Gagal sekali tidak bererti gagal selamanya. Begitulah perumpamaan yang paling tepat untuk menggambarkan kejayaaan syarikat Optaplus Sdn Bhd dalam usaha mereka untuk menjadi peneraju industri plastik tempatan.

Ditubuhkan sejak tahun 1995 dan beroperasi di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Optaplus mula menghasilkan produk plastik daripada satu mesin sahaja.

Kini, syarikat milik Bumiputera ini mampu menjalankan operasi pembuatan barangan plastik selama 24 jam sehari dengan mesin berteknologi tinggi sambil menembus pasaran dalam beberapa industri penting seperti farmaseutikal, automotif, pemakanan, perubatan, perladangan dan pembuatan bahan kimia.

Sebagai ahli Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Optaplus juga sedang giat merangka strategi dalam menembus pasaran global.

Optaplus

Kegawatan Ekonomi 1998 Jadi Cabaran Terbesar Optaplus

Pengarah Urusan Optaplus Sdn Bhd, Muhd Azizul Rahman Ruslan berbangga untuk menjadi penyambung legasi ayahnya yang merupakan pengasas bagi syarikat tersebut.

Beliau masih ingat lagi kesukaran yang perlu dihadapi untuk meneruskan perjuangan ayahnya dalam industri pembuatan plastik ini.

Antara cabaran paling besar yang pernah dihadapi oleh Optaplus adalah ketika zaman kemelesetan ekonomi pada tahun 1998. Pada zaman tersebut, boleh dikatakan hampir semua industri terkesan sehingga banyak bisnes terpaksa gulung tikar.

Optaplus yang baru beroperasi selama 3 tahun pada ketika itu diduga dengan kenaikan harga bahan mentah yang mendadak sehingga pelanggan tidak mampu untuk membeli produk plastik yang ditawarkan.

Disebabkan itu, mereka juga terpaksa menanggung kerugian yang besar. Namun, rintangan ini tidak memadamkan semangat Azizul dalam meniti waktu-waktu sukar pada zaman kegawatan ekonomi yang melanda negara.

Optaplus

Berkat bantuan daripada SME Bank dan pelbagai agensi kerajaan seperti MITI, dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Optaplus mampu melangkaui tempoh sukar tersebut dan teruskan operasi.

“Pihak kerajaan bukan sahaja menghulurkan bantuan untuk sewaan premis dan modal pusingan, malah pihak mereka juga menawarkan ilmu bisnes yang bermanfaat seperti selok-belok pemasaran serta pengurusan kewangan. Kami juga berbesar hati menerima bantuan daripada pelanggan yang lebih besar daripada kami dan sudi membantu dari segi kewangan,” ulas Azizul.

Untuk menghidupkan semula bisnes, Optaplus mula menembus pasaran bagi menawarkan produk plastik untuk kegunaan klinik dan hospital pada tahun 2002.

Lama-kelamaan, syarikat yang menawarkan bahan berasaskan plastik yang berkualiti ini semakin dipercayai dan dikenali ramai.

Dengan menitikberatkan sistem pemprosesan serta penghasilan produk yang bermutu tinggi, Optaplus kini mampu menjadi pembekal kepada pemain industri utama dalam negara seperti Petronas, Pharmaniaga dan DRB-HICOM.

Memenangi anugerah Bumiputera Business Excellence Awards 2021, syarikat ini juga pernah mendapat liputan khas daripada Astro Awani di bawah Program Sukses iaitu rancangan televisyen yang membincangkan perkembangan sektor industri kecil dan sederhana (PKS) pada tahun 2018.

Optaplus

Berkongsi pengalaman dalam industri, Azizul mengingatkan kepada usahawan baharu supaya membuat kajian yang mendalam terlebih dahulu terutamanya dalam aspek pemasaran dalam industri perusahaan plastik.

“Bila perniagaan ada permintaan yang stabil, kemudian barulah usahawan boleh fokus kepada aspek lain seperti pelaburan modal untuk membeli mesin dan penyelidikan (R&D). Aspek-aspek lain ini juga perlu perancangan yang rapi dan mesti bergantung kepada modal bisnes sedia ada,” jelas Azizul.

Kini, Optaplus sedang merancang untuk menghasilkan produk plastik biodegradable untuk kegunaan yang lebih mesra alam. Tambahan pula, ia merupakan trend yang seiring dengan kesedaran orang ramai mengenai penjagaan alam sekitar.

Ini selari dengan komitmen Optaplus yang menitikberatkan konsep 3R iaitu reduce, reuse dan recycle sebagai usaha untuk mengurangkan sisa plastik dan pada masa yang sama memanfaatkan sumber asli tempatan bagi menggerakkan ekonomi.

Berbekalkan pengalaman selama hampir 30 tahun dalam industri, Optaplus kini terus mara untuk menjadi peneraju industri plastik tempatan dan luar negara sambil fokus untuk membantu pelanggan mencapai matlamat kelestarian mereka demi persekitaran yang lebih bersih pada masa hadapan.

 

Top