Red Bull terkenal sebagai minuman tenaga yang digemari serata dunia.

Minuman ini menjadi pilihan ramai untuk mengembalikan kecergasan dan tenaga tatkala badan berasa lesu.

Pada tahun 2020, pasaran global bagi minuman tenaga dianggarkan bernilai $45.80 billion pada tahun 2020 dan dijangka akan meningkat saban tahun.

Menawarkan variasi minuman tenaga dengan pelbagai perisa termasuk pilihan tanpa gula, Red Bull boleh dikatakan antara minuman tenaga paling popular di dunia dengan kawalan 25 peratus daripada keseluruhan pasaran global bagi industri minuman tenaga.

Bagaimana Red Bull boleh jadi minuman tenaga terkenal di serata dunia? Jom kita kenali jenama ini serta taktik pemasaran unik yang digunakan untuk mengatasi pesaing lain.

red bull

Asal Usul Jenama Red Bull

Pasti anda tak sangka yang sebenarnya Red Bull berasal daripada negara seberang, Thailand. Jenama minuman tenaga ini telah diasaskan oleh Chaleo Yoovidhya pada tahun 1976 dengan nama asal iaitu Krating Daeng yang bermaksud Lembu Jantan Air Merah.

red bull

Sejak diperkenalkan di Thailand, Krating Daeng menjadi minuman pilihan bagi kalangan buruh yang memerlukan tenaga berpanjangan.

Pada ketika itu, hanya terdapat satu minuman tenaga sahaja di pasaran Thailand iaitu Lipovitan D atau Livita yang berasal daripada Jepun.

Namun, rasa minuman tersebut dikatakan seperti ubat. Jadi, Yoovidhya mendapat idea untuk menghasilkan minuman tenaga dengan rasa yang lebih manis dan sesuai dengan citarasa penduduk tempatan.

Pada awalnya, Krating Daeng kurang mendapat sambutan. Namun, Yoovidhya mempunyai strategi khas untuk mengembangkan lagi jenama dengan menyasarkan pekerja kolar biru seperti pemandu lori, pekerja kilang dan petani. Beliau juga menaja juara Muay Thai berprofil tinggi untuk mempromosikan Krating Daeng.

red bull

Akhirnya, pada era 1980-an, minuman ini telah berjaya mengatasi Lipovitan D dan menguasai pasaran Thailand.

Pada tahun 1983, Mateschitz Dietrich yang asalnya seorang jurujual ubat gigi dari Austria telah merantau ke Thailand atas urusan peribadi. Beliau kemudiannya mendapatkan minuman Krating Daeng.

Apa yang mengejutkan ialah beliau menyedari minuman tersebut mampu memulihkan jet lag yang dialaminya akibat menaiki kapal terbang dalam tempoh masa yang lama.

Beliau melihat minuman tersebut mempunyai potensi yang tinggi untuk dipasarkan di Austria memandangkan negara tersebut belum ada minuman sebegini. Jadi, beliau pun berjumpa dengan Yoovidhya untuk bekerjasama dan membawa minuman tersebut untuk dijual ke negaranya. Akhirnya pada tahun 1987, Syarikat Red Bull telah ditubuhkan.

Pada awal penubuhan syarikat, Yoovidhya dan Dietrich masing-masing menyumbang sebanyak US$500,000. Masing-masing memegang syer sebanyak 49 peratus dan baki 2 peratus pula dipegang oleh anak Yoovidhya, Chalerm.

Taktik Pemasaran Red Bull Gaya Dietrich

Seperti yang dinyatakan tadi, minuman dengan gabungan kafein, taurin, glukosa dan vitamin seperti Red Bull belum pernah wujud di bumi Austria.

Jadi, adalah satu cabaran buat Dietrich untuk mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Austria supaya jenama ini dapat dipasarkan. Akhirnya pada tahun 1987, cita-cita Dietrich tercapai apabila produk ini diluluskan oleh kementerian tersebut.

Dietrich menggantikan botol ubat tersebut dengan tin biru aluminium dan menambahkan karbonat untuk sesuaikan dengan citarasa orang Eropah.

Selain menggunakan strategi yang sama seperti Yoovidhya iaitu menaja sukan ekstrem, Dietrich juga menyasarkan jualan Red Bull di bar dan kelab kerana ramai yang menyukai rasa minuman tenaga ini apabila dicampurkan dengan alkohol. Ramai golongan muda menggemari rasa minuman tersebut sehingga jualannya meningkat saban tahun.  

Setelah itu, Red Bull berjaya menembusi beberapa negara di Eropah seperti Jerman dan United Kingdom. Apabila jenama ini dipasarkan di Amerika Syarikat, Red Bull akhirnya mencapai hasil jualan ke-1,000,000 dan menjadi syarikat bilion dolar.

Apa yang membuatkan jenama ini popular adalah kempen pemasarannya yang inovatif. Logo ikoniknya iaitu dua ekor lembu merah semakin kerap dijumpai dalam pelbagai acara sukan.

Daripada sukan berbasikal, menyelam tebing, kriket sehinggalah ke hoki ais, syarikat ini tidak teragak untuk menaja pelbagai acara sukan bagi mempromosikan lagi jenama.

Salah satu publisiti terbesar yang pernah dilakukan oleh jenama ini ialah pada tahun 2012 menerusi projek Red Bull Stratos.

Acara ini menyaksikan atlet terjun udara Austria, Felix Baumgartner mencatatkan sejarah apabila melompat daripada angkasa dengan ketinggian 128,000 kaki dan sekaligus memecahkan beberapa rekod dunia.

Walaupun acara tersebut memakan modal sehingga puluhan billion dolar, namun ia sangat berbaloi untuk kembangkan lagi nama Red Bull sebagai jenama minuman tenaga pertama di dunia.

Sinonim dengan sukan ekstrem, Red Bull juga memiliki beberapa kelab sukan popular antaranya kelab permotoran Formula One Red Bull Racing dan kelab bola sepak New York Red Bulls, Red Bulls Brasil, FC Red Bull Salzburg dan RB Leipzig.

Bloomberg juga mendedahkan bahawa produk minuman tenaga ini terjual sebanyak 11.58 juta tin pada tahun 2022 di 171 negara. Ini sekaligus membuktikan bahawa permintaan untuk minuman tenaga bukan sahaja tinggi, malah jenama ini kekal sebagai pilihan nombor satu pengguna di serata dunia.

Daripada pemilikan dan keuntungan jualan Red Bull, Yoovidhya menjadi orang ketiga terkaya di Thailand dan secara kebetulan, Dietrich juga menjadi orang ketiga terkaya di Austria. Setelah pemergian kedua-dua pengasas ini, anak-anak mereka masing-masing memegang nilai bersih (net worth) melebihi US$20 billion.

Daripada kisah Red Bull ini, dapatlah kita simpulkan betapa pentingnya strategi pemasaran untuk perkembangan jenama.

Dengan pendedahan jenama yang berkesan, anda juga mampu menyaingi jenama yang lebih besar.

Seperkara lagi, tak semestinya satu strategi boleh terpakai untuk menarik semua pelanggan. Sebaliknya, pemilik bisnes perlu fahami citarasa pelanggan secara spesifik agar jenama mampu memenuhi keperluan gaya hidup mereka. Barulah pelanggan lebih tertarik untuk kekal menyokong jenama anda.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top