kumpulan naza

NAZA Corporation Holdings Sdn Bhd atau lebih dikenali dengan kumpulan NAZA adalah syarikat konglomerat automotif swasta yang terbesar. Selepas kejayaan perniagaan automobil, NAZA telah mempelbagaikan perniagaan dalam banyak industri termasuk Pembangunan Hartanah, Pengurusan Aset, Automotif Premium, Telekomunikasi & Infrastruktur dan lain-lain.

Kumpulan Naza ditubuhkan oleh Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin sejak 1975. Kini, perniagaan tersebut terus berkembang dalam pelbagai jenis perusahaan yang dioperasikan oleh ahli keluarganya sendiri.

Pada 22 Jun 2023, NAZA telah mengumumkan usaha niaga baharunya iaitu projek perladangan durian seluas 809.3 hektar yang bertempat di Raub, Pahang melalui NAZA Agro Plantation.

Kumpulan Naza indusri durian

Sebanyak 234.7 hektar telah diusahakan bagi fasa pertama projek dengan tumpuan khusus kepada durian Musang King dan varian premium lain. Ini kerana berlakunya peningkatan permintaan global terhadap Musang King terutamanya dari China, Singapura dan Hong Kong.

Oleh itu, NAZA Agro me­nyasarkan untuk menyumbang kepada eksport durian Malaysia daripada penghasilan fasa pertama pada tahun 2027 berikutnya.

Menurut laporan, pasaran durian global mencecah AS$24.90 bilion (RM115.80 bilion) pada tahun 2023.

Pada masa akan datang, pasaran ini dijangka akan melepasi AS$49.91 bilion (RM233.08 bilion) menjelang akhir tahun 2033. Ini menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun yang sangat luar biasa sebanyak 7.2% antara 2023 dan 2033.

Varieti Musang King Malaysia yang menjadi kegemaran pembeli dari China kini menghadapi kekurangan bekalan daripada syarikat Malaysia. Justeru, kumpulan Naza berpendapat bahawa ini adalah peluang keemasan untuk mereka tingkatkan bekalan dan memenuhi pasaran eksport.

Naza Agro telah melabur dalam salah satu sistem pengairan dan fertigasi teratas yang menggunakan teknologi dan Internet Kebendaan (IoT). Sistem tersebut mampu menyediakan pengairan tepat untuk pertumbuhan dan berpotensi untuk menjana hasil yang lebih baik dalam semua corak iklim, jenis tanah atau topografi.

Selain itu, ladang tersebut juga meneroka penggunaan Digital Agriculture Technology dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Di samping peningkatan pasaran dan perkembangan teknologi yang digunakan, industri durian kini mempunyai potensi yang cukup besar dan mampu memberi manfaat dalam kalangan masyarakat tempatan.

Hal ini disebabkan oleh wujudnya peluang pekerjaan kepada masyarakat serta dapat menyumbang kepada peningkatan taraf ekonomi penduduk tempatan Raub.

Demi kelangsungan urus niaga yang diusahakan, NAZA Agro telah melantik Top Fruits Sdn Bhd iaitu salah satu pengeksport utama durian premium ke China dan negara lain sebagai rakan strategik.

NAZA Agro berharap agar dapat manfaatkan pengalaman luas yang mereka ada dalam industri durian serta kepakaran dalam aktiviti huluan dan hiliran. Ini bertujuan agar dapat tingkatkan industri tersebut pada masa akan datang.

Baca juga: Siap Pandai Bina ATV Sendiri, Petani Moden Yang Asalnya Skeptikal Terkejut Dengan Kemahiran Luarbiasa Pekerja OKU

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top