Kampung Orang Asli Hulu Kemensah, Selangor telah dipilih sebagai lokasi kedua pemasangan peranti satelit Starlink dalam negara.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, kawasan tersebut dipilih sebagai kampung orang asli pertama kerana kualiti internet sedia ada yang sangat teruk dan hampir tiada.

Pada bulan lepas, Fahmi telah memaklumkan bahawa Kementerian Komunikasi dan Digital akan mengenal pasti sekolah, klinik kesihatan serta kawasan pedalaman yang memerlukan akses internet.

Pihaknya juga akan memastikan baki 3 peratus kawasan berpenduduk yang masih tiada internet akan diberi keutamaan.

Starlink

Pada masa yang sama, beliau juga telah menugaskan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk membuat kajian tambahan bagi mencapai solusi jangka panjang termasuk pemasangan gentian optik dan pembinaan menara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Orang Asli Hulu Kemensah, Jamil Atong turut bersyukur dengan kemudahan yang diberikan kerajaan. Selain capaian internet berkelajuan tinggi, kerajaan juga sedang menyusun beberapa perancangan bagi menaik taraf kehidupan orang asli suku Temuan.

Dengan adanya capaian internet yang pantas dan lancar, masyarakat orang asli suku Temuan yang terdiri daripada 135 orang penduduk itu kini juga berpeluang untuk mengakses informasi serta perkembangan teknologi semasa meskipun kawasan mereka agak terpencil.

Tambahan pula, akses internet sudah menjadi satu keperluan utama pada zaman ini.

Anak-anak orang asli dapat belajar secara online dengan lebih baik manakala pengusaha tanaman dan hasil hutan mempunyai peluang untuk pasarkan produk secara atas talian.

“Kami sedang mencari produk kita dan kerjasama dengan orang kampung. Produk-produk yang kami cadang (untuk dipasarkan secara dalam talian) terdiri daripada hasil-hasil hutan seperti herba-herba, durian hutan, halia, cili bara dan produk buluh yang bermusim serta kraf tangan,” ulas Jamil.

Pada Julai lalu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kuala Pilah di Negeri Sembilan telah dipilih sebagai lokasi pertama bagi pemasangan peranti satelit Starlink.

Ini seiring dengan usaha pihak kerajaan dalam mempertingkat kualiti perkhidmatan internet di institut pengajian tinggi (IPT) dan sekolah terlebih dahulu.

Sumber : Bernama

Baca Juga : Percuma Untuk Semua, MyTV Mana-Mana Sasar Tujuh Juta Pengguna

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top