Sektor ekonomi negara dijangka akan bertambah kukuh apabila Tesla melabur di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk pada minggu hadapan bagi membincangkan potensi pelaburan syarikat tersebut.

“Minggu hadapan, Elon Musk meminta untuk berunding dengan saya, untuk bincang kemungkinan komitmen beliau untuk tambah pelaburan di Malaysia, semua ini dengan bermulanya tata kelola dan pengurusan ekonomi yang baik.

anwar bakal bertemu Elon Musk minggu hadapan

“Minggu lalu saya jumpa pelabur-pelabur Jepun yang mahu menambah dan mengembangkan pelaburan mereka, beberapa bulan yang lalu saya ke negara China, hasil pelaburan China ke Malaysia adalah paling tinggi dalam sejarah iaitu RM170 bilion,” katanya.

Anwar turut akui akan kepentingan kerajaan dalam menarik pelaburan domestik dan asing bagi merancakkan ekonomi negara.

Ini penting, jika tiada pelaburan, pengangguran akan meningkat, ekonomi tidak akan berkembang, restoran, hotel dan lain juga akan terjejas,” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, potensi kerjasama di antara Tesla dengan Malaysia tidak hanya terhad kepada sektor automotif dan kenderaan elektrik (EV) semata-mata, malah ia juga bakal meliputi sektor lain.

“Saya rasa kena tunggu dulu (butiran perbincangan) kerana saya tidak mahu mendahului perbincangan yang akan diadakan di antara Perdana Menteri dan Elon Musk, namun ini adalah satu perkembangan yang positif kerana kita tahu Tesla sudah memberi komitmen dan akan ada pelancaran pada 20 Julai ini.

“Yang kita mahu supaya potensi pelaburan dan komitmen pelaburan yang lebih tinggi dalam sektor automotif dan juga sektor-sektor lain yang dapat kita pasarkan dalam Malaysia,” katanya.

Setelah mengumumkan bakal membuka sebuah ibu pejabat di negara ini kira-kira empat bulan lalu, Tesla akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 20 Julai ini.

Pada awal Mac lalu, syarikat ini telah mengumumkan rancangan mereka untuk memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.

Ini selepas MITI telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke Malaysia.

Sumber : Berita Harian

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top