Peminat buku yang sejati tentunya mengenali kedai-kedai buku yang popular di Malaysia. Premis ini menjadi tujuan utama bagi mereka yang haus akan pengetahuan seperti Kedai Buku S.M.O, Kinokuniya atau Popular.

Satu lagi jenama kedai buku yang mendapat tempat di hati oleh peminat buku adalah kedai buku Borders, yang selama bertahun-tahun menjadi kegemaran ramai bagi mereka yang mencari buku berkualiti.

Pada tahun 1971, Borders Group ditubuhkan oleh saudara Tom dan Louis Borders semasa mereka bersekolah di University of Michigan. Kedai buku pertama Borders dibuka di 209 South State Street, Ann Arbor pada tahun yang sama.

Borders Malaysia yang pertama pula dibuka pada 2005 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Daripada satu cawangan itu, Borders telah pun berkembang di sekitar Kuala Lumpur dan mempunyai beberapa cawangan lain yang terletak di Quill City Mall, Bangsar Village II, Hospital Pantai KL dan Hospital Gleneagles.

Borders Malaysia

Sumber: Borders

Baru-baru ini, Borders Malaysia mengeluarkan notis bahawa mereka akan menghentikan operasi di negara ini pada 31 Ogos 2023 selepas 18 tahun beroperasi.

Kedai buku di Bangsar Village 2 akan ditutup selepas 31 Julai ini, sementara pembelian dalam talian telah dihentikan sejak 31 Mei lalu. Ini sekaligus menandakan akhir dari perjalanan dan perkhidmatan Borders di Malaysia.

Dalam pada itu, pengurusan Berjaya Books Sdn Bhd, yang bertanggungjawab atas operasi Borders Malaysia, telah mengeluarkan notis yang singkat sebagai ungkapan penghargaan kepada semua pelanggan atas sokongan mereka sepanjang beroperasi.

Pihak pengurusan Borders sangat menghargai kepercayaan dan kesetiaan yang telah diberikan oleh pelanggan sejak dari tahun 2005 dan menganggap tanpa mereka, Borders tidak akan mencapai pencapaian sejauh itu.

Tambahnya lagi, walaupun perjalanan mereka berakhir, komitmen terhadap pelanggan akan terus tetap teguh dan tidak berubah.

Sebelum ini, pemilik asal Borders Group Inc yang berasal di Ann Arbor, Michigan menempuh kebankrapan pada Februari 2011. Disebabkan itu, beliau terpaksa menghentikan operasi semua cawangan kedai bukunya di Amerika Syarikat menjelang September pada tahun yang sama.

Bagai jatuh ditimpa tangga, kedai buku ini kemudiannya berdepan dengan cabaran dalam menghadapi penurunan trend pembelian buku fizikal dan keuntungan terakhir yang dicatatkan oleh Borders adalah pada tahun 2006.

Disebabkan itu jugalah pendapatan Borders mengalami penurunan yang signifikan sebanyak $1 bilion dalam masa empat tahun seterusnya.

Pada akhir 2010, Borders menghadapi masalah kewangan yang serius dan terpaksa menangguhkan pembayaran kepada penerbit atas inventori yang telah diterima. Hal ini menyebabkan kesukaran untuk memperoleh pembiayaan semula melalui kemudahan kredit.

Setelah disytiharkan muflis, cawangan Borders di negara lain termasuk Malaysia diurus oleh pemilik yang lain daripada Borders Group.

Borders Malaysia

Walaupun jenama popular ini menyimpan banyak kenangan buat penggemar buku, namun ia juga tidak mampu bertahan akibat trend bacaan buku fizikal yang berhadapan dengan penurunan ketara pada masa ini. Diharap supaya berita ini tidak mematahkan semangat peminat buku. Teruskan mencari alternatif lain untuk memenuhi minat membaca.

Terdapat banyak pilihan kedai buku lain, platform dalam talian, dan komuniti pembaca untuk terus memberikan inspirasi, pengetahuan, dan pengalaman membaca yang memuaskan.

Sumber: BeritaHarian

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top