Terkenal dengan jualan perkakas rumah dari Jepun, Daiso dikhabarkan akan melabur sebanyak RM 1 bilion untuk membina pusat pengedaran global (GDC) terbesar di Pelabuhan Klang, Selangor tahun hadapan.

Berdasarkan laporan daripada The Edge Malaysia, pelaburan tersebut bakal menjadikan Malaysia sebagai hab antarabangsa kedua Daiso selepas China.

Menurut wakil dari Daiso, hab tersebut difahamkan bakal mempunyai keluasan 130,000 kaki persegi. Proses pembinaan akan dimulakan pada Mei 2024 dan dijangka siap pada Mei 2026.

Dijadualkan untuk beroperasi pada Januari 2027, hub tersebut bakal menyasarkan pengurusan sehingga 9,317 produk import dari Jepun.

Inisiatif ini bukan sahaja bakal meningkatkan produk Daiso di rantau ini, malah ia juga akan menggalakkan lagi pemindahan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan Automated Storage Retrieval System.

Lebih menarik lagi, sistem canggih ini juga dijangka bakal meningkatkan peluang usahawan tempatan untuk terlibat dalam penyelenggaraan dan pembinaan mesin.

Pelaburan ini juga sekaligus membuktikan kedudukan Malaysia sebagai lokasi perdagangan yang stabil dan diyakini negara luar.

daiso

Sebuah perjanjian telah dimeterai dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama bagi membangunkan hab pengedaran global antara Daiso Malaysia dan Kajima-Suncon baru-baru ini. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Presiden Daiso Industries Co Ltd, Seiji Yano.

Amiruddin berkata pembinaan hab global ini merupakan hasil daripada usaha berterusan Invest Selangor Bhd sejak beberapa tahun dahulu. Beliau juga menzahirkan rasa syukur kerana Selangor terpilih sebagai lokasi pelaburan bernilai tinggi.

“Hab logistik global ini bukan perkara baharu di Selangor, kita ada banyak yang telah dibuka seperti Lazada dan Shopee, tetapi Daiso ini berada di peringkat yang lebih tinggi dan kami berbangga kerana ia adalah hab terbesar Daiso di seluruh dunia, ” katanya.

Beliau juga berharap pelaburan syarikat dari Jepun itu itu dapat memberi impak positif kepada Selangor terutamanya bagi sektor teknologi serta pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat dalam negeri.

Mula beroperasi di Malaysia pada tahun 2008, kini Daiso yang beroperasi di bawah AEON memiliki puluhan cawangan dalam negara dan telah menjadi jenama perkakas rumah pilihan ramai pengguna tempatan.

Sumber : The Edge Malaysia, FB Datuk Seri Amirudin Shari

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top