Meskipun berhadapan dengan inflasi, namun sektor ekonomi Malaysia dilihat berpotensi untuk berkembang sehingga 4.3 peratus bagi tahun ini.

Ini seterusnya memberi ruang kepada para konglomerat dan usahawan syarikat gergasi di Malaysia untuk meneruskan bisnes dan mengembangkan empayar mereka dalam pelbagai sektor penting.

Berikut dikongsikan 10 individu terkaya di Malaysia 2024 berdasarkan laporan daripada Forbes.

10 Individu Terkaya Di Malaysia 2024

1. Robert Kuok

Dikenali sebagai Sugar King atau Raja Gula, Kuok merupakan pemilik bisnes penghasilan gula pasir terkemuka di Malaysia. Beliau juga meraih kekayaan sebagai pengasas kepada cawangan hotel mewah bertaraf lima bintang iaitu Hotel Shangri-La.

Meskipun kekayaan beliau menyusut sebanyak lebih daripada satu bilion Mei lalu, namun kedudukan Kuok kekal utuh sebagai individu terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak US$11.8 bilion (RM 55.9 bilion).

2. Quek Leng Chan

Ditubuhkan pada tahun 1966, Quek merupakan pengasas bersama Hong Leong Co. iaitu sebuah syarikat yang mengendalikan 14 anak syarikat daripada pelbagai sektor termasuk perbankan, hartanah dan F&B.

Forbes menganggarkan kekayaan Quek bernilai sekitar US$10.2 bilion (RM 45.35 bilion).

3. Keluarga Koon Poh Keong

individu terkaya di Malaysia 2024

Lima beradik Koon telah mengasaskan sebuah syarikat penghasilan aluminium yang dinamakan Press Metal AluminiumĀ  Holdings.

Dengan bermodalkan US$50,000, lima beradik ini berjaya mengembangkan bisnes sehingga mampu menjana kekayaan terkumpul sebanyak US$5.8 bilion (RM 27.49 bilion).

Kini, Koon Poh Keong memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi dalam syarikat keluarganya.

4. Ananda Krishnan

Sebuah nama yang tidak asing lagi dalam sektor telekomunikasi, Ananda Krishnan mengungguli tempat keempat dalam senarai individu terkaya di Malaysia 2024.

Pada tahun 2006, Maxis telah mengambil alih Aircel, iaitu pengendali jaringan telekomunikasi dari India dengan pemilikan stok sebanyak 74%.

Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dalam sektor telekomunikasi, pelaburan dalam Maxis, Astro Malaysia dan Bumi Armada telah membantu beliau mengukuhkan kedudukan sebagai antara individu terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak US$ 5.4 bilion (RM 25.59 bilion).

5. Keluarga Teh

individu terkaya di Malaysia 2024

Keluarga ini menjana keuntungan yang besar menerusi penubuhan Public Bank yang diasaskan oleh Teh Hong Piow pada tahun 1966.

Empat orang anaknya iaitu Lilian, Lillyn, Diona dan William kini mengambil alih operasi bisnes keluarga setelah Teh Hong Piow meninggal dunia pada Disember 2022.

Kini, keluarga Teh dianggarkan memiliki nilai kekayaan sebanyak US$5.2 bilion (RM 24.65 bilion).

6. Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng

Lee Yeow Chor merupakan pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif bagi IOI Corporation manakala Lee Yeow Seng adalah timbalan pengerusi eksekutif bagi IOI Properties.

Dua beradik ini terus mengembangkan empayar yang dibina oleh mendiang bapa mereka iaitu Lee Shin Cheng dalam industri penghasilan minyak kelapa sawit dan pembangunan hartanah di rantau Asia.

Berdasarkan laporan Forbes, Lee bersaudara ini mencatatkan kekayaan bernilai US$4.6 bilion (RM 21.8 bilion) dan unggul di kedudukan keeenam dalam carta.

7. Chen Lip Keong

individu terkaya di Malaysia 2024

Mencatatkan nilai kekayaan sebanyak US$2.8 bilion (RM 13.3 bilion) sebelum meninggal dunia pada Mei 2023, Chen Lip Keong merupakan seorang usahawan yang cukup terkenal dalam industri permainan dan kasino.

Beliau yang asalnya seorang doktor telah membangunkan syarikat permainan dan kasino iaitu NagaCorp.

Setelah meninggal dunia, bisnes tersebut telah diambil alih oleh anak sulungnya, Chen Yiy Fon yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif.

Pada tahun 2006, syarikat tersebut mencatatkan sejarah apabila menjadi bisnes kasino dan permainan pertama untuk tersenarai dalam pasaran saham Hong Kong.

8. Lim Kok Thay

individu terkaya di Malaysia 2024

Lim Kok Thay berupaya untuk mengumpul keuntungan yang lumayan menerusi syarikat pelancongan dan perjudian bertaraf global iaitu Genting Group.

Meskipun syarikat tersebut terkesan teruk pada waktu pandemik, Lim yang merupakan pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat ini masih mampu mengekalkan kedudukan sebagai orang kelapan terkaya di Malaysia 2024 dengan nilai kekayaan sebanyak US$ 2.3 bilion RM 10.9 bilion).

9. Tan Yu Yeh & Yu Wei

Mencatatkan nilai kekayaan sebanyak US$1.9 bilion (RM 9 bilion), dua beradik ini cukup terkenal menerusi empayar bisnes MR DIY.

Jenama perkakasan rumah yang asalnya bermula sebagai sebuah kedai kecil di Kuala Lumpur ini memiliki lebih 2,000 cawangan termasuk di Brunei.

Setelah memperkenalkan dua jenama baharu iaitu Mr Toy dan Mr Dollar, Tan bersaudara turut membuka stor pertama bagi jenama perkakas antarabangsa terkenal iaitu EMTOP yang menawarkan sebanyak 1,000 rangkaian produk melibatkan alat-alat kuasa, aksesori pertukangan dan sebagainya.

10. Chia Song Kun

Syarikat QL Resources yang diasaskan oleh Chia Song Kun berjaya mendominasi sektor penghasilan makanan khususnya makanan laut, kelapa sawit dan dedak haiwan ternakan.

Syarikat ini juga merupakan penghasil pes ikan terbesar di Asia Tenggara. Produk tersebut digunakan secara meluas bagi menghasilkan stik ketam (imitation crab) dan makanan berproses lain.

Berdasarkan laporan Forbes, Chia berhasil mengumpul nilai kekayaan sebanyak US$1.8 bilion (RM 8.5 bilion).

Dengan pencapaian yang memberangsangkan dalam pelbagai sektor, senarai individu terkaya ini merupakan antara bukti kemampuan rakyat Malaysia dalam bersaing di peringkat global.

Sumber : Forbes, South China Morning PostĀ 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top