Literasi kewangan dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak dan sesuai dengan keperluan diri serta keluarga.

Pemahaman mengenai asas-asas kewangan dan perancangan kewangan rangka panjang juga dapat mengurangkan risiko masalah kewangan dalam kehidupan.

Bagi mendedahkan ilmu kewangan kepada warga setempat, Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Industri Kewangan telah melaksanakan Karnival Celik Kewangan Kelantan pada 16 dan 17 Jun 2023 lalu.

Bertempat di AEON Mall, Kota Bharu, lokasi ini juga merupakan destinasi terakhir daripada jelajah Karnival Celik Kewangan yang telah membuat persinggahan di negeri Pantai Timur lain terlebih dahulu iaitu Pahang dan Terengganu.

Telah dirasmikan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Encik Suhaimi Ali, program ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif program Karnival Kewangan yang sudah diadakan sejak tahun 2017.

Penjenamaan semula kepada Karnival Celik Kewangan adalah selaras dengan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 dalam mempergiatkan lagi inisiatif literasi kewangan seiring dengan pemerkasaan rangkuman kewangan bagi memastikan penggunaan yang lebih bermakna.

Karnival Celik Kewangan Bawakan Ilmu Kewangan Secara Santai

Bagi menggamit penyertaan serta minat orang ramai untuk mempelajari dengan lebih dalam mengenai dunia kewangan, program ini dibawakan dengan konsep edutainment yang santai namun padat dengan informasi.

Menerusi program ini, warga setempat juga ditawarkan dengan pelbagai maklumat seperti pengurusan kewangan berhemat, modus operasi terkini jenayah kewangan, literasi kewangan digital dan kepentingan pelan kewangan persaraan.

Selain pelbagai pameran dan aktiviti menarik, orang ramai turut berpeluang untuk mendapatkan rundingan serta khidmat nasihat mengenai pengurusan harta dan perlindungan takaful daripada pakar yang berpengalaman.

Program Karnival Kewangan ini turut mendapat penyertaan daripada bank-bank terkemuka dalam negara antaranya BSN, Bank Islam, Agrobank, SMEBank dan Bank Muamalat.

Pengarah bagi Perniagaan Perbankan (Runcit) Bank Islam Bank Islam, Encik Zamree Mohamed turut hadir ke program Karnival Celik Kewangan

 

Ahli jawatankuasa DPMM bersama Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Encik Mujibburrahman Abd Rashid

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kelantan turut menerima jemputan rasmi dari Bank Negara Malaysia bagi menghadiri program ini.

Organisasi  ini diwakili oleh 3 ahli jawatankuasa negeri iaitu Encik Rizal Razak dari Web Impian Sdn Bhd, Encik Azizul Hj Ruslan dari Optaplus Sdn Bhd dan Encik Wan Abd Majid Nik Zuhaini.

Ilmu Kewangan Digital Bakal Beri Manfaat Pada Peniaga dan Pengguna

Memetik ucapan daripada Encik Suhaimi Ali, data daripada Bank Dunia menganggarkan bahawa 79% rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan kewangan digital pada tahun 2021. Dalam peratusan tersebut, 45% daripadanya adalah pengguna kali pertama.

Oleh itu, selain penting untuk para peniaga ketahui kaedah perniagaan yang relevan dengan kemajuan teknologi digital masa kini, pengguna juga wajar diberikan pendedahan mengenai asas perkhidmatan kewangan digital untuk urusan yang lancar dan selamat.

Keperluan ini perlu dititikberatkan kerana sebahagian besar daripada masyarakat kini banyak bergantung kepada perkhidmatan perbankan atas talian bagi transaksi harian.

Justeru, dengan adanya program kewangan seperti ini, ia diharap mampu mencambahkan minat serta pengetahuan masyarakat supaya lebih peka terhadap isu kewangan dan kemudahan digital masa kini.

 

Di samping itu, Bank Negara Malaysia turut mengadakan sesi dialog bersama Komuniti PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) bagi mengetengahkan isu ekonomi semasa negara dan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk merancakkan lagi bisnes PKS di seluruh Malaysia.

Diharapkan supaya karnival ini berjaya meningkatkan pengetahuan pengurusan kewangan kepada masyarakat setempat dan menjadi titik permulaan bagi membina masyarakat celik kewangan demi hidup yang lebih sejahtera.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top