Wabak pandemik telah memberikan impak yang besar kepada seluruh dunia terutamanya dari sudut ekonomi.
Namun, sebuah laporan dari Bank Dunia yang bertajuk ‘Building Malaysia’s Resilience: Lessons from COVID-19’s Economic Impacts and Policy Responses‘ (Membina Daya Tahan Malaysia: Iktibar Impak Ekonomi dan Tindak Balas Dasar Akibat COVID-19) telah menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu negara yang mempunyai daya tahan ketara dan menunjukkan potensi yang besar untuk pulih setelah dibadai pandemik Covid-19.
Pengurus Bank Dunia untuk Malaysia, Yasuhiko Matsuda berkata wabak Covid-19 telah memberikan impak besar sehingga mengakibatkan penurunan yang ketara bagi kebolehpasaran kerja dan pendapatan isi rumah.
“Kejutan jualan di Malaysia lebih terkawal manakala keperluan menghentikan kerja/kegiatan pula adalah sederhana. Bagaimanapun, impak pandemik itu adalah tidak sekata.
“Di Malaysia, syarikat-syarikat lebih kecil, golongan miskin dan isi rumah yang rentan lebih mudah terjejas dan kurang mendapat akses bagi bantuan kerajaan,” kata Yasuhiko Matsuda.
Laporan tersebut turut menyebut bahawa prestasi baik Malaysia dalam berdepan dengan persekitaran ekonomi peringkat makro telah mengatasi beberapa negara jiran antaranya Kemboja, Indonesia, Mongolia serta Vietnam.
Sementara itu, pakar ekonomi Bank Dunia, Ririn Salwa Purnamasari berkata kestabilan serta pertumbuhan ekonomi tahunan yang konsisten iaitu sebanyak 5 peratus telah menjadikan Malaysia sebagai yang terkaya dalam kalangan 6 buah negara sebelum tercetus pandemik.
Walaupun menunjukkan progres prositif, namun Malaysia masih tidak terlepas daripada cabaran ketidakseimbangan serta kemiskinan berdasarkan indeks Gini yang didapati berada pada tahap yang tinggi bagi negara yang berpotensi untuk mencapai status berpendapatan tinggi.
Index Gini merupakan pengukur bagi pendapatan dalam sebuah populasi.
“Kerajaan perlu mengutamakan pemulihan secara seimbang, memanfaatkan teknologi terbaharu dan menguatkan keselamatan sosial bagi melindungi golongan rentan”, ulas Ririn Salwa Purnamasari.
Bagi perkembangan ekonomi yang konsisten dan seimbang pada masa hadapan, beliau menekankan kepentingan mekanisma sokongan yang lebih tersasar dan kukuh.
“Antara inisiatif yang boleh diambil adalah dengan memperbanyak program pasaran buruh secara aktif untuk memperkasakan kemahiran. Langkah ini juga dilihat lebih bermanfaat dan mampu memberikan kesan jangka panjang yang positif”, tambah Ririn Salwa Purnamasari.
Sumber : Free Malaysia Today