Baru-baru ini, kecoh mengenai kes seorang pekerja restoran Cina Muslim iaitu Mon Chinese Beef Roti didapati memakai rantai salib dan mengenakan songkok.
Meskipun pihak pengurusan restoran tersebut telah memberhentikan pekerja itu, namun ramai warga Muslim masih ragu akan status halal premis tersebut.
Betulkah pekerja yang memakai rantai salib di premis makanan adalah satu kesalahan sehingga jatuh status haram?
Seorang Halal Executive merangkap Halal Auditor yang dikenali sebagai Aina (@enamardhea) terpanggil untuk menjawab dan memberikan pendapat mengenai isu hangat ini di platform TikTok. Ayuh kita ikuti penjelasannya.
Halal Bukan Sekadar Bebas Bahan Berasaskan Babi dan Alkohol
Pertama sekali yang Aina tekankan adalah halal bukan sekadar ‘ no pork’, ‘no lard’ atau ‘no alcohol’. Sebaliknya, ia juga harus diselaraskan dengan konsep Halal dan Toyyiban yang bermaksud dibenarkan dan bagus.
Jadi, pelbagai faktor lain juga boleh mempengaruhi status halal sesebuah premis itu.
Sebagai contoh, sekiranya sebuah restoran itu diusahakan oleh seorang Melayu Muslim, tiada sijil halal, ayam dan daging disembelih mengikut cara islam tetapi kedai tersebut kotor dan tidak menjaga kebersihan, maka kedai itu dilihat sebagai tidak halal.
Contoh kedua, sekiranya kedai itu diusahakan oleh orang bukan Islam yang tiada sijil halal, namun menggunakan bahan-bahan yang halal dan persekitaran kedai adalah bersih, maka kedai tersebut tidak jatuh haram. Cuma, premis tersebut masih belum ada sijil halal lagi.
Bagaimana Pula Kalau Pekerja Pakai Rantai Salib?
Namun, perkara yang ramai masyarakat persoalkan baru-baru ini adalah status halal sesebuah premis sekiranya pekerja adalah bukan Muslim.
Ini disebabkan oleh sebuah kes tular mengenai seorang pekerja pakai rantai salib di Mon Chinese Beef Roti, Bukit Bintang.
Aina mengajak orang ramai supaya berfikiran lebih terbuka untuk berkenaan isu ini. Hakikatnya, skop halal adalah besar dan orang Muslim tidak sepatutnya mudah menghukum hanya disebabkan rantai salib.
Berdasarkan syarat halal daripada Sijil Hala Malaysia, sesebuah bisnes mikro F&B hanya memerlukan minimum seorang pekerja Muslim sahaja.
Untuk bisnes bersaiz sederhana dan besar pula, mereka memerlukan 2 orang pekerja muslim dan seorang Halal Executive.
Yang selebihnya, adalah hak pemilik syarikat untuk mengupah pekerja beragama bukan Islam. Ini juga selaras dengan ayat dalam Surah Al Kafirun yang bermaksud “Untukku agamaku, untukmu agamanu”. Jadi, kita tidak boleh pertikaikan amalan agama seseorang dalam kehidupan seharian.
Menurut Aina, dia berasakan isu ini sebenarnya tidak perlu diperbesarkan. Sebaliknya, orang ramai perlu menyemak perkara yang lebih penting lagi iaitu pemilikan Sijil Halal oleh Mon Chinese Beef Roti.
Berdasarkan semakan di website halal.gov.my, premis tersebut masih belum tersenarai sebagai pemegang Sijil Halal Malaysia.
“Mungkin premis tersebut sudah mendaftar namun belum mendapat kelulusan kerana kebiasannya proses ini akan mengambil masa yang lama terutamanya bagi permohonan pertama.
Tambahan pula, prosesnya bukan mudah dan premis perlu melalui beberapa syarat yang ketat sebelum mendapat pengiktirafan Halal daripada JAKIM,” jelas Aina.
Bagi yang belum tahu, Sijil Halal Malaysia juga merupakan salah satu sijil halal yang terbaik di dunia dan sering disebut sebagai ‘The Golden Standard’.
Aina juga menegaskan sekali lagi bahawa ini bukan bermaksud makanan di premis tersebut adalah haram. Sebaliknya, ia belum mendapatkan lagi Sijil Halal Malaysia.
Sekiranya premis itu menggunakan bahan-bahan yang halal dan mengikuti garis panduan halal dan toyyiban, maka mereka hanya menunggu masa untuk mendapatkan Sijil Halal daripada JAKIM.
Kesimpulannya, adalah wajib bagi umat Islam menjaga sumber makanan yang diambil agar dijamin halal. Namun, pengetahuan di sebalik menentukan sesuatu makanan itu halal atau haram perlu diperbetulkan dalam kalangan masyarakat.
Sumber : TikTok @enamardhea
Baca Juga : Cuma Perlu Imbas Barcode, Aplikasi Verify Halal Bantu Pengguna Semak Status Produk di Hujung Jari