedai serbaneka di negara tersebut.
Susulan penghentian operasi FamilyMart, 400 cawangan mereka di Thailand akan dijenamakan semula sebagai Tops Daily. Negara tersebut juga akan menyaksikan kehilangan FamilyMart yang telah bertapak sejak tahun 1993.
Memetik laporan Statista, FamilyMart berada di tangga ke-4 dalam carta kedai sebaneka. Sementara itu, 7-Eleven kukuh di kedudukan pertama dengan pengoperasian 13,000 cawangan serata Thailand sambil menguasai 80 peratus pasaran bagi industri kedai serbaneka.
Sekaligus, pasaran 7-Eleven di Thailand setakat ini merangkumi kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan cawangannya di serata dunia.
Dikendalikan oleh syarikat terkemuka Thailand Charoen Pokphand Group (C.P Group), perkhidmatan serta tawaran produk dari 7-Eleven yang lengkap dan tepat dengan citarasa pelanggan menguatkan lagi dominasi jenama tersebut saban tahun.
Pasti anda juga pernah nikmati produk makanan segera CP yang sering dijumpai di pasaraya dan 7-Eleven di Malaysia. Dari makanan sejuk beku sehinggalah ke kudapan yang sedia dimakan, kualiti rangkaian produk CP tidak perlu disangkal lagi.
C.P Group merupakan antara konglomerat terbesar di Thailand dan di dunia dengan mencatatkan hasil sehingga US$65 bilion.
Selain menjadi pemain terbesar dalam industri kedai serbaneka Thailand, syarikat ini juga aktif dalam pelbagai bidang bisnes antaranya pertanian, perladangan, akuakultur, pemprosesan makanan, telekomunikasi, e-dagang dan automotif.
Pertama kali dibuka di Patpong Road, Bangkok pada tahun 1989, 7-Eleven di Thailand kekal menjadi pilihan jutaan pelanggan dari dalam dan luar negara sehingga ke hari ini.
Sumber : Nikkei