Walaupun terdapat lambakan pilihan bagi perkhidmatan penghantaran kurier, namun Pos Malaysia mempunyai tempat yang istimewa dalam kalangan rakyat.

Tambahan pula syarikat ini menawarkan perkhidmatan yang lebih meluas antaranya jualan setem, bayaran bil utiliti dan pembaharuan cukai jalan serta lesen.

Dengan wajah Pos Malaysia yang sering berevolusi mengikut peredaran zaman, pasti anda tidak menyangka bahawa jenama ini sudah bertapak dalam negara selama lebih 200 tahun!

Bagi memenuhi keperluan rakyat, perkhidmatan syarikat ini juga telah bertapak di lebih 700 pejabat pos dan 68 pusat pos laju.

Perkhidmatan pos pada era 80-an

Ini menjadikan bukan sahaja menjadikan Pos Malaysia sebagai antara syarikat paling lama wujud di Malaysia, malah ia juga merupakan syarikat tertua di seluruh rantau Asia Tenggara.

Ayuh kita selami kisah perkembangan Pos Malaysia sejak zaman pemerintahan British sehingga kini.

Pos Malaysia Wujud Sejak Tahun 1800

Pos Malaysia telah ditubuhkan sejak 200 tahun lalu. Ketika itu perkhidmatan itu diperkenalkan oleh British di negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka, Singapura) dan pada awalnya dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Pos.

Ketika baru beroperasi, Jabatan Perkhidmatan Pos hanya menyediakan perkhidmatan pengiriman surat dan akan dihantar oleh penghantar cepat (dispatch rider). Bayaran atau upah pula akan dipungut secara manual sebaik surat tiba di pejabat pos.

pos malaysia

Pejabat Pos Batu Gajah adalah antara yang tertua dan masih wujud hingga ke hari ini.
Sumber : Segamat Outdoor World

Berkembang Seiring Zaman

Pada tahun 1907, Jabatan Perkhidmatan Pos mula memperkenalkan setem bercetak seiring dengan ciptaan sistem tersebut oleh Pos India beberapa tahun sebelum itu.

Setelah negara mencapai kemerdekaan, syarikat ini telah menjadi salah satu agensi di bawah pentadbiran kerajaan dan mula mempelbagaikan perkhidmatan seperti pembayaran bil elektrik, lesen televisyen dan sebagainya.

Demi memastikan rakyat dapat berhubung melalui surat dan pos, perkhidmatan ini juga telah menggunakan pelbagai bentuk pengangkutan antaranya basikal, menunggang kuda, mendayung sampan sehinggalah beralih kepada van, lori dan motorsikal seperti yang kita lihat sekarang ini.

pos malaysia

Sumber : The Star

Pada awal tahun 1990an, syarikat ini menjadi sebuah entiti swasta demi memastikan ia mampu terus bersaing dalam pasaran.

Pada awal 2000an Jabatan Perkhidmatan Pos telah disenaraikan di Bursa Malaysia dan berpindah milik kepada Phileo Allied Berhad.

Sejak tahun 2002, Phileo Allied telah menukar nama syarikat pengeposan ini kepada Pos Malaysia.

Kemudian, syarikat milik kerajaan iaitu Khazanah Nasional telah mengambil alih 32 peratus Pemilikan Pos Malaysia & Services Holdings Berhad.

Bagi memastikan perkhidmatan yang relevan, syarikat ini turut memperkenalkan tiga unit perniagaan teras iaitu PosMel, PosLaju dan PosNiaga.

Servis PosLaju juga merupakan antara perkhidmatan yang paling popular ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Disebabkan terlalu banyak bungkusan untuk dihantar dan kekurangan kakitangan, sistem tersebut dilaporkan hampir lumpuh.

Situasi ini turut dialami oleh syarikat kurier lain dan akhirnya mengakibatkan parcel mengambil masa yang lama untuk diterima pelanggan.

Namun, kehadiran syarikat kurier lain telah mewujudkan persaingan yang sihat dalam industri ini. Tambahan pula, perkhidmatan pos dan penghantaran kurier sememangnya sangat diperlukan seiring dengan lambakan jualan secara atas talian.

Ia bukan sahaja dapat mengelakkan monopoli daripada Pos Malaysia, malah pelanggan juga lebih bebas untuk memilih syarikat pengeposan yang sesuai dengan keperluan dan citarasa masing-masing.

Walaupun terdapat banyak saingan daripada syarikat lain, namun Pos Malaysia masih utuh dan menjadi pilihan ramai warga tempatan sehingga ke hari ini.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top