Siapa tak kenal dengan burger Ramly? Walaupun orang kita biasa makan nasi untuk makan malam, namun ramai juga yang mencari burger untuk mengisi perut.

Rasanya bukan sahaja enak dan tepat dengan citarasa rakyat Malaysia, malah harganya murah dan mudah didapati di mana-mana sahaja.

Jadi, tidak hairanlah mengapa begitu banyak gerai menjual burger yang dibuka di tepi jalan.

Jika diikutkan, burger Ramly boleh dianggap sebagai salah satu jenama tempatan yang berhasil membantu ribuan rakyat Malaysia menjana pendapatan dan mengubah hidup mereka menerusi jualan burger jalanan.

Jasa Burger Ramly Untuk Bantu Rakyat Malaysia Jana Pendapatan

Daging Burger Murah

Disebabkan harga daging burger dari Ramly murah, maka tiada masalah untuk orang membelinya di pasaran untuk mulakan perniagaan.

Ini sekaligus membolehkan peniaga menjual burger kepada pelanggan dengan harga yang tidak membebankan.

Pelanggan juga tidak kisah untuk membeli burger untuk seisi keluarga kerana harganyanya juga jauh lebih murah jika dibandingkan dengan burger yang dijual di restoran makanan segera.

burger ramly

Modal Kecil & Tak Rumit Untuk Buka Gerai Burger

Selain harga daging burger yang murah, ramai yang memilih untuk membuka gerai burger tepi jalan kerana modalnya kecil. Asalkan tidak mengganggu persekitaran, gerai ini juga sesuai dibuka di mana-mana sahaja.

Pada masa yang sama, cara masaknya mudah dan sesiapa sahaja boleh pelajarinya. Bak kata pengasas Chicken Royale iaitu Naz Daim, memang sukar untuk jadikan burger tak sedap kerana ia sudah sedia ada enak.

Seperti yang tular baru-baru ini, wanita OKU juga mampu untuk masak burger mengikut pesanan pelanggan!

Kredibiliti Jenama Ramly Sendiri

Pelanggan juga tidak teragak-agak untuk membeli burger Ramly kerana jenama tersebut sudah pun terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Tambahan pula, jenama Ramly dimiliki oleh Muslim. Jadi, pelanggan juga cukup yakin dengan status halal serta kualitinya.

Pendek kata, penjual tidak perlu bersusah payah mencari pelanggan kerana mereka sendiri akan datang ke gerai mereka untuk nikmati burger yang enak.

Jadi Sumber Pendapatan Sampingan

Walaupun pada awalnya tidak mudah untuk orang Malaysia menerima rasa burger, namun makanan inilah yang menjadi pilihan utama bagi kebanyakan orang yang mahukan hidangan yang lebih ringan dan murah berbanding nasi.

Budaya makan burger pada waktu malam ini sekaligus membuka peluang kepada peniaga jalanan untuk jana sumber pendapatan sampingan setelah bekerja pada waktu siang.

burger ramly

Bekalan Yang Mudah Didapati

Sejak Ramly ditubuhkan pada 1984, daging burger menjadi produk utama mereka sehingga ke hari ini. Mereka juga kini mampu hasilkan sehingga 6 juta keping patty burger sehari bagi memenuhi keperluan peniaga jalanan dan pelanggan.

Oleh sebab itulah ia sangat mudah untuk didapati di pasaran.

burger ramly

Ramly Burger juga telah memberikan impak besar kepada orang tempatan dari segi pembangunan ekonomi.

Kualiti, kredibiliti jenama, keenakan yang terjamin serta mudah didapati di pasaran menjadi kekuatan Ramly sebagai pengeluar daging burger nombor satu di Malaysia.

Secara tidak langsung, ia turut membantu ramai orang untuk jana pendapatan dengan menjual burger secara kecil-kecilan tanpa sebarang masalah. Pada masa yang sama, pelanggan pula boleh menikmati burger pada bila-bila masa tanpa rasa terbeban.

Baca Juga : Kisah Pengasas Jenama Ramly Burger Untuk Jadi Burger Nombor Satu di Malaysia

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top