Ramai yang menganggap individu kelainan upaya mempunyai kegiatan terhad dan tidak mampu berdikari sendiri. Namun, seorang gadis OKU, Jaheerah Nadzri telah membuktikan yang dia juga mampu menjana pendapatan tanpa belan ihsan daripada orang sekeliling.
Usahawan berusia 29 tahun itu kini menjadi topik perbualan hangat warganet apabila didapati gigih berniaga burger di kedai burger yang terletak berdekatan Surau Al-Hijrah Kota Warisan Sepang bersama bapanya, Nadzri Abdul Majid.
Sering memuat naik aktiviti harian termasuk proses membuka kedai dan memasak burger di aplikasi me sosial TikTok, populariti Jaheerah kian melonjak dan kini beliau miliki hampir 540,000 pengikut.
Salah satu videonya juga tular sehingga mendapat 13.9 juta tontonan. Rata-rata warganet cukup kagum dengan kesungguhan serta bakat memasak yang ditunjukkan oleh gadis yang mesra disapa sebagai Eerah itu.
@jaheerahnadzri94 🍔☺️ #tiktok #fyp #tiktokmalaysia #viral #eerahburger #kotawarisan
Malah ramai yang turut mendoakan supaya perniagaan yang diusahakan Eerah serta bapanya terus berjaya.
Kisah usahawan OKU ini terlebih dahulu pernah tular pada Januari lalu ketika beliau baru membuka kedai burger tersebut.
Eerah merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Ini juga menyebabkan bapanya sangat menjaga keperluan puterinya itu.
Bapanya yang berusia 66 tahun itu berkata dia sangat menggalakkan anak perempuannya itu untuk mengusahakan bisnes sendiri berbanding makan gaji dengan orang kerana lebih tahu tahap keupayaan anaknya itu.
Kata Nadzri, dia sentiasa memberikan sokongan dan tidak jemu menemani anaknya kerana Eerah masih perlu dibantu dalam setiap pekerjaan kerana keadaannya yang tidak seperti kebanyakan orang lain.
“Eerah tak pernah bekerja dengan sesiapa kerana tiada kelulusan tapi yang utama adalah disebabkan keadaan fizikalnya yang memerlukan bantuan orang sekeliling. Susah juga untuk saya lepaskan dia bekerja kerana dia tak boleh buat kerja berat, oleh sebab itulah saya tak benarkan dia bekerja dengan orang kerana saya tahu kemampuannya,” jelas Nadzri.
Sebagai bapa, apa yang Nadzri harapkan adalah supaya anaknya dapat menjadi usahawan OKU yang berjaya dan mampu berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain suatu hari nanti.
“Dia ada masalah pengangkutan kerana dia tak boleh bawa kenderaan sendiri, untuk berkomunikasi dengan orang pun payah. Jika pak cik dah tak ada, harap ada jodoh yang boleh jaga dia. Kalau dia boleh berdikari cari pendapatan, ada rumah sendiri pun pak cik dah lega,” katanya.
Pada masa yang sama, Nadzri juga kerap berpesan kepada anak-anak yang lain untuk menjaga kebajikan Eerah apabila dia sudah tiada.
Baca Juga : Berkerusi Roda Bukan Penghalang Untuk Bina Empayar Bisnes, Ini Fakta Menarik Mengenai Pengasas 99 Speedmart