A&W meraikan ulang tahun ke-60 di Malaysia dengan pembukaan restoran ke-100 di 16 Sierra, Puchong South. Perasmian cawangan terbaharu ini juga membuktikan kekuatan jenama ini sebagai restoran makanan segera pilihan ramai rakyat Malaysia sejak berpuluh tahun lamanya.
Antara faktor yang membuatkan A&W kekal relevan adalah komitmen mereka terhadap inovasi serta kualiti dalam menawarkan produk serta perkhidmatan.
Cawangan A&W ke-100 Jadi Premis Pertama Miliki Kiosk Tempahan Sendiri
Selain menawarkan kemudahan pandu lalu, restoran A&W cawangan 16 Sierra ini turut menawarkan satu pembaharuan iaitu kiosk tempahan sendiri. Ia merupakan kemudahan pertama seumpamanya di mana-mana restoran A&W di Malaysia.
Pelanggan juga dapat menikmati hidangan lazat dengan suasana American diner yang retro dan serba unik.
“Sejak 60 tahun lalu, A&W telah menyematkan jenamanya ke dalam hati, minda dan citarasa rakyat Malaysia merentasi pelbagai generasi.
“Namun, seiring dengan perubahan masa, kami turut berkembang untuk memenuhi keperluan generasi baru sambil mengekalkan ciri ikonik kami.” ulas George Ang, Ketua Pegawai Eksekutif A&W Malaysia.
Justeru, jenama ini terus berevolusi bagi memenuhi keperluan dan menepati trend pengguna. Ang berkata 40 peratus daripada pelanggan lebih selesa untuk membuat transaksi melalui kad kredit dan aplikasi telefon bimbit.
Selain trend pembayaran tanpa tunai, pengguna masa kini juga lebih cenderung untuk membuat pesanan melalui penghantaran.
“Empat tahun lalu, kami tidak menawarkan servis penghantaran. Namun, setelah kemudahan ini diperkenalkan, 30 peratus daripada hasil jualan kami adalah daripada penghantaran,” jelas Ang.
Dengan perasmian restoran ke-100, restoran popular ini tidak menoleh belakang lagi dan kini bermatlamat untuk mengembangkan lagi jenama dan sedang menuju matlamat untuk membuka 150 kedai menjelang 2025.
Dalam masa yang sama, restoran ini juga sedang merancang untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai jenama makanan segera terkemuka di negara ini dengan membuka cawangan di taman tema dan pusat R&R di lebuhraya berlokasi strategik dalam 12 bulan akan datang.
Bagi memudahkan pelanggan, restoran yang popular dengan hidangan Beef Coney dan minuman RB ini juga akan fokus pada penyediaan drive-thru di cawangan sedia ada.
A&W mencipta sejarah apabila menjadi restoran makanan segera pertama dengan pembukaan cawangan pertamanya di Jalan Tuanku Abdul Rahmad pada tahun 1963.
Dengan pimpinan baharu, A&W yang dahulunya hanya mempunyai cawangan di beberapa negeri kini mampu bertapak di Sabah dan Sarawak. Ang juga teruja berkongsikan rancangan mereka untuk membuka cawangan di Kangar, iaitu lokasi pertama A&W di Perlis tidak lama lagi.
Sumber : The Malaysian Reserve