Mungkin ada yang menyangka Marrybrown adalah jenama luar negara kerana namanya sendiri yang mempunyai unsur ‘kebaratan’.

Hakikatnya, rangkaian makanan segera tersebut adalah produk Malaysia yang sudah berdiri selama lebih 40 tahun! Di sebalik kejayaan jenama ini, terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh pengasasnya iaitu Dato’ Lawrence Liew dan Datin Nancy Liew.

Pada awalnya, ramai yang tidak yakin pasangan suami isteri yang berbangsa Cina ini mampu bangunkan restoran makanan segera halal tempatan.

Setelah melalui pelbagai cabaran, Marrybrown kini menjadi jenama yang tidak asing lagi di Malaysia dan mampu beroperasi di lebih 500 cawangan di luar negara!

Bagaimana mereka mampu bangunkan jenama ini sehingga berjaya ke tahap ini? Ayuh kita ikuti kisah menarik Marrybrown.

Cabaran Untuk Bangunkan Restoran Makanan Segera

marrybrown pertama di Johor Bahru

Pada usia 25 tahun, Datin Nancy diduga apabila bank tidak mahu memberikan pinjaman kepadanya untuk memulakan bisnes.

Beliau terpaksa bergantung kepada wang simpanan sendiri dan meminjam daripada rakan dan keluarga terdekat.

Mereka menggunakan modal kecil itu untuk membuka cawangan pertama Marrybrown pada tahun 1981 di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru.

Ada juga yang mengatakan pasangan suami isteri ini buat ‘kerja gila’ apabila mereka berani untuk mencabar jenama yang sudah popular di paaran seperti KFC dan McDonald’s.

Namun, mereka tidak berputus asa dan mahu membuktikan kepada semua yang orang Malaysia juga mampu bangunkan jenama restoran makanan segera sendiri.

Dato’ Lawrence dan Datin Nancy juga sengaja memilih nama Marrybrown kerana ia mudah untuk disebut, mudah untuk diingat dan ada elemen antarabangsa.

pengasas marrybrown

Marrybrown Tawarkan Citarasa Tempatan Dalam Menu

Pasangan suami isteri ini sedar yang mereka perlu tawarkan sesuatu yang berbeza untuk menyerlah dan menangi hati pelanggan termasuk yang beragama Islam.

Jadi, mereka pun mula perkenalkan menu dengan citarasa tempatan di restoran mereka seperti nasi lemak, bubur dan mee kari. Pada masa yang sama, hidangan yang ditawarkan juga lebih berempah dan ada elemen pedas terutamanya pada sambal, kuah kari dan sos lada hitamnya.

Marrybrown juga tidak lupa untuk sertakan hidangan ayam goreng dan burger yang dijamin halal agar ia dapat dinikmati oleh pelanggan tanpa was-was.

Pada tahun 1986, jenama ini telah diiktiraf sebagai francais makanan dan minuman (F&B) pertama oleh perdana menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir.

Memetik artikel dari The Star, jenama ini bukan sahaja menyerlah kerana hidangannya yang tepat dengan citarasa orang Malaysia, malah mereka juga berani untuk perkenalkan sesuatu yang baharu dalam bisnes.

Bagi yang belum tahu, Marrybrown adalah restoran makanan segera pertama yang memperkenalkan menu dalam nasi (1999), menawarkan menu bubur (1998), menjual air mineral sebagai alternatif kepada minuman berkarbonat (2000) dan menyediakan tempat mainan ballpit untuk kanak-kanak (2003).

Tahun demi tahun, Marrybrown berkembang dengan cukup pantas dalam negara. Mereka juga mencatat sejarah pada tahun 1996 apabila menjadi jenama restoran francais tempatan pertama yang membuka cawangan di luar negara iaitu di China.

Jenama ini juga telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Francais Makanan Segera Pertama di Malaysia.

Mereka kini miliki lebih 200 cawangan dalam negara. Namun, anda pasti tidak menyangka yang mereka mempunyai lebih banyak cawangan di luar negara berbanding dalam Malaysia.

Sebagai salah satu rangkaian makanan segera terbesar di dunia, Marrybrown kini beroperasi di lebih 500 cawangan yang terletak di 16 buah negara termasuk Sweden, Qatar, Australia, Maldives dan Dubai.

marrybrown

Untuk bertahan selama 43 tahun sebagai jenama makanan segera tempatan bukanlah perkara yang mudah. Tambahan pula, terdapat banyak saingan yang muncul di pasaran Malaysia saban tahun.

Namun, Marrybrown berjaya membuktikan yang mereka tetap salah satu pilihan utama rakyat Malaysia yang inginkan hidangan berkualiti dan sesuai dengan citarasa tempatan.

Baca Juga : Bagaimana Jollibee Atasi McDonald’s dan Menangi Hati Rakyat Filipina?

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top