Burger Ramly yang dijual tepi jalan telah menjadi makanan yang cukup sebati dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia sedap, murah dan mudah didapati di mana-mana. Gerai-gerai menjual burger ini juga sentiasa menjadi tumpuan pada waktu petang sehingga ke tengah malam.
Selama berpuluh tahun, Burger Ramly merupakan jenama burger yang paling terkenal bukan sahaja di kalangan pencinta burger, malah ia juga menjadi pilihan ramai peniaga burger di seluruh Malaysia.
Mungkin ramai yang tak tahu siapa sebenarnya yang mengasaskan jenama burger popular ini. Sebenarnya burger Ramly dibangunkan oleh seorang anak petani yang pada asalnya menjual daging diproses secara kecil-kecilan sahaja.
Bagaimana jenama ini boleh berkembang dan menjadi burger yang sangat sinonim dengan bisnes gerai burger tepi jalan? Ayuh kita ikuti kisah perkembangan jenama Ramly Burger.
Sejarah Penubuhan Ramly Burger
Ramly Burger diasaskan oleh Dato’ Haji Ramly bin Mokni, seorang anak petani kelahiran Parit Buntar, Perak.
Akibat kesempitan hidup di kampung, Dato’ Haji Ramly telah berpindah ke Sekinchan, Selangor dan tinggal bersama abangnya. Pada mulanya beliau bekerja sebagai buruh. Tak lama selepas itu, beliau ditawarkan kerja sebagai pemotong daging di ibu kota.
Sejak kecil, Dato’ Ramly telah menanam niat untuk menjadi seorang doktor. Namun, hajatnya tidak kesampaian kerana ibu bapanya tidak mampu menanggung kos pengajian yang tinggi.
Dato’ Ramly akhirnya mengubah haluan hidupnya untuk lebih serius dalam bidang pemprosesan daging.
Idea untuk menghasilkan produk daging burger tercetus apabila isu jualan daging tidak halal yang dikatakan berleluasa pada tahun 1978. Oleh itu, Dato Haji Ramly pun nekad untuk memulakan bisnes jualan daging burger bagi memudahkan pengguna Muslim mendapatkan daging yang djiamin halal.
Dengan berbekalkan modal sebanyak RM 2,000, Dato’ Haji Ramly bersama isterinya Datin Shala Siah binti Abdul Manap telah memulakan bisnes membuat kepingan daging burger sendiri.
Tanpa bantuan mesin atau peralatan, pasangan suami isteri ini cekal berniaga secara kecil-kecilan di Flat Jalan Haji Hussein, Kampung Baru.
Setelah itu, beliau turut membuka gerai menjual burger sambil menjual daging burger mentah dan siap dimasak untuk diedar di kawasan sekitar Kampung Baru, Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.
Pada awalnya, bisnes mereka kurang mendapat sambutan kerana masyarakat Malaysia masih belum mengenali burger dan tidak begitu gemarkannya. Namun, pasangan suami isteri ini cekal menjalankan bisnes sehingga jualan mereka bertambah dari 200 keping sehingga 2,000 ke 3,000 keping sehari.
Pada tahun 1980, Dato’ Haji Ramly dan isteri membuka sebuah syarikat. Empat tahun setelah beroperasi, mereka kemudiannya berjaya membuka sebuah kilang di Bandar Tun Razak dan mampu menghasilkan 10,000 keping burger mentah sehari.
Lama kelamaan, bisnes Dato’ Haji Ramly semakin berkembang. Bukan sekadar menghasilkan burger mentah yang halal dan berkualiti, malah usahawan ini juga memiliki 10 anak syarikat di bawahnya untuk pengurusan bisnes makanan beku, café, bakeri dan macam-macam lagi.
Burger Ramly Mendunia
Atas prestasi yang cemerlang, Ramly Burger juga telah menerima banyak pengiktirafan seperti Anugerah Projek Terbaik (1982), Anugerah Usahawan Jaya (1992) dan Anugerah Kecemerlangan Industri Halal (2016).
Produk Ramly juga berjaya menembus ke pasaran beberapa negara luar termasuk Thailand, Indonesia, Myanmar, Indonesia, Singapura dan Bangladesh. Jenama popular ini juga sudah mencecah jualan RM 1 bilion pada tahun 2019.
Kisah kejayaan Ramly Burger membuktikan betapa pentingnya sifat berani dan bijak mengambil peluang untuk menjadi usahawan berjaya. Kenalpasti masalah yang sering dihadapi pelanggan dan tawarkan solusi atau produk terbaik untuk mereka.
Jangan mudah berputus asa kerana kegagalan akan mematangkan lagi seseorang untuk menjadi usahawan yang lebih baik pada masa akan datang.
Sumber : illuminasi.com