Sekiranya anda orang yang gemar membeli-belah, pasti anda perasan yang banyak kedai melakukan promosi mingguan pada hari Rabu.
Antara jenama yang tak ketinggalan melakukan promosi pada hari tersebut adalah llao llao, Baskin Robbins, panggung wayang, dan macam-macam lagi.
Bagi yang suka berjimat ketika berbelanja, hari Rabu akan menjadi hari yang penting dan tidak boleh dilepaskan.
Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa banyak premis perniagaan memilih hari Rabu untuk tawarkan diskaun? Sedangkan hari Rabu adalah hari bekerja. Pelanggan juga mungkin tidak sempat untuk berkunjung kerana ada banyak urusan pada pertengahan minggu.
Sebenarnya trend pemberian promosi atau diskaun pada hari Rabu adalah bersempena dengan Hump Day. Istilah ini telah dipopularkan oleh warga Amerika Utara dan semakin terkenal apabila JJ Cole memasukkan istilah itu dalam lagunya yang berjudul Friday.
Sejak lebih 60 tahun lalu, hari Rabu digelar sebagai Hump Day sebagai simbol kepada hari pertengahan untuk mereka yang bekerja selama 5 hari bermula Isnin hingga Jumaat.
Jadi, apa kaitan antara hari pertengahan dengan diskaun? Begini ceritanya. Bagi yang bekerja 5 hari seminggu, hari Isnin dan Selasa merupakan hari yang biasanya sibuk dan menegangkan. Pada hari Khamis dan Jumaat pula ramai yang teruja untuk menuju hujung minggu.
Oleh itu, hari Rabu boleh dikatakan sebagai hari penghubung antara hari-hari yang sibuk dan hari-hari yang lebih tenang. Sebab itulah apabila masuk sahaja hari Rabu, seseorang akan berasa kurang tertekan kerana hari hujung minggu akan kunjung tiba tak lama lagi.
Kalau nak faham mengapa hari Rabu dianggap sebagai hump atau bonggol, cuba bayangkan yang 5 hari bekerja itu sebagai ekspedisi mendaki bukit. Hari Isnin dan Selasa dianggap sebagai fasa mendaki yang sangat mencabar dan sukar. Waktu juga dirasakan sangat perlahan.
Hari Rabu pula dianggap sebagai waktu kita sampai ke puncak bukit. Bila kita mendaki, kita akan berehat sebentar di puncak untuk nikmati pemandangan indah. Setelah berehat sebentar, barulah kita turun dengan rasa lebih tenang dan teruja untuk sampai ke titik penamat.
Sama juga seperti mood kita bekerja pada hari Khamis dan Jumaat, pasti lebih ceria dan kurang stres. Ada juga yang suka beri ganjaran pada diri sendiri atau self reward kerana berjaya menempuhi separuh minggu dengan menonton wayang atau nikmati pencuci mulut yang lazat.
Bisnes Manfaatkan Hump Day Untuk Tawarkan Diskaun Pada Hari Rabu
Pemilik bisnes melihat kelakuan majoriti pelanggan ini dan manfaatkannya untuk keuntungan mereka sendiri. Tambahan pula, ramai yang menjadikan aktiviti shopping atau berbelanja sebagai cara untuk meredakan stres akibat bekerja.
Oleh sebab itulah ramai pemilik bisnes memilih hari Rabu untuk menawarkan diskaun. Bagi pelanggan yang suka berjimat, inilah peluang keemasan buat mereka untuk membeli-belah dengan harga yang lebih murah.
Sumber : nationalworld.com