TikTok merupakan sebuah aplikasi yang wajib bagi jutaan pengguna telefon pintar di serata dunia. Berjam-jam masa dihabiskan dalam masa sehari untuk skrol dan tonton kandungan menarik di platform. Ditambah pula dengan kemudahan e-commerce iaitu TikTokShop yang dilancarkan tidak lama dahulu, kini ramai yang turut menggunakan platform popular tersebut untuk urusan jual beli.

Di sebalik kejayaan TikTok, tahukah anda siapa yang mengasaskan media sosial ini? Bagi yang belum tahu, aplikasi ini diasaskan oleh Zhang Yiming, seorang usahawan yang berasal dari Beijing, China.

Meskipun beliau sudah mengundurkan diri sebagai CEO platform tersebut pada May 2021, namun namanya masih menjadi sebutan dan kekal sinonim dengan syarikat ByteDance. Ayuh kita semak 8 fakta menarik mengenai pengasas TikTok ini.

8 Fakta Menarik Zhang Yiming, Pengasas TikTok

1. Pernah Membangunkan ‘Klon Twitter’ dan Platform Enjin Carian Hartanah

Meskipun memegang kelulusan dalam bidang kejuruteraan, minat Zhang pantas untuk cenderung pada pembangunan website dan aplikasi. Setelah menimba pengalaman di syarikat laman web percutian iaitu Kuxun, Zhang kemudiannya menyertai syarikat microblogging iaitu Fanfou yang dikatakan mirip dengan Twitter.

Namun, syarikat tersebut tidak mampu bersaing dengan platform media sosial yang lebih popular di China seperti Weibo dan WeChat.

Zhang dan rakannya Liang Rubo kemudiannya membangunkan 99fang.com iaitu platform enjin carian jual beli hartanah di China. Meskipun hanya berkhidmat di platform tersebut selama 3 tahun, namun ia telah menjadi pemangkin serta keyakinan buat Zhang untuk membina platform yang lebih baik menerusi ByteDance

2. Pernah Bekerja Dengan Microsoft

Mungkin ramai yang tidak tahu yang pengasas TikTok ini juga pernah bekerja dengan syarikat perisian dan teknologi terkenal, Microsoft sebelum membangunkan syarikat sendiri.

Pada tahun 2008, beliau sempat menimba pengalaman di syarikat tersebut selama 6 bulan. Namun, Zhang dikatakan merasa kurang sesuai bekerja di situ kerana syarikat tersebut menyekat kreativitinya dan terdapat banyak peraturan korporat yang perlu dipatuhi.

3. Mencetuskan Legasi ByteDance Lebih 10 Tahun Lalu

Pejam celik, permulaan bagi platform media sosial gergasi ini sudah tercetus sejak lebih 10 tahun lalu.

Zhang memulakan ByteDance pada tahun 2012 di kediaman sederhananya yang terletak di Beijing bersama beberapa pekerja 99fang.com. Aplikasi tersebut menggunakan data algoritma untuk menyalurkan kandungan terkini berdasarkan citarasa pengguna.

TikTok terlebih dahulu dilancarkan kepada warga China sebagai aplikasi yang dinamakan Douyin pada tahun 2016.

Melihat potensinya yang begitu besar, aplikasi tersebut pun dilancarkan secara global di bawah nama TikTok pada tahun 2017. Sehingga ke hari ini, ramai pengguna di China masih memanggil TikTok sebagai Douyin.

ByteDance turut membeli Musical.ly dengan harga $800 juta dan telah menggunakan pakai beberapa ciri dalam aplikasi tersebut ke dalam TikTok.

Fenomena TikTok juga dilihat sangat ketara pada waktu pandemik apabila disebut sebagai aplikasi yang paling banyak dimuatnaik pada tahun 2020 dan 2021.

4. Zhang Tembus Senarai Forbes China 30 Under 30 Pada Usia 29 Tahun

Hanya selepas setahun selepas mengasaskan ByteDance, beliau telah berjaya menembus senarai Forbes China 30 Under 30 List.

Dengan terbinanya ByteDance, ia juga telah menjadi batu loncatan bagi Zhang untuk dikenali sebagai pakar industri teknologi sambil menarik pelaburan bernilai jutaan dollar daripada beberapa syarikat besar yang berasal dari Amerika Syarikat seperti Susquehanna dan Sequoia Capital.

5. Orang Kedua Terkaya di China dan ke-26 di Dunia

pengasas TikTok

Meskipun tidak lagi bergelar CEO bagi platform media sosial popular itu, kekayaan Zhang tidak terjejas malah didapati agak stabil meskipun nilai kekayaannya dilaporkan menyusut sebanyak $17 bilion tahun 2022.

Pada tahun 2023, beliau disenaraikan oleh Forbes sebagai individu ke-26 terkaya di dunia dan muncul sebagai orang kedua terkaya di China setakat tahun 2022 dengan nilai kekayaan bersih sebanyak $45 bilion.

6. Merangkul Banyak Anugerah

Sepanjang kariernya, Zhang telah merangkul beberapa anugerah atas sumbangannya dalam industri teknologi. Pada tahun 2018, beliau telah dinobatkan sebagai Businessman of the Year oleh Forbes China. Pada tahun berikutnya, TIME menyenaraikan beliau sebagai 100 individu paling berpengaruh di dunia.

Pada tahun 2020, usaha beliau dalam membangunkan ByteDance sebagai syarikat paling bernilai di dunia telah melayakkan Zhang untuk dianugerahkan Financial Times Person of The Year.

Kini, ByteDance yang diasaskan oleh Zhang mencatatkan nilai sebanyak $250 billion dan digelar oleh Forbes sebagai startup yang paling bernilai di dunia sambil mengatasi syarikat aeroangkasa milik Elon Musk yang bernilai $140 bilion.

7. Pernah Menghadapi Banyak Dugaan dan Tekanan

Semasa memegang jawatan sebagai CEO, Zhang telah berhadapan dengan pelbagai tekanan dan dugaan yang bukan sahaja datang dari kerajaan China, malah daripada negara luar yang mengamalkan undang-undang penapisan kandungan yang ketat.

Antara tekanan yang pernah dialami oleh Zhang apabila Donald Trump pernah mengugut untuk menyekat TikTok dan seluruh perkhidmatannya di Amerika Syarikat.

Di bawah pemerintahan Biden, White House juga pernah menyifatkan TikTok sebagai aplikasi yang mengancam isu keselamatan. Pada April lalu, Montana telah menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat yang mengharamkan aplikasi tersebut.

Seperti Amerika Syarikat, Kanada juga telah mengharamkan penggunaan aplikasi TikTok pada semua peranti dan peralatan milik kerajaan.

pengasas TikTok

Di India, aplikasi tersebut juga telah dilarang dengan alasan keselamatan negara.

Meskipun mendapat tantangan daripada beberapa negara, namun Tiktok terus berkembang sebagai aplikasi media sosial yang popular di banyak negara.

Dengan kemunculan TikTok Shop, aplikasi ini juga sedang merancang untuk bersaing dengan platform e-commerce gergasi seperti Shopee, Alibaba, dan Lazada. Mereka juga bercadang untuk melabur jutaan dollar di Indonesia dan Asia Tenggara pada beberapa tahun akan datang.

8. Melepaskan Jawatan Sebagai CEO ByteDance Pada 2021

Setelah hampir 10 tahun menerajui ByteDance, Zhang telah mengumumkan perletakan jawatan selaku CEO syarikat tersebut. Liang Rubo selaku pengasas bersama dan ketua sumber manusia ByteDance pula muncul untuk mengisi kekosongan sebagai CEO yang baharu.

Difahamkan keputusan tersebut dilakukan kerana beliau mahu menghabiskan banyak masa untuk dirinya sendiri.

Antara isi surat yang dihantar kepada pekerjanya adalah: “Sebenarnya, saya kekurangan beberapa kemahiran untuk menjadi pengurus yang ideal. Begitu juga, saya tidak terlalu sosial, lebih suka aktiviti bersendirian seperti dalam talian, membaca, mendengar muzik, dan termenung tentang apa yang mungkin.”

Zhang dilaporkan telah mengundurkan diri pada akhir tahun tersebut bagi memberi tumpuan kepada hidupnya dan strategi jangka panjang.

Apa Yang Zhang Yiming Lakukan Sekarang?

Meskipun telah melepaskan jawatannya, namun Zhang mahu TikTok terus berkembang dengan kepimpinan baharu dengan idea yang lebih segar. Sebuah media daripada China melaporkan bahawa usahawan ini telah membangunkan sebuah dana pelaburan peribadi yang dikenali sebagai Cool River Venture untuk pembangunan industri teknologi. Usahawan berusia 39 tahun itu difahamkan kini menetap di Singapura.

Pengasas TikTok ini juga dikhabarkan telah menderma sebanyak $99 juta untuk yayasan pendidikan yang beliau bangunkan sendiri iaitu Fangmei Education. Beliau juga dilaporkan telah menyumbang beberapa juta dollar kepada sekolah serta universiti lama beliau dahulu.

Sumber :

Ibtimes.com 

Fourweekmba.com

Observer.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top