Farm Fresh merupakan jenama susu tempatan yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia memiliki lima ladang tenusu dalam negara dan satu ladang tenusu di Australia dengan jumlah sekitar 9,960 lembu tenusu dan lembu jantan.

Dengan dua fasiliti pemporsesan di Johor dan Pahang, jenama tenusu popular ini mampu menghasilkan sekitar 137 juta liter susu setiap tahun.

Ini belum termasuk fasilitinya yang terletak di Kyabram, Australia yang memiliki kapasiti pengeluaran sekitar 84 juta liter susu setahun.

Atas kualiti produk serta prestasi cemerlang dalam perniagaan, jenama susu kegemaran rakyat Malaysia ini juga berhasil memenangi pelbagai anugerah berprestij antaranya Brand of The Year dan Putra Brand Awards.

Bila sebut sahaja Farm Fresh, anda pasti akan teringat wajah yang sinonim dengan jenama ini iaitu Boss Susu atau nama sebenarnya Azmi Zainal.

Di sebalik populariti Boss Susu ini, sebenarnya terdapat kisah menarik bagaimana beliau mampu capai ke tahap ini.

boss susu

Mula Berniaga Susu di Pasar Malam

Azmi Zainal dan pengasas Farm Fresh iaitu Loi Tuan Ee mulakan bisnes jualan susu secara kecil-kecilan sahaja. Pada asalnya, mereka dapatkan stok susu segar daripada 60 ekor lembu dan membeli susu daripada penternak.

“Kami hantar susu-susu itu naik bas ekspres kerana tiada lori yang sudi untuk menghantar setakat 10 ke 20 kotak susu ke Kuala Lumpur. Saya tunggu bas ekspres di Petronas Sungai Besi. Kami jual di kedai-kedai kecil dahulu sebelum masuk ke supermarket.

“Bila petang, saya akan jual sendiri di pasar malam dan pasar tani. Kami rasa kepayahan dan perit untuk teruskan bisnes. Bukan sahaja air mata yang mengalir, malah maruah juga diinjak-injak.

 

Kami tak pernah kenal erti tewas dan ramai yang mentertawakan kami. Malah competitor kami kata pada buyer supermarket. “Biarlah itu company kecil, kita tak payah usik. Nanti dia mati sendiri”,

Azmi juga masih ingat kesusahan mereka untuk mencari promoter. Disebabkan penampilan yang sederhana, ramai pihak yang memandang rendah dan mentertawakan dirinya.

“Betul ke kau boleh bayar gaji ni, kau pun pakai selipar je”, ini adalah antara kata-kata yang pernah dilemparkan ke Azmi dan masih diingat sampai ke hari ini.

Namun, segala kepayahan ini tidak mematahkan semangat mereka untuk mengembangkan bisnes susu.

Farm Fresh Semakin Dikenali

Usaha tidak akan mengkhianati hasil. Saban tahun, Farm Fresh mampu berkembang, malah lebih pantas daripada yang Loi sendiri jangka.

Untuk bantu tingkatkan lagi operasi, Loi pun meminta bantuan Azmi untuk menjadi rakan niaganya. Mereka akhirnya berjaya menarik pelaburan besar daripada Khazanah Nasional Bhd yang kini memegang 11.8% syer dalam syarikat tenusu itu.

Sokongan daripada Khazanah Nasional ini seterusnya membantu Farm Fresh untuk kembangkan lagi produk serta jenama seperti yang kita kenali pada hari ini.

Mac 2022 pula menyaksikan detik bersejarah apabila Farm Fresh berjaya tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran bernilai RM 2.5 bilion.

boss susu

Jawab Isu Saham Kecil Dalam Farm Fresh

Beberapa tahun lalu, kecoh di media sosial apabila seorang warganet mendedahkan yang Boss Susu hanya dikatakan memiliki pegangan saham kecil dalam Farm Fresh.

Mungkin berita ini mengejutkan kerana ada yang menganggap Azmi Zainal merupakan pemilik Farm Fresh, padahal beliau adalah rakan niaga dan Ketua Pegawai Operasi bagi jenama susu tersebut.

Mengulas mengenai isu ini, beliau berpendapat isu pemilikan saham Farm Fresh ini tidak perlu dibesarkan. Sebaliknya, Azmi menjelaskan kejayaan terbesarnya dalam syarikat tenusu itu adalah kemampuannya untuk berikan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

“Bukan sekadar jadi operator atau jaga lembu, tapi kami dah angkat ramai untuk jadi tenaga kerja profesional, kami latih dan didik mereka”, ulas Azmi.

Boss Susu Bantu Lahirkan Usahawan Baharu

Selain mewujudkan peluang pekerjaan bagi orang tempatan, Azmi juga berbangga dapat melahirkan ramai usahawan baharu.

Pada tahun 2016, Boss Susu telah memulakan program Home Dealers Malaysia bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menjadi usahawan di samping membantu syarikat meluaskan pengedaran susu Farm Fresh.

Pada awalnya, beliau hanya sasarkan program ini kepada keluarga rapat dan sahabat terdekat sahaja. Tanpa disangka-sangka, program ini mampu berkembang kepada 55 stokis, 801 Home Dealer dan hampir 1,000 ejen di seluruh Malaysia.

Lebih menarik lagi, 80% daripada keseluruhan home dealer terdiri daripada suri rumah!

Hari ini, hasil jualan Farm Fresh mampu mencecah sehingga RM 14 hingga RM 20 juta sebulan!

Selain susu, Farm Fresh juga turut menawarkan aneka produk termasuk yogurt, minuman boba (Jom Cha), whipping cream, dan susu soya.

boss susu

Kisah Boss Susu ini membuktikan bahawa anak Melayu juga boleh berjaya dalam perniagaan.

Pencapaian Azmi untuk menjadi wajah utama Farm Fresh juga sebenarnya adalah satu kejayaan yang patut dibanggakan dan membuatkan beliau berada dalam kelasnya tersendiri.

Bukan selalu kita dapat lihat orang Melayu menggalas tanggungjawab sebagai jurucakap dan diberi kepercayaan untuk bawa jenama besar dalam industri tenusu.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, namun ini tidak mematahkan semangat beliau untuk terus kembangkan Farm Fresh sebagai jenama susu nombor satu di Malaysia.

Dengan kesungguhan untuk berjaya, usaha pasti tidak akan mengkhianati hasil!

Sumber : Facebook Azmi Zainal, gempak.com, nona.my

Baca Juga : Guna Peti Ais Rosak Untuk Peram, Boss Susu Kongsi Pengalaman Hasilkan Yogurt Farm Fresh

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top