Seperti yang kita tahu, TikTok kini bukan sahaja berfungsi sebagai platform media sosial, malah ia juga menjadi platform bagi ramai usahawan untuk menjual produk.

Salah satu produk yang mendapat sambutan hangat di platform tersebut adalah pemanis mulut kek tapak kuda.

Memang tak dinafikan terdapat ramai usahawan yang menjual produk ini, namun salah satu usahawan yang paling menyerlah adalah Auni Aufiyah See Abdullah yang sering dikenali sebagai Owner Dapur Azra.

Sejak membuka bisnes pada tahun 2021, beliau berjaya menjual sebanyak 380,000 kek tapak kuda dan 110,000 daripada jumlah tersebut adalah daripada jualan di TikTok Shop.

Di sebalik populariti Kek Tapak Kuda Azra ini, anda pasti tidak menyangka yang beliau pada asalnya memulakan bisnes dengan modal RM 300 sahaja.

Kini, usahawan yang mesra disapa sebagai Auni ini mampu menjual sebanyak lebih 3,000 bungkusan kek sehari!

owner dapur azra

Rajin Berniaga Secara Live Sejak 2018

Mungkin ramai yang tak tahu sebenarnya kepetahan Auni berinteraksi dengan pengguna TikTok adalah disebabkan pengalamannya berniaga secara live di platform Facebook pada tahun 2018.

“Dahulu, saya rajin buat live untuk menjual jam tangan G-Shock. Kemudian, saya pun ada buat dropship menjual cadar, peralatan dapur dan macam-macam lagi untuk cari pendapatan,” jelas Auni dalam satu hantaran di Instagram.

Owner Dapur Azra Mula Belajar Buat Kek Tapak Kuda Kerana Mengidam

Menurut Auni, segalanya bermula apabila beliau mengidam untuk makan kek tapak kuda semasa hamil. Namun, beliau yang menetap di Perak sukar untuk mendapatkan kek span gulung berinti coklat kacang hazel itu.

“Saya berpindah ke Perak selepas berkahwin. Di Sabah, kek tapak kuda adalah menu manisan yang popular pada Hari Raya. Disebabkan teringin dan sukar mendapatkannya di Perak, saya pun belajar untuk membuatnya sendiri,” ujar Auni.

Selepas bersalin, beliau menerima tempahan sebanyak dua biji kek daripada jiran. Lama kelamaan, keenakan kek tapak kuda Auni semakin terkenal. Tambahan pula, beliau sering mempromosikan air tangannya di laman Facebook.

Melihat potensi bisnes yang cerah dalam jualan kek tapak kuda, Auni menjadikan wang RM 300 pemberian suami sempena ulangtahun perkahwinan mereka sebagai modal untuk membeli mesin pengadun dan bahan-bahan membuat kek.

Pada awalnya, Auni hanya membuat kek secara kecil-kecilan sahaja di rumah.

Setelah bisnesnya semakin mendapat sambutan, Auni mula berniaga di sebuah lot kedai yang terletak di Slim River, Perak.

Melihatkan komen positif daripada pelanggan, usahawan berusia 25 tahun ini semakin giat berniaga dan mula menjual di TikTok dengan meletakkan link Whatsapp di ruangan bio.

Auni juga gigih untuk mencipta resepi kek sendiri menerusi pelbagai eksperimen sehingga terhasil beberapa variasi enak untuk pelanggan iaitu crunchy nutella, matcha crunchy, nutella banjir, nutella peanut, nutella crunchy, biscoffcruntella dan nelberry crunchy.

Setelah TikTok membenarkan jualan produk makanan, Kek Tapak Kuda Dapur Azra akhirnya dijual secara rasmi di TikTok Shop bermula Disember 2022.

owner dapur azra

Kredit : Instagram @auniaufiyah

Masa Depan Kek Tapak Kuda Azra

Melihatkan perkembangan bisnes yang baik, Auni berhasrat untuk membawa jenamanya ke peringkat yang lebih tinggi dengan membuka premis yang lebih besar dalam masa enam tahun dari sekarang.

Auni yang kini memiliki 26 orang kakitangan juga bersyukur dapat berkongsi rezeki dengan penduduk setempat dan ingin membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang lain pada masa akan datang.

Sumber : Sinar Harian, TikTok Auni Tapakkuda

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top