Melalui Menu Rahmah, peniaga besar mahupun kecil mampu mencatat keuntungan yang tinggi.
Bagaimana inisiatif ini dapat memberi keuntungan kepada peniaga?
Dengan menawarkan menu pada harga berpatutan, makin ramai pelanggan yang mampu berbelanja di premis atau restoran. Kedatangan pelanggan yang lebih ramai seterusnya dapat memberi lebih keuntungan kepada peniaga apabila hasil jualan mereka meningkat secara mendadak.
Ramai peniaga yang telah mewujudkan menu ini di premis masing-masing dan rata-rata mendapat sambutan baik daripada masyarakat.
Antara golongan yang dapat menikmati manfaat menu dengan harga bajet ini adalah pelajar universiti kerana harga makanan yang berpatutan sebegini boleh membantu mereka untuk berjimat.
Apakah Menu Rahmah yang semakin popular dan menjadi pilihan rakyat ini?
Menu Rahmah adalah menu yang menyajikan makanan hidangan pada tengah hari atau malam yang seimbang dengan nutrisi serta lengkap dengan karbohidrat, sumber protein dan sayur.
Ia adalah satu inisiatif kerajaan dalam menawarkan makanan pada harga RM5 dan ke bawah kepada rakyat khususnya bagi golongan yang berpendapatan rendah.
Ia telah menjadi satu situasi win-win apabila pelanggan dapat menikmati makanan yang lebih murah sementara peniaga dapat menjana lebih banyak keuntungan.
Perkara ini dipersetujui oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
“Majoriti kedai yang saya lawati ketika Jelajah Rahmah, mereka yang menawarkan Menu Rahmah memaklumkan pelanggan bertambah dan sedikit pun tidak mengubah modal perniagaan sedia ada,” ujar beliau dalam satu temu bual.
Hasil daripada pengenalan menu dengan harga bajet, beberapa restoran dan kedai makan yang dahulunya sepi kini dikatakan sesak dengan kedatangan ramai pelanggan sehingga pekerja tidak ‘cukup tangan’ untuk melayan.
Selain itu, hasil pendapatan restoran atau kedai makanan yang terlibat dalam inisiatif ini juga dikatakan sangat baik sehinggakan gaji untuk pekerja pun dapat diberikan pada tarikh sepatutnya.
FAMA Bantu Peniaga Realisasikan Menu Rahmah
Meskipun Menu Rahmah mendapat sambutan yang baik, namun segelintir peniaga masih sukar untuk menawarkannya akibat harga barangan mentah yang meningkat.
Akibatnya, sesetengah peniaga terpaksa menaikkan harga menu mereka dan tidak mampu untuk menawarkan Menu Rahmah.
Bagi mengatasi isu ini, FAMA tampil memberikan solusi bernas bagi membantu para peniaga.
Menerusi laporan Berita Harian, peniaga boleh membeli sayur-sayuran melalui FAMA. Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly, telah menyatakan bahawa pihak mereka boleh mengatur pertemuan antara peniaga sayur-sayuran dan pembekal untuk mengurangkan kos logistik serta mengurangkan harga sayur-sayuran yang meningkat di pasaran.
Jadi, peniaga tidak perlu risau untuk menanggung kos membeli bahan mentah yang tinggi dengan bantuan pihak FAMA.
KPDN juga telah membangunkan satu laman web bagi membantu pengguna untuk melakukan carian lokasi premis yang menawarkan Menu Rahmah mengikut negeri dan kategori premis.
Untuk mengetahui premis perniagaan yang menyediakan Menu Rahmah, anda boleh Klik di https://menurahmah.kpdn.gov.my/.
Sumber: Harian Metro