Sudah menjadi kebiasaan bagi kita untuk memilih jenama perkakas elektrik daripada jenama yang popular seperti Philips, LG dan Samsung. Jenama-jenama popular sebegini sememangnya terkenal kerana kualiti serta ketahanannya.

Namun, ada kalanya produk perkakas elektrik yang diimport ini harganya agak mahal dan membuatkan sesetengah pengguna sukar untuk memilikinya.

Kalau nak tahu, negara kita juga ada jenama perkakas elektrik bertaraf antarabangsa yang dijual dengan harga berpatutan iaitu Russel Taylors.

Pasti ramai yang menyangka jenama ini berasal dari negara barat seperti United Kingdom atau Amerika Syarikat.

Sebenarnya, ia telah diasaskan oleh seorang anak muda warga Malaysia Satish Kumar Raguchandran pada tahun 2016.

Beliau yang memegang ijazah dalam bidang kejuruteraan kimia memulakan karier dalam bidang minyak dan gas selama setahun. Lama-kelamaan, beliau merasa ketinggalan dengan perkara yang berlaku di sekeliling.

Pada suatu tahap, Satish nekad untuk berhenti kerja dan meminta tempoh selama setahun daripada ibu bapanya untuk memulakan perniagaan secara atas talian.

Mulakan Bisnes Seorang Diri

Jalankan bisnes tanpa pekerja, Satish pada asalnya melakukan semua proses sendiri. Daripada mendapatkan bekalan, membangunkan produk dan bungkusan serta kerja memunggah barangan ke dalam lori kontena, semuanya dilakukan sendiri tanpa bantuan sesiapa.

Memetik EY, Satish juga telah mencipta group WhatsApp dan Facebook untuk pengguna Russel Taylors yang ingin kemukakan maklumbalas mengenai produk.

Daripada situ, Satish boleh mendapat maklumbalas dan melakukan penambahbaikan dari segi kualiti produk serta perkhidmatan pelanggan.

Utamakan Kualiti Produk

Beliau juga biasa berkunjung ke kilang dan pusat pembekal untuk memantau proses penghasilan produk. Menurut Satish, langkah ini penting untuk memastikan barangan yang dihasilkan mencapai tahap kualiti yang diinginkan.

Syarikat ini juga akan memastikan semua pembekal menjalani amfori Business Social Compliance Initiative (BSCI) bagi menilai kualiti tempat kerja dan mengutamakan diversiti dalam tenaga kerja mereka.

russel taylors

Perkembangan Jenama Russel Taylors

Sejak awal, Satish telah menanam matlamat untuk memastikan semua produknya bermutu tinggi sebelum memasuki pasaran besar.

Walaupun pada asalnya bermula secara kecil-kecilan, Satish telah berjaya kembangkan bisnesnya dengan bimbingan daripada Lazada Malaysia.

Satish juga tidak akan lupakan pengalaman ketika menjual produknya ketika kempen 11.11 dan 12.12 Lazada yang berjaya melonjakkan jualan harian sehingga 20 kali ganda.

Beliau juga berpeluang untuk menyertai Digital Free Trade Zone (DFTZ), iaitu sebuah program kerjasama anjuran Malaysia dan jutawan terkenal dari China iaitu Jack Ma.

Hanya selepas beberapa tahun, jenama milik Satish ini mampu mencatatkan perkembangan nilai jualan sebanyak 50 peratus.

Rekaan produk yang elegan serta kualitinya yang setaraf dengan jenama antarabangsa membuatkan jenama milik Satish ini menjadi kian popular saban tahun.

Jenama ini akhirnya berjaya menembusi pasaran runcit pada 2020 dan terjual laris secara atas talian.

Pada tahun 2021, Russel Taylors berjaya mencatatkan hasil sebanyak RM 49 juta.

Kini, Russel Taylors telah berkembang menjadi salah satu jenama perkakas elektrik rumah pilihan rakyat Malaysia dan mempunyai beberapa cawangan dalam negara termasuk di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

russel taylors

Seiring dengan perkembangan jenama, syarikat milik Satish ini juga sedang memberi tumpuan untuk kembangkan bisnes ke negara jiran iaitu Singapura dan Thailand.

Pada masa akan datang, Russel Taylors turut merancang untuk menembus pasaran beberapa negara Asia tenggara lain seperti Vietnam, Indonesia dan Filipina.

Ini selaras dengan aspirasi Satish untuk menjadikan Russel Taylors sebagai sebuah jenama bertaraf global. Justeru, beliau akan terus komited dalam memastikan setiap aspek produk dijaga terutamanya kualiti serta inovasi produk dan perkhidmatan pelanggan yang cekap.

Sumber : EY, Warga Biz

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top