Terkenal dengan aneka kek dan manisan yang dipersembahkan dalam kotak berwarna merah jambu, jenama Mamasab bukanlah suatu bisnes yang perlu diperkenalkan lagi.

Memasuki pasaran pada tahun 2015, kek keluaran bumiputera ini semakin dikenali ramai dan mampu berdiri sama tinggi dengan jenama kek-kek popular lain.

Di sebalik populariti jenama ini, mungkin ada yang tidak tahu bawa Mamasab International Sdn Bhd sebenarnya diasaskan oleh bekas juru X-ray yang pernah berkhidmat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Pada mulanya, Siti Noor Sabrina Soobri atau mesra disapa sebagai Mamasab mula menghasilkan manisan dengan mengikuti video di Youtube. Beliau juga gemar menjamu hidangan yang dihasilkan kepada rakan sepejabat.

Kredit : KOSMO

Daripada situ, beliau mula mendapat banyak tempahan dan memutuskan untuk fokus sepenuhnya pada bisnes penghasilan kek dan manisan dari rumah. Berkat usahanya dalam mengembangkan bisnes, jenama Mamasab kini terkenal kerana cita rasanya yang premium dengan harga berpatutan.

Bukan sahaja mampu membuktikan kemampuannya dalam menceburi bidang yang berbeza, malah ibu kepada empat orang cahaya mata ini juga berjaya merangkul beberapa anugerah seperti NONA Best Growing F&B Business Award pada tahun 2018 dan Best Networking Business Award (tahun 2020).

Terdapat pelbagai strategi yang dilaksanakan oleh Mamasab bagi membangunkannya sehingga ke tahap sekarang ini. Ayuh kita semak beberapa strategi perniagaan menarik yang diamalkan oleh jenama kek popular ini.

bisnes Mamasab

6 Strategi Bisnes Mamasab Untuk Bina Jenama Kek Dikenali Ramai

1.Bina Mini Hub Untuk Bantu Ejen Berniaga Offline

Waktu awal pandemik lalu sangat menduga kebanyakan ejen akibat hasil jualan yang merudum. Menurut Puan Sabrina, sesetengah ejennya juga berhadapan dengan isu kesihatan mental.

Selain itu, ada juga peniaga yang tidak pandai menjual secara online kerana segan untuk buat lintas langsung (live) atau bercakap di depan kamera untuk tarik pelanggan di media sosial.

Jadi, Mamasab pun tercetus idea untuk memperkenalkan mini hub bagi membantu ejen berniaga secara offline.

“Mini hub yang berkonsepkan seperti cawangan kecil ini boleh dibuka di mana-mana tempat, rumah atau kedai bersesuaian dengan bermodalkan RM400 sahaja,” kata Puan Sabrina dalam temubual bersama Berita Harian.

Dengan adanya mini hub ini, ia juga boleh dijadikan sebagai alternatif bagi para ejen yang lebih gemar berurusan secara terus dengan pelanggan.

bisnes Mamasab

2. Berguru Dengan Pakar Perniagaan

Akui tiada pengalaman dalam berbisnes, pengasas yang mesra dikenali sebagai Mama Sabrina atau Mamasab ini tidak teragak untuk mendapatkan bimbingan daripada beberapa pakar perniagaan di Malaysia. Antara guru yang menjadi rujukan pengasas ini bagi mengembangkan bisnesnya adalah Datuk Wira Dr Azizan Osman.

Puan Sabrina juga akui setelah hadir ke program Richworks, barulah beliau berani untuk buka kedai dan mengambil staf walaupun sering dipersoal oleh rakan-rakan home baker beliau kerana mereka melihatnya sebagai pesaing sendiri kepada bisnes bakerinya.

Namun, Sabrina menjelaskan bahawa keberanian tersebut muncul kerana beliau mempunyai ilmu dan sudah mempunyai asas pengetahuan yang kukuh untuk bawa bisnesnya ke tahap yang lebih tinggi.

3. Bisnes Berkonsepkan Kekeluargaan

Nama Mamasab juga tercetus kerana kemesraan pengasas sendiri. Beliau sendiri menganggap para ejen sebagai anaknya. Oleh sebab itulah beliau sering dipanggil Mama Sabrina sehingga nama Mamasab melekat pada bisnes ini.

Selain itu, pengasas Mamasab International ini juga memegang teguh konsep kekeluargaan dalam perniagaannya. Selain bersikap mesra dan terbuka, beliau juga sering menganggap dirinya sebagai seorang ibu yang bertanggungjawab mendidik dan membimbing seluruh staff, ejen dan runner Mamasab.

bisnes Mamasab

4. Hubungan Baik Dengan Ejen

Bercakap tentang bimbingan, Puan Sabrina bukan sahaja tidak putus-putus memberikan motivasi, malah ramai ejen akui jenama ini memberi layanan yang cukup baik kepada mereka.

Lebih-lebih lagi pada waktu pandemik, pengasas yang dilahirkan di Hulu Selangor ini dilihat setia memberikan sokongan moral kepada ejen saat mereka berada di tahap paling bawah dalam hidup mereka.

“Mamasab layan ejen pun sangat jelas dengan misi, visi dan hala tujuannya. Syukur kerja keras saya berjaya meraih jualan RM32 juta tahun lalu,” jelas salah seorang ejen iaitu Nursyamimi Ramli yang sudah menyertai perniagaan jenama ini sepenuh masa sejak 2020.

Sistem ejen jenama ini juga dikatakan sangat popular sehinggakan mereka terpaksa hadkan pengambilan ejen-ejen baharu demi menjaga kualiti bimbingan serta latihan.

5. Ada Checklist Untuk Lantik Mini Founder

Bukan mudah untuk menguruskan 19 cawangan dalam satu masa. Bagi memastikan bisnes berjalan lancar, Sabrina berkata adalah penting untuknya melantik seseorang yang mampu mengemudi cawangannya dengan baik.

Menggelar outlet manager sebagai mini founder, pengasas ini mempunyai checklist untuk mengenalpasti nilai setiap individu dan bagaimana seseorang itu boleh bantu jenama ini mencapai misi dan visi syarikat.

Menurut Sabrina, ini sebenarnya tidak mudah kerana orang tersebut perlu memberikan komitmen dan menjalani latihan berterus serta bimbingan yang betul. Meskipun proses ini agak rumit, namun ia sangat berbaloi untuk menjamin pengoperasian dan berkembangan bisnes yang positif.

6. Kreatif Dalam Mengembangkan Produk

Mamasab juga percaya pelanggan mereka kerap kembali kepada untuk berbelanja kerana kepelbagaian produk yang ditawarkan jenama ini. Meskipun lebih dikenali dengan produk kek dan manisan, Mamasab kini memiliki lebih 50 jenis produk termasuklah kambing perap, kosmetik, aneka kuih raya, kerepek dan serunding.

Menurut Mamasab, secara purata pelanggan setia mereka akan repeat membeli produk mereka sebanyak 4 hingga 5 kali sebulan!

Pendek kata, pelanggan memang tak akan jemu untuk mencuba aneka produk yang ditawarkan oleh jenama ini. Harganya bukan sahaja berpatutan, malah rasanya juga enak dan premium. Jadi, memang tak hairanlah jika jenama ini mampu mencapai hasil jualan sebanyak lebih RM 100 juta setahun!

Meskipun baru bertapak dalam industri selama 8 tahun, namun bisnes ini mampu melahirkan seramai lebih 100 orang jutawan dengan pendapatan 5 angka ke atas sebulan hasil bimbingan dan sokongan yang konsisten!

Dengan kesungguhan serta hala tuju bisnes yang jelas, bisnes yang mula beroperasi dari dapur rumah ini kini mempunyai hampir 20 cawangan di seluruh Malaysia. Puan Sabrina sendiri juga tidak pernah terfikir mampu bergelar jutawan dan berkongsi rezeki dengan orang ramai.

bisnes Mamasab

Semoga perkongsian ini dapat mencetus inspirasi kepada semua yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Bagi yang ingin menjadi usahawan, Puan Sabrina mengesyorkan supaya berguru dengan individu yang betul. Jangan malu untuk menimba ilmu dan pengalaman demi membina bisnes yang kukuh.

Di samping itu, beliau juga percaya peniaga perlu berani membuat keputusan dan jangan hiraukan komen orang sekeliling yang boleh mematahkan semangat.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top