Dalam dunia perniagaan, produk bukanlah satu-satunya faktor yang membuatkan pelanggan kembali menyokong sesebuah jenama. Sebaliknya, pelanggan juga menghargai pengalaman baik yang sesebuah jenama tawarkan.
Di sinilah experiential marketing memainkan peranan. Mungkin ini adalah pertama kali anda mendengar tentang experiential marketing, namun telah banyak jenama yang gunakannya taktik ini untuk tarik perhatian pelanggan.
Berdasarkan perkongsian Forbes, kira-kira 77% pemasar telah menggunakan experiential marketing sebagai salah satu strategi pemasaran utama.
Juga dikenali sebagai engagement marketing, experiential marketing merupakan salah satu strategi yang mengajak pelanggan berinteraksi bersama sesebuah bisnes secara nyata. Namun, ini tidak bermakna bisnes tersebut perlu mengadakan sesebuah acara untuk bertemu dengan pelanggan.
Dengan adanya pelbagai kemudahan serta teknologi, pemasar dapat merangka pelbagai kempen experiential marketing secara kreatif dan ianya tidak terhad kepada acara fizikal sahaja!
Ayuh kita semak 6 contoh experiential marketing menarik yang pernah dilakukan oleh jenama besar.
6 Contoh Experiential Marketing Yang Unik
1. Warner Bros Pictures : Barbie Movie Selfie Generator
Filem yang dinantikan ramai iaitu Barbie telah melancarkan sebuah kempen pemasaran menarik untuk menarik peminat Barbie di serata dunia menerusi Selfie Generator.
Dengan bantuan AI, pengguna boleh menghasilkan ikon Barbie atau Ken menggunakan gambar sendiri. Lebih menarik lagi, pengguna juga boleh mengubahsuai latar belakang serta caption berdasarkan personaliti masing-masing.
Kempen pemasaran ini adalah contoh experiential marketing yang bijak kerana ia dapat mengajak pelanggan alami sendiri dunia Barbie dan mengimbau kembali nostalgia para penggemar patung mainan ini yang kebanyakannya sudah beranjak dewasa.
Dengan setiap imej dilengkapi dengan tarikh tayangan filem Barbie, ia juga satu kaedah promosi yang berkesan apabila pengguna memuatnaik imej ikon tersebut di media sosial. Nak cuba? Pergi saja ke pautan ini!
2. Red Bull : Stratos
Sejak jenama ini wujud, Red Bull telah menjadi wajah utama yang menaja pelbagai sukan ekstrim. Dalam kesemua kempen pemasaran yang jenama ini lakukan, ia tidak dapat menandingi kempen Red Bull : Stratos yang cukup luar biasa.
Memakan kos jutaan dolar, kempen ini melibatkan Felix Baumgartner, seorang penerjun udara daripada Austria yang bekerjasama dengan Red Bull untuk melakar sejarah dalam sukan terjun udara.
Red Bull : Stratos bukan sahaja menjadi saksi kepada tercatatnya beberapa rekod dunia, malah acara ini juga menjadi siaran langsung atau live stream yang paling banyak ditonton di Youtube iaitu lebih 8 juta penonton!
3. M&M : Flavor Rooms
Meskipun sudah berada di pasaran selama lebih 80 tahun, namun coklat M&M’s tetap ramai peminatnya sehingga ke hari ini. Untuk menentukan perisa baharu, syarikat ini telah melancarkan sebuah acara pop-up untuk pengguna ‘alami’ setiap perisa secara unik dan interaktif.
Dalam acara ini, pengguna berpeluang untuk kunjungi flavor rooms yang lengkap dengan dekorasi dan wangian yang tepat dengan sesebuah perisa. Bukan itu sahaja, malah pengunjung juga dapat menikmati minuman dan snek yang bertemakan M&M’s. Cara pemasaran yang interaktif dan santai ini pasti akan membuatkan jenama ini menjadi sebutan di media sosial. Nampak sangat menyeronokkan!
4. Benefit Cosmetics : ‘A Lashtastic Virtual-Media Campaign’
Dalam dunia digital masa kini, anda tidak semestinya perlu bertemu pelanggan untuk tawarkan pengalaman menarik.
Jadi, bagaimana caranya untuk pelanggan mencuba produk anda secara atas talian? Ayuh kita ambil contoh Benefit Cosmetics. Untuk menarik perhatian pelanggan kepada produk terbaharunya iaitu Magnet Extreme Lengthening Mascara, jenama ini telah menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) untuk mencipta sebuah game ringkas tetapi memberikan impak besar kepada jenama ini.
Apabila pengguna mendaftar, mereka berpeluang untuk menggunakan telefon pintar mereka untuk mencari token menggunakan AR. Seterusnya, mereka boleh gunakan token tersebut untuk mendapatkan diskaun, sampel mascara dan rundingan kecantikan secara virtual di laman web Benefit.
Kempen ini nampaknya cukup berhasil apabila menunjukkan conversion rate sehingga 50 peratus dan peningkatan kadar klik sebanyak 39.4 peratus!
5. Misereor : Charity Donation Billboard
Contoh seterusnya ini lain daripada yang lain kerana ia melibatkan kutipan derma. Sebuah organisasi kebajikan dari Jerman, Misereor telah mengambil isu habit penggunaan kad kredit untuk menarik penderma.
Menerusi kempen SocialSwipe, sebuah poster digital diletakkan di tempat tumpuan ramai. Skrin digital tersebut memaparkan beberapa masalah sosial yang Misereor ingin selesaikan. Sebagai contoh isu kelaparan digambarkan dengan imej sebuku roti.
Yang menariknya, skin tersebut juga dilengkapi dengan card reader. Apabila penderma swipe kad mereka dengan caj 2 pound, imej pada skrin akan bergerak seakan kad tersebut sedang memotong roti.
Penderma juga akan menerima ucapan terima kasih di penyata bank masing-masing dengan pautan untuk mereka lakukan derma secara bulanan dengan organisasi tersebut.
6. Vans : House of Vans
Baru-baru ini, Vans telah mengadakan beberapa lokasi pop-up di beberapa skatepark yang terletak bandar-bandar besar seperti New York, Berlin dan Chicago.
Ini membolehkan para pemain papan luncur untuk berkumpul, berkongsi pengalaman dan kemahiran serta melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama.
Sebagai jenama yang sinonim dengan sukan skateboard, pop-up di lokasi sebegini memang cukup sesuai untuk mereka promosikan rekaan terbaharu di samping menarik lebih ramai pelanggan di kalangan pencinta skateboard.
Dalam menawarkan pengalaman unik buat pelanggan, jangan teragak-agak untuk fikir di luar kotak. Seperti jenama yang disenaraikan ini, mereka berani untuk cipta kelainan dan ambil risiko.
Asalkan kempen bersesuaian dengan matlamat dan imej bisnes, memang tidak salah untuk mencuba! Seperkara lagi, kempen experential marketing juga tidak semestinya perlu diadakan secara fizikal. Teknologi masa kini yang cukup luas juga membolehkan anda jalankan kempen yang cukup menarik secara atas talian!
Dengan menawarkan pengalaman yang tidak boleh dilupakan, pelanggan secara rela hatinya akan melibatkan diri dan membuatkan mereka tertarik untuk menyokong sesebuah jenama.