Sejak akhir-akhir ini, ramai yang mula mencari alternatif dan terbuka untuk mencuba jenama restoran tempatan. Mungkin anda sendiri tidak perasan yang sebenarnya terdapat banyak restoran popular yang disangka dari luar negara.
Ini mungkin disebabkan oleh pemilihan nama atau jenis hidangan yang ditawarkan sehingga ramai yang terlepas pandang. Ayuh kita semak!
9 Jenama Restoran Tempatan Yang Setanding Jenama Antarabangsa
1. Big Apple Donuts & Coffee
Mendengar namanya sahaja, mungkin ramai yang menganggap jenama ini berasal dari Amerika Syarikat. Hakikatnya, ia merupakan jenama milik rakyat Malaysia.
Big Apple Donuts & Coffee diasaskan oleh Mike Chan dan rakan-rakannya pada 2007 dan membuka cawangan pertamanya di The Curve, Damansara.
Disebabkan rasa donutnya yang enak dan gebu, jenama ini mampu berkembang dengan pantas. Hanya setelah setahun beroperasi, Big Apple telah berkembang kepada 23 buah cawangan. Kini, ia memiliki lebih 90 buah cawangan termasuk di Kemboja.
2. Secret Recipe
Kek daripada Secret Recipe pasti menjadi pilihan ramai bagi meraikan hari lahir. Kalau nak tahu, jenama popular ini telah diasaskan pada tahun 1997 oleh seorang usahawan dari Kelantan iaitu Datuk Steven Sim.
Meskipun negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang teruk, Datuk Steven tetap yakin dengan konsep perniagaan ini dan percaya ia mampu memenangi hati rakyat Malaysia.
Setelah beroperasi selama lebih 25 tahun, kini Secret Recipe memiliki lebih 450 buah kafe termasuk di beberapa negara luar seperti Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura dan banyak lagi.
3. San Francisco Coffee
San Francisco Coffee diasaskan pada tahun 1997 oleh seorang rakyat Amerika Syarikat yang menetap di Malaysia. Disebabkan rasa rindu kepada bandar tersebut, beliau telah menamakan bisnes kopinya sebagai San Francisco.
Kini, jenama kopi popular ini dimiliki oleh Lyndarahim Ventures Sdn Bhd di bawah kelolaan Datuk Abdul Rahim Zin, seorang bekas pegawai bank yang memulakan bisnes kopi ketika krisis kewangan 2008. Kini, San Francisco Coffee memiliki 50 cawangan di Malaysia dan Singapura.
4. Sushi King
Siapa tak kenal dengan jenama Sushi King? Diasaskan pada tahun 1995, Sushi King dikenali sebagai perintis bagi hidangan Jepun berkonsepkan ‘kaiten sushi’ atau revolving sushi.
Pengasasnya merupakan seorang usahawan berbangsa Jepun yang menetap di Malaysia iaitu Tan Sri Dato’ Seri Dr Fumihiko Konishi.
Turut menawarkan aneka hidangan Jepun lain seperti bento dan udon dengan harga yang berpatutan, jenama ini segera memenangi hati rakyat Malaysia.
Kini, Sushi King memiliki lebih 120 cawangan di seluruh Malaysia.
5. The Manhattan Fish Market
The Manhattan Fish Market bukanlah berasal dari Manhattan, tetapi ia merupakan satu lagi jenama restoran tempatan yang sangat dibanggakan.
Jenama restoran yang popular dengan hidangan Fish & Chips ini dimiliki oleh George Ang dan dua rakan baiknya iaitu Dr Jeffrey Goh dan Dickson Low.
Menawarkan hidangan makanan laut ala Amerika, konsep restoran ini diinspirasikan daripada pasar ikan di Fulton Street, Brooklyn.
6. The Chicken Rice Shop
Jingle “The Chicken Rice Shop, Bukan Sekadar Nasi Ayam,” memang cukup dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia. Restoran ini diasaskan pada tahun 2000 oleh seorang ibu dan anak perempuan iaitu Gaik Wong dan Wong Kah Lin.
Konsep restoran ini iaitu gabungan keenakan resepi Nasi Ayam Hainan dan makanan tradisional Malaysia seperti popia, pai tee, rojak buah, dan mee kari telah menawan hati ramai rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Maklumlah, siapa yang tak suka nasi ayam, bukan?
Kini, The Chicken Rice Shop memiliki 60 cawangan di seluruh Malaysia termasuk 2 di Singapura.
7. OldTown White Coffee
OldTown pada mulanya menerjah industri kopi tempatan pada 1999 dengan menghasilkan produk kopi 3 dalam 1. Berpangkalan di Ipoh, Perak, jenama ini mula mengembangkan bisnes mereka dengan membuka restoran ala kopitiam di seluruh Malaysia.
Produk kopi yang dicipta dengan citarasa tempatan ini juga mendapat permintaan negara luar seperti Singapura dan China.
8. Marrybrown
Walaupun tidak sepopular McDonald’s atau KFC, namun Marrybrown tetap menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia yang mahukan hidangan segera dengan citara tempatan.
Selain menawarkan ayam goreng dan burger, jenama Marrybrown juga terkenal dengan hidangan lain seperti bubur pedas, nasi lemak dan mee kari.
Marrybrown pada asalnya bermula dari sebuah lot kedai kedai di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru. ia diusahakan sejak tahun 1981 oleh pasangan suami isteri iaitu Lawrence dan Nancy Liew.
Ketika itu, jenama besar seperti McDonald’s dan KFC sudah pun bertapak di Malaysia selama 10 tahun. Namun, mereka sedari masih ramai orang Islam di negara pada waktu itu masih was-was dan ingin nikmati makanan segera yang halal.
Jadi, mereka melihat ini sebagai peluang untuk mereka bangunkan sebuah jenama tempatan yang bertepatan dengan selera rakyat Malaysia dan yang lebih penting, dijamin halal.
Kini, Marrybrown beroperasi di hampir 200 cawangan tempatan dan 500 cawangan antarabangsa.
9. Boat Noodle
Boat Noodle diasaskan oleh Tony Lim Chin Hau apabila beliau dapati kebanyakan boat noodles di Thailand tidak halal kerana mengandungi darah haiwan.
Daripada situ, beliau menghidu peluang untuk mencipta boat noodle versi halal supaya rakyat Malaysia juga dapat menikmati keenakan hidangan tersebut tanpa was-was.
Pengasas Boat Noodle ini juga miliki satu lagi jenama makanan popular iaitu BananaBro apabila dapati masih ramai tidak berpeluang untuk nikmati hidangan India berkonsepkan nasi daun pisang yang halal di Malaysia.
Rupanya terdapat banyak jenama restoran tempatan yang kita sangka berasal dari luar negara. Kualiti dan keenakan yang ditawarkan juga menjadikan ia setanding dengan jenama antarabangsa. Ayuh kita sama-sama tunjukkan sokongan kepada jenama tempatan. Kalau bukan kita, siapa lagi?
Baca Juga : Bagaimana Jollibee Atasi McDonald’s dan Menangi Hati Rakyat Filipina?