Menurut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022, pendapatan purata isi rumah di Malaysia pada tahun 2022 meningkat 2.4 peratus sertahun kepada RM 8,479 berbanding RM 7,185 pada 2021.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan pendapatan isi rumah penengah meningkat sederhana iaitu sebanyak 2.5 peratus setahun bagi 2022 kepada RM 6,338 berbanding RM 5,873 pada 2021.

Mengulas lanjut, beliau berkata pendapatan isi rumah itu merangkumi pendapatan daripada pendapatan bergaji, bekerja sendiri serta pendapatan daripada pelaburan dan pindahan semasa diterima.

Mohd Uzir berkata antara negeri yang mencapai pendapatan penengah melebih paras nasional RM6,338 ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan pendapatan penengah RM10,234; Wilayah Persekutuan Putrajaya (RM10,056); Selangor (RM9,983); Wilayah Persekutuan Labuan (RM6,904), Johor (RM6,879) dan Pulau Pinang (RM6,502).

Putrajaya Catat Purata Isi Rumah Paling Tinggi

Bagi pendapatan purata isi rumah pula, antara negeri yang mencatatkan pendapatan purata melebihi paras nasional RM8,479 ialah Putrajaya dengan purata pendapatan RM13,473; Kuala Lumpur RM13,325; Selangor RM12,223 dan Johor RM8,517, katanya.

“Di Putrajaya, ia lebih centric dengan penjawat awam dan ia juga mula didiami pekerja swasta yang berpendapatan tinggi, jadi ia menyumbang kepada faktor pendapatan isi rumah yang tertinggi,” katanya.

Mohd Uzir berkata selaras dengan cadangan kerajaan mengenai pendapatan boleh guna sebagai asas dalam kaedah pendekatan membantu rakyat, DOSM telah mengambil inisiatif dengan menganalisis dapatan survei itu dari sudut pendapatan boleh guna.

Berdasarkan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah, Mohd Uzir berkata secara purata, isi rumah di Malaysia berbelanja RM 5,150 sebulan pada 2022.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan, corak perbelanjaan isi rumah masih tertumpu kepada empat kumpulan perbelanjaan utama iaitu perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api sebanyak 23.2 peratus; kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (16.3 peratus); kumpulan restoran dan hotel (16.1 peratus); dan kumpulan pengangkutan (11.3 peratus).

isi rumah

Dalam masa yang sama, Mohd Uzir turut berkata nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi 2022 meningkat kepada RM2,589 berbanding RM2,208 pada 2019.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang turut hadir dalam pembentangan tersebut berkata kerajaan akan mengambil kira nilai PGK yang dibentangkan oleh DOSM bagi membangunkan bentuk-bentuk bantuan yang sewajarnya.

Sumber : Harian Metro, Astro Awani 

Baca Juga : 5 Cara Untuk Kumpul Data Pelanggan dan Manfaatkannya Untuk Bisnes Anda

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top