Ketika masih kecil, pasti ramai yang suka bermain dengan mancis terutamanya pada bulan puasa. Selain untuk menyalakan pelita minyak tanah, mancis adalah satu bahan yang penting untuk kanak-kanak bermain bunga api dan mercun.

Walaupun pemetik api sudah pun wujud, namun harganya yang lebih murah juga membuatkan ia menjadi pilihan ramai kanak-kanak. Hanya dalam beberapa sen sahaja.

Antara jenama mancis yang paling popular di Malaysia adalah mancis Cap Lada. Pasti ramai yang tak tahu bahawa jenama ini sudah wujud sejak tahun 1933 lagi!

Dengan kemajuan masa kini, penggunaan mancis boleh dikatakan tidak relevan lagi dengan adanya pemetik api kecil dan pemetik api dapur gas yang lebih besar

Namun, ini tidak menggugat kedudukan mancis Cap Lada sebagai pengeluar mancis tertua di Malaysia.

mancis cap lada

Kilang Mancis Cap Lada Masih Beroperasi Selepas 90 Tahun

Kilang ini pada asalnya dimiliki oleh seorang pedagang dari Mumbai, India dan telah bertukar tangan beberapa kali. Akhirnya pada 1955, ia telah dimiliki sepenuhnya oleh Tan Chon San sehingga ke hari ini.

Kilangnya yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan setia beroperasi sejak 1933 iaitu sebelum negara mencapai kemerdekaan sehingga ke hari ini.

Mampu menghasilkan sehingga 96,000 kotak sehari, kilang ini juga mempunyai satu lagi cawangan yang bertempat di Taiping, Perak.

Difahamkan bahawa kilang hanya menghasilkan kotak serta mancis sahaja, manakala batang mancis yang diperbuat daripada kayu terentang atau kayu simpul paya pula diimport dari China.

Lebih menarik lagi, Kilang Mancis Cap Lada masih menggunakan mesin lama sambil mengekalkan kaedah tradisional untuk hasilkan mancis.

mancis cap lada

Bau Belerang Cetus Nilai Sentimental

Memetik Selangor Kini, penyelia Kelantan Match Factory, iaitu Mahmod Mohd Nor, 85 berkata nilai sentimental yang ada pada mancis itu menyebabkan permintaan terhadap produk hasil dari negeri Kelantan tidak pernah putus.

“Cetusan api gesek berserta bau belerang memberi satu perasaan berbeza kepada pengguna berbanding jika mereka menggunakan pemetik api.

“Tambahan pula orang kampung apabila bakar sampah mereka lebih selesa guna gesek berbanding pemetik api. Ia juga lebih mudah digunakan untuk membakar rokok atau menghidupkan kayu api.

Kualiti Mancis Cap Lada yang dihasilkan di kilang ini kekal sama sejak 1933, ia antara faktor penyumbang kenapa produk ini terus berada dalam pasaran,” jelas Mahmod yang sudah berkhidmat di kilang itu selama 30 tahun.

Meskipun mendapat saingan yang sengit daripada produk yang lebih moden seperti pemetik api pelbagai saiz, namun kedudukan Mancis Cap Lada sebagai mancis paling legend di Malaysia tidak goyah. Pada masa yang sama, mancis ini juga menjadi salah satu produk tempatan yang paling berjasa selama beberapa generasi.

Masih teguh berdiri selepas 90 tahun, jenama ini juga masih mampu berkongsi rezeki dan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Sumber : SelangorKini, siakapkeli

Baca Juga : Lebih 200 Tahun Setia Berkhidmat, Ini Sejarah Evolusi Pos Malaysia

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top